Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia Tahun 2024

Laporan ini bertujuan untuk menilai jumlah kerugian dan kerosakan akibat banjir yang melanda Malaysia pada tahun 2024. Kerugian adalah meliputi nilai kerosakan tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan perindustrian. Bagi jumlah kerosakan industri pertanian dan aset awam & infrastruktur, data daripada agensi kerajaan yang berkaitan digunakan.

LAPORAN KHAS IMPAK BANJIR DI MALAYSIA 2024

Jumlah keseluruhan kerugian akibat banjir dianggarkan bernilai RM933.4 juta (2023: RM755.4 juta), bersamaan 0.05 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal (2023: 0.04%).

Tempat Kediaman

Kerugian terbesar dicatatkan bagi tempat kediaman, melonjak kepada RM372.2 juta (2023: RM168.3 juta), diikuti aset awam dan infrastruktur sebanyak RM303.4 juta (2023: RM380.7 juta).

Sektor Pertanian

Kerugian dalam sektor Pertanian turut meningkat kepada RM185.2 juta (2023: RM120.6 juta), manakala premis perniagaan mencatatkan kerugian sebanyak RM54.1 juta (2023: RM53.2 juta).

Kenderaan

Sementara itu, kerosakan kenderaan berjumlah RM17.3 juta (2023: RM22.3 juta), manakala sektor Pembuatan mencatatkan kerugian paling kecil, iaitu RM1.2 juta (2023: RM10.3 juta).

Negeri Paling Terjejas

Dari segi tempat kediaman, Kelantan mencatatkan kerugian terbesar sebanyak RM139.0 juta, diikuti Terengganu dengan RM103.1 juta dan Kedah sebanyak RM54.0 juta.

Di Kelantan, daerah paling terjejas ialah Pasir Mas dengan kerugian berjumlah RM46.2 juta. Di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi bagi tempat kediaman berjumlah RM38.4 juta, manakala bagi Kedah, Kota Setar mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM22.0 juta.

Kelantan mencatatkan kerugian premis perniagaan terbesar, berjumlah RM27.1 juta, diikuti Terengganu sebanyak RM16.4 juta dan Kedah sebanyak RM4.3 juta.

Di Kelantan, Pasir Mas mengalami impak kewangan paling ketara, dengan kerugian RM9.8 juta. Di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM6.4 juta. Sementara itu, di Kedah, Kota Setar merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM2.8 juta.

Kerugian Kenderaan

Terengganu mencatatkan kerugian kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM5.8 juta, diikuti dengan Kelantan sebanyak RM4.0 juta dan Kedah sebanyak RM2.1 juta.

Di Terengganu, daerah yang paling terjejas ialah Besut sebanyak RM1.4 juta. Bagi Kelantan, Tumpat merekodkan kerugian kenderaan tertinggi berjumlah RM1.8 juta. Sementara itu, di Kedah, Kota Setar mengalami kerugian tertinggi sebanyak RM0.9 juta.

Bagi sektor pembuatan, Kelantan mencatatkan kerugian sebanyak RM1.1 juta, dengan Pasir Mas mengalami impak tertinggi berjumlah RM1.0 juta, manakala Pasir Puteh dan Tumpat merekodkan kerugian lebih rendah, masing-masing di bawah RM100,000.

Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/special-report-on-impact-of-floods-in-malaysia-2024

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
19 Mac 2025

-DOSM Keningau

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »