Perangkaan Perdagangan Luar Negeri, Februari 2025

Prestasi perdagangan Malaysia pada Februari 2025 mencerminkan peningkatan permintaan global dan kestabilan ekonomi domestik, seperti yang dilihat dalam kenaikan berterusan eksport dan import. Jumlah dagangan mencatat pertumbuhan berterusan 5.9 peratus kepada RM223.9 bilion, didorong oleh peningkatan eksport (+6.2%) kepada RM118.3 bilion dan import (+5.5%) kepada RM105.6 bilion.

PERDAGANGAN LUAR NEGERI MALAYSIA FEBRUARI 2025

Selain itu, imbangan dagangan mencatatkan prestasi yang lebih baik, meningkat 12.2 peratus kepada RM12.6 bilion pada Februari 2025 seperti yang dilaporkan hari ini dalam BULETIN PERANGKAAN PERDAGANGAN LUAR NEGERI MALAYSIA, FEBRUARI 2025. Buletin ini juga membentangkan prestasi produk untuk eksport dan import serta rakan dagangannya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menekankan bahawa pertumbuhan eksport Malaysia didorong oleh peningkatan dalam eksport domestik dan eksport semula pada Februari 2025. Eksport domestik, yang merangkumi 82.0 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 5.9 peratus kepada RM97.0 bilion, manakala eksport semula yang menyumbang 18.0 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 7.3 peratus kepada RM21.3 bilion berbanding Februari 2024.

Selain itu, import berjumlah RM105.6 bilion, meningkat 5.5 peratus atau RM5.5 bilion. Lebihan dagangan bertambah baik 12.2 peratus, mencecah RM12.6 bilion, menandakan lebihan bulan selama 58 bulan berturut turut sejak Mei 2020.

Walau bagaimanapun, perbandingan bulan ke bulan dengan Januari 2025 menunjukkan penurunan dalam eksport, import dan jumlah dagangan, masing-masing merosot 3.7 peratus, 11.3 peratus, dan 7.5 peratus, manakala imbangan dagangan mencatatkan peningkatan mendadak 244.8 peratus.

Melihat dari sudut kumpulan barangan, 134 daripada 256 kumpulan eksport dan 135 daripada 259 kumpulan import menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia turut menggariskan bahawa eksport yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya ke Amerika Syarikat (+RM3.9 bilion), diikuti oleh Singapura (+RM2.7 bilion), Hong Kong (+RM1.8 bilion), Kesatuan Eropah (+RM674.0 juta), Thailand (+RM600.4 juta), Indonesia (+RM362.2 juta) dan Mexico (+RM347.7 juta).

Selain itu, import yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya dari China (+RM2.8 bilion), diikuti oleh Amerika Syarikat (+RM2.2 bilion), Taiwan (+RM1.8 bilion), Viet Nam (+RM625.5 juta), Thailand (+RM531.9 juta), Indonesia (+RM528.4 juta) dan Ecuador (+RM520.3 juta).

Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, kenaikan ini sejajar dengan peningkatan dalam barangan elektrik & elektronik (+RM7.2 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan kelapa sawit (+RM1.5 bilion); barangan perkilangan lain (+RM846.8 juta); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM642.5 juta); barangan optik & saintifik (+RM529.4 juta); serta makanan diproses (+RM487.9 juta).

Di samping itu, peningkatan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM6.8 bilion); keluaran pertanian yang lain (+RM1.9 bilion); kelengkapan pengangkutan (+RM1.8 bilion); petroleum mentah (+RM1.1 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM855.6 juta); dan barangan perkilangan lain (+RM407.6 juta).

Selanjutnya, Ketua Perangkawan Malaysia juga memaklumkan pertambahan import mengikut Penggunaan Akhir adalah seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan modal, barangan penggunaan dan barangan perantaraan.

Import barangan modal (13.1% daripada jumlah import) meningkat 35.3 peratus atau RM3.6 bilion, mencatatkan nilai RM13.8 bilion. Import barangan penggunaan (8.6% daripada jumlah import) naik 7.4 peratus atau RM625.5 juta, mencapai RM9.0 bilion.

Import barangan perantaraan (55.6% daripada jumlah import) bernilai RM58.7 bilion, mencatatkan peningkatan 5.8 peratus atau RM3.2 bilion berbanding Februari 2024.

Jumlah dagangan, eksport, dan import bagi tempoh Januari hingga Februari 2025 mencatatkan peningkatan. Jumlah dagangan meningkat 4.4 peratus, daripada RM446.1 bilion kepada RM465.9 bilion, sejajar dengan kenaikan eksport (+3.1%) serta import (+5.9%). Sebaliknya, lebihan dagangan menurun 24.0 peratus kepada RM16.3 bilion.

Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/monthly-external-trade-statistics-february-2025

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
20 Mac 2025

-DOSM Keningau

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »