Perangkaan Getah Bulanan, Disember 2024

Assalaamualaikum WBT dan Selamat Sejahtera.

Pengeluaran getah asli menurun 5.1 peratus pada Disember 2024 (38,299 tan metrik) berbanding pada November 2024 (40,341 tan metrik). Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 26.2 peratus (Disember 2023: 30,342 tan metrik).

Perangkaan Getah Bulanan Disember 2024

Pengeluaran getah asli Malaysia pada Disember 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (89.4%) berbanding sektor estet (10.6%).

Jumlah stok getah asli pada Disember 2024 meningkat 1.4 peratus kepada 167,745 tan metrik berbanding 165,384 tan metrik pada November 2024. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (11.2%) dan estet getah (0.1%).

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 44,338 tan metrik pada Disember 2024, meningkat 1.8 peratus berbanding November 2024 (43,562 tan metrik).

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 49.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2024 diikuti Jerman (12.9%), Emiriah Arab Bersatu (7.3%), Amerika Syarikat (3.7%) dan Portugal (3.3%).

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.5 billion pada Disember 2024, meningkat 6.2 peratus berbanding November 2024 (RM1.4 billion).

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 2.3 peratus (Disember 2024: 699.35 sen sekilogram; November 2024: 683.48 sen sekilogram) manakala Sekerap meningkat sebanyak 3.9 peratus (Disember 2024: 757.28 sen sekilogram; November 2024: 728.68 sen sekilogram).

Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 2.3 peratus dan 3.5 peratus.

Prestasi suku keempat 2024 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 10.7 peratus kepada 117,040 tan metrik berbanding 105,715 tan metrik pada suku ketiga 2024.

Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku keempat 2024 pula mencatatkan peningkatan 24.6 peratus berbanding suku keempat 2023 (93,956 tan metrik).

Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/monthly-rubber-statistics-december-2024

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
13 FEBRUARI 2025

Sekian, terima kasih.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »