Perangkaan Getah Bulanan, Januari 2025

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Perangkaan Getah Bulanan, Malaysia, Januari 2025. Penerbitan ini memaparkan statistik pengeluaran, import, eksport, penggunaan domestik, stok, harga, bilangan pekerja, gaji & upah dan produktiviti bagi estet getah.

PERANGKAAN GETAH JANUARI 2025

Pengeluaran getah asli menurun 20.8 peratus pada Januari 2025 (30,342 tan metrik) berbanding pada Disember 2024 (38,299 tan metrik). Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 0.2 peratus (Januari 2024: 30,287 tan metrik).

Pengeluaran getah asli Malaysia pada Januari 2025 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (87.0%) berbanding sektor estet (13.0%).

Jumlah stok getah asli pada Januari 2025 meningkat 6.0 peratus kepada 177,936 tan metrik berbanding 167,801 tan metrik pada Disember 2024. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 87.5 peratus diikuti kilang pengguna getah (12.4%) dan estet getah (0.1%).

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 44,337.6 tan metrik pada Januari 2025, menurun 0.001 peratus berbanding Disember 2024 (44,337.8 tan metrik). China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 43.6 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Januari 2025 diikuti Jerman (11.1%), Emiriah Arab Bersatu (9.3%), Amerika Syarikat (7.6%) dan Portugal (3.0%).

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.4 billion pada Januari 2025, menurun 8.1 peratus berbanding Disember 2024 (RM1.5 billion).

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan penurunan iaitu 3.0 peratus (Januari 2025: 678.42 sen sekilogram; Disember 2024: 699.35 sen sekilogram) manakala Sekerap menurun sebanyak 1.9 peratus (Januari 2025: 743.27 sen sekilogram; Disember 2024: 757.28 sen sekilogram).

Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula menurun antara 1.6 peratus dan 3.0 peratus.

The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) menurun 3.1 peratus (daripada USD1.99/kg kepada USD1.93/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) menurun 0.6 peratus (daripada USD2.38/kg kepada USD2.37/kg).

Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Januari 2025, Pasaran Getah Kuala Lumpur menunjukkan trend bercampur-campur seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan prestasi ekonomi Amerika Syarikat dan China yang tidak menentu.

Pasaran berhadapan tekanan akibat pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dan kemerosotan harga minyak mentah.

Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/monthly-rubber-statistics-january-2025

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
13 MAC 2025

Sekian, terima kasih.

-DOSM Keningau

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »