Kelapa muda tempatan, khususnya varieti kelapa wangi seperti kelapa pandan yang beraroma unik dan manis, kini mendapat akses rasmi ke pasaran China menerusi satu protokol eksport baharu, lapor Bharian online.
Gambar hiasan.
Jabatan Pertanian dalam satu kenyataan menjelaskan, hanya kelapa muda bagi tujuan minuman segar sahaja dibenarkan dieksport ke China, dengan keutamaan kepada varieti kelapa wangi yang memiliki aroma pandan serta tahap kemanisan brix sekitar 6.7˚.
Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi, berkata protokol fitosanitari yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dan China, bakal melonjakkan pengeluaran kelapa muda berkualiti tinggi tempatan, khususnya untuk segmen pasaran premium luar negara.
"Sebelum ini, eksport hanya berasaskan keperluan sijil fitosanitari tanpa protokol khusus namun kini kawalan biosekuriti dipertingkat dan elemen kebolehkesanan diwujudkan, sekali gus memperkukuh reputasi kelapa muda Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Malaysia menghasilkan 624,000 tan metrik kelapa pada 2023, dengan 6,000 tan metrik daripadanya adalah kelapa muda yang dieksport, permintaan yang dilihat akan terus meningkat susulan pembukaan pasaran rasmi ini," katanya menerusi kenyataan.
Tiga negeri utama pengeluar kelapa di negara ini ialah Selangor, Johor dan Perak dengan 93 peratus kawasan kelapa diusahakan oleh pekebun kecil, manakala selebihnya dimiliki oleh estet (6.5 peratus) dan agensi kerajaan (0.5 peratus).
Mengikut rekod Jabatan Pertanian, dianggarkan seramai 60,000 pengusaha kelapa di seluruh negara dan dari segi pengeluaran, pekebun kecil menyumbang lebih 80 peratus kepada jumlah pengeluaran negara, membuktikan penyertaan mereka serta sokongan daripada semua pihak berkepentingan adalah teras kepada pertumbuhan industri kelapa negara.
Pada masa sama, lebih 278,000 tan metrik kelapa tua diimport untuk keperluan industri pemprosesan, seperti pengeluaran santan dan kerisik.
Protokol baharu itu turut menetapkan keperluan ladang berdaftar, pematuhan kepada pensijilan Amalan Pertanian Baik (myGAP) serta pelaksanaan sistem kawalan perosak bersepadu (IPM) sebagai prasyarat eksport.
"Jabatan Pertanian turut menggesa lebih ramai pengusaha kelapa wangi, terutamanya kelapa pandan, untuk mengambil peluang ini dengan mendaftarkan ladang dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.
"Bantuan fizikal, insentif input, latihan serta pembangunan ladang turut disediakan di bawah pelbagai inisiatif termasuk RMKe-12 yang memperuntukkan RM16.25 juta bagi pembangunan industri kelapa dan benih berkualiti," katanya.
Khasiat Air Kelapa Muda
Mungkin ramai tidak mengetahui minum air buah kelapa muda terutama kelapa Pandan punyai keistimawaannya yang tersendiri.
Air buah kelapa muda jenis kelapa pandan, selain aroma pandannya boleh menghilangkan rasa dahaga ia juga punya khasiat menyembuhkan sakit perut, pening kepala dan banyak lagi.
Umumnya, air kelapa mempunyai sedikit rasa manis, masam dan rendah gula serta kalori. Ia hanyalah air bersama kandungan elektrolit seperti:
- Kalium
- Natrium
- Magnesium
Air kelapa dikatakan lebih baik berbanding minuman sukan kerana kurang kandungan gula. Begitu juga jika dibandingkan dengan air soda mahupun beberapa jus buah-buahan lain.
Tetapi apakah manfaat minum air kelapa setiap hari? Dipetik dari hellodoktor.com, berikut adalah khasiatnya.
13 kebaikan minum air kelapa setiap hari
1. Mengurangkan berat badan
Secawan air kelapa 200ml hanya mempunyai 48 kalori dan 0 lemak. Ia adalah minuman yang membantu menurunkan berat terbaik.
Pengambilan segelas air yang kaya asid laurik ini sebelum makan turut dapat mengelakkan tabiat makan berlebihan.
2. Kulit lebih sihat
Kelebihan air ini juga berfungsi dalam melawan jerawat kerana sifat antimikrobnya.
Kajian juga menunjukkan pengambilan air kelapa membantu sistem antioksidan dengan meneutralkan kesan radikal bebas.
3. Sesuai untuk pesakit hipertensi
Kandungan kalium yang tinggi dalam air kelapa adalah kebaikan buat pesakit hipertensi untuk mengimbangi nisbah elektrolit dan mengawal tekanan darah tinggi.
Makan lebih banyak makanan kaya kalium akan mengeluarkan lebih banyak natrium daripada tubuh melalui air kencing tetapi jangan berlebihan atau anda berisiko mengalami tekanan darah rendah pula.
4. Elak penyakit jantung
Disebabkan kehadiran kalium dan kalsium dalam air kelapa, ia dipercayai dapat menurunkan kolesterol dan mengekalkan degupan jantung yang sihat.
5. Minum air kelapa bagus untuk diabetes
Kandungan indeks glisemik sangat rendah – 3, menjadikan ia minuman sihat untuk penghidap diabetes.
Namun sebaiknya, dapatkan kepastian doktor sebelum mengambilnya sebagai diet harian.
6. Sesuai untuk batu karang
Jika anda mempunyai batu karang dan telah disarankan untuk mengambil 12 gelas air setiap hari, jangan lupa masukkan air kelapa dalam senarai.
Bukan sahaja rasanya enak tetapi juga memberikan manfaat minum air kelapa setiap hari.
7. Detoks
Air kelapa membekalkan penghidratan dan elektrolit untuk menyahtoksik tubuh.
Toksik makanan terkumpul dalam badan disebabkan junk food, pencemaran dan hasil biologi tubuh.
Segelas air kelapa mempunyai fungsi detoks dan akan membantu membersihkan toksik serta menghidratkan semula badan sambil menjadikan diri berasa segar.
8. Diet rendah karbohidrat
Jika anda mengamalkan diet rendah karbohidrat, ini adalah yang sihat kerana 1 cawan air kelapa mengandungi hanya 8 gram karbo.
Paling penting, ini adalah karbohidrat yang sihat dan baik untuk semua individu.
9. Tanpa lemak & kolesterol
Minuman ini adalah 94% air serta bebas lemak dan kolesterol.
Untuk minuman rekreasi, anda pastinya ingin mendapatkan minuman tanpa gula dan tidak mengandungi natrium, justeru air kelapa adalah pilihan terbaik.
10. Merawat jangkitan air kencing dengan minum air kelapa
Air kelapa dianggap sebagai diuretik – membantu membuang toksin melalui air kencing.
Anda mungkin akan kerap membuang air kecil selepas minum air ini, tetapi ia adalah kaedah semula jadi membantu menyembuhkan jangkitan air kencing.
11. Melegakan keletihan & tekanan
Berasa sangat lemah, letih dan kelesuan serta tiada selera makan?
Duduk dan minumlah segelas air kelapa, ia akan membuatkan diri lebih santai.
Rasa minuman yang menyenangkan ini juga akan membantu menghilangkan tekanan dan menenangkan fikiran.
12. Ketahanan atlet
Mereka yang berlatih selama sejam mencapai pemulihan latihan intensiti tinggi lebih cepat dengan pengambilan air kelapa – kerana ia memberikan elektrolit diperlukan.
Air kelapa membawa nutrien serta oksigen ke sel dan secara semula jadi menambah cecair badan selepas bersenam.
Tetapi mengambil air kelapa sejurus selepas sesuatu acara mungkin tidak dapat menampung keperluan karbohidrat anda.
13. Menghidrat
Berada dalam keadaan terhidrat bukan sahaja dapat memastikan tubuh berfungsi dengan baik tetapi juga membantu meningkatkan kualiti tidur, kognisi dan emosi.
-DOSM Keningau