Perangkaan Demografi, Suku Tahun Keempat 2024

Assalaamualaikum WBT dan Selamat Sejahtera.

Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan laporan berkaitan Perangkaan Demografi yang memaparkan data kelahiran hidup, kematian dan penduduk bagi suku tahun keempat 2024.

Perangkaan Demografi, Suku Tahun Keempat 2024

Mengulas laporan tersebut, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan, "Penduduk Malaysia pada suku tahun keempat 2024 dianggarkan 34.2 juta berbanding 33.7 juta pada suku tahun keempat 2023 dengan pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 1.3 peratus berbanding 2.0 peratus (ST4 2023).

Kadar pertumbuhan penduduk menurun seiring dengan penurunan bilangan kelahiran hidup. Jumlah penduduk terdiri daripada 30.8 juta (90.1%) Warganegara dan 3.4 juta (9.9%) Bukan Warganegara.

Penduduk lelaki meningkat kepada 18.0 juta daripada 17.7 juta pada suku tahun keempat 2023 dan penduduk wanita meningkat kepada 16.2 juta daripada 16.0 juta dalam tempoh yang sama.

Nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan manakala nisbah jantina bagi Warganegara ialah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Komposisi penduduk umur bekerja (15-64 tahun) dan penduduk tua (65 tahun dan lebih) masing-masing meningkat daripada 23.6 juta (70.0%) dan 2.5 juta (7.6%) kepada 24.0 juta (70.2%) dan 2.6 juta (7.7%) pada suku tahun keempat 2024.

Perangkaan Demografi, Suku Tahun Keempat 2024

Sementara itu, penduduk umur muda (0-14 tahun) merekodkan penurunan daripada 22.4 peratus kepada 22.2 peratus.

Melayu menyumbang 58.1 peratus daripada jumlah penduduk pada suku tahun keempat 2024 (ST4 2023: 58.0%). Penduduk etnik India menurun kepada 6.5 peratus berbanding 6.6 peratus, sementara Bumiputera Lain dan etnik Cina kekal tidak berubah iaitu masing-masing dengan 12.3 peratus dan 22.4 peratus pada tempoh yang sama.

Bumiputera Lain terdiri daripada Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak dan Bumiputera Semenanjung Malaysia lain. Bumiputera Sabah menyumbang 56.6 peratus daripada Bumiputera Lain yang terdiri daripada Kadazan/ Dusun (31.7%), Bajau (26.5%), Murut (5.1%) dan Bumiputera Sabah lain (36.7%). Sementara itu, Bumiputera Sarawak (32.4%) terdiri daripada Iban (59.1%), Bidayuh (17.1%), Melanau (10.6%) dan Bumiputera Sarawak lain (13.2%).

Ketua Perangkawan turut menyatakan, "Jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 5.6 peratus kepada 105,044 kelahiran berbanding 111,265 kelahiran pada suku tahun keempat 2023.

Bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 54,126 kelahiran berbanding 50,918 kelahiran. Nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Selangor merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 20,006 kelahiran (19.0%) manakala kelahiran hidup terendah direkodkan di Wilayah Persekutuan Labuan dengan 321 kelahiran (0.3%).

Ibu berumur 30-39 tahun mencatatkan kelahiran hidup tertinggi dengan 51,849 kelahiran (49.4%), diikuti oleh ibu berumur 20-29 tahun (44.2%), 40 tahun dan lebih (4.3%) dan kurang daripada 20 tahun (2.1%).

Berdasarkan data suku tahun keempat 2024, terdapat lima kelahiran yang merekodkan umur ibu yang berumur 55 tahun dan lebih. Secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 48 bayi bagi setiap jam dan 1,142 bayi sehari pada suku tahun keempat 2024."

Melayu menyumbang 66.2 peratus (69,557 kelahiran hidup) daripada jumlah kelahiran hidup pada suku tahun keempat 2024 (ST4 2023: 66.5%).

Kelahiran hidup bagi etnik Cina dan Bumiputera Lain masing-masing meningkat kepada 11.1 peratus dan 12.6 peratus berbanding 10.0 peratus dan 12.5 peratus pada suku tahun keempat 2023.

Sementara itu, etnik India menurun kepada 3.9 peratus berbanding 4.6 peratus pada suku tahun keempat 2023. Bumiputera Sabah menyumbang 58.3 peratus daripada Bumiputera Lain yang terdiri daripada Kadazan, Dusun (35.8%), Bajau (28.8%), Murut (6.7%) dan Bumiputera Sabah lain (28.7%).

Sementara itu, Bumiputera Sarawak (34.0%) terdiri daripada Iban (57.5%), Bidayuh (18.1%), Melanau (12.6%) dan Bumiputera Sarawak lain (11.8%).

Perangkaan Demografi, Suku Tahun Keempat 2024

Mengulas lanjut, sebanyak 49,586 kematian telah direkodkan pada suku tahun keempat 2024, meningkat 0.5 peratus berbanding suku tahun keempat 2023 (49,333 kematian).

Bilangan kematian bagi lelaki adalah 28,596 manakala 20,990 kematian bagi perempuan. Nisbah jantina bagi kematian ialah 136 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi dengan 7,830 kematian (15.8%) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan bilangan kematian terendah dengan 85 kematian (0.2%).

Penduduk berumur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi dengan 34,527 kematian (69.6%), diikuti 41-59 tahun (20.9%), 15-40 tahun (7.3%) dan 0-14 tahun (2.1%).

Berdasarkan data suku tahun keempat 2024, terdapat 4.4 peratus kematian bagi penduduk berumur 90 tahun dan lebih.

Perangkaan Demografi, Suku Tahun Keempat 2024-4

Secara purata, satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, manakala 22 kematian direkodkan setiap jam dan 539 kematian sehari pada suku tahun keempat 2024.

Pada suku tahun keempat 2024, Melayu menyumbang 52.3 peratus (25,931 kematian) daripada jumlah kematian (ST4 2023: 51.0%).

Bumiputera Lain, Cina dan India pada suku keempat 2024 masing-masing merekodkan penurunan kepada 10.2 peratus, 26.4 peratus dan 8.4 peratus, berbanding 10.6 peratus, 26.9 peratus dan 8.5 peratus pada tempoh yang sama 2023.

Bumiputera Sabah menyumbang 51.8 peratus daripada Bumiputera Lain yang terdiri daripada Kadazan/ Dusun (40.4%), Bajau (27.5%), Murut (4.7%) dan Bumiputera Sabah lain (27.4%).

Sementara itu, Bumiputera Sarawak (41.8%) terdiri daripada Iban (61.3%), Bidayuh (16.8%), Melanau (12.8%) dan Bumiputera Sarawak lain (9.1%).

Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/demographic-statistics-fourth-quarter-2024

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
13 FEBRUARI 2025

Sekian, terima kasih.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »