Tarif merupakan cukai yang dikenakan oleh kerajaan sesebuah negara ke atas barangan dan perkhidmatan yang diimport dari negara lain untuk meningkatkan pendapatan, mempengaruhi aliran perdagangan atau melindungi industri domestik negara tersebut.
Gambar oleh Bloomberg.
Tarif yang diumumkan pada 2 April 2025 oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sememangnya telah mengejutkan seluruh dunia kerana ia menunjukkan perubahan dasar globalisasi daripada pentadbiran AS sebelum ini.
Memandangkan AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia selepas Singapura dan China, tarif baharu itu dan implikasi strategiknya perlu difahami.
Berikut merupakan beberapa sebab sesebuah negara itu mengenakan tarif:
- Memelihara Perniagaan dan Pekerjaan Tempatan
- Melindungi Kepentingan Pengguna Domestik
- Melindungi Industri Baharu
- Menyediakan Keselamatan Negara
- Tindakan Balas
STRATEGI LICIK DONALD TRUMP
Tarif asas sebanyak 10 peratus telah dikenakan ke atas semua barangan dan perkhidmatan import ke Amerika Syarikat bermula 5 April 2025 (Sabtu) yang lepas.
Sementara kadar yang lebih tinggi untuk negara yang dianggap sebagai pelaku terburuk akan berkuat kuasa pada 9 April 2025 .
Menurut Donald Trump, tarif ini dikenakan bagi menangani ketidakseimbangan perdagangan akibat perbezaan tarif yang tidak adil serta halangan bukan tarif yang dikenakan negara lain.
Hampir ke semua rakan dagang termasuk rakan sekutu telah dikenakan tarif ini.
Walaupun tarif pernah menjadi sumber pendapatan utama negara, pada masa kini ia hanya menyumbang kurang 3% kepada hasil kerajaan persekutuan AS.
Namun begitu, tarif yang dikenakan terhadap China semasa penggal pertama Trump telah menjana sekitar AS$77 bilion setahun manakala dia mendakwa kutipan boleh mencecah AS$700 bilion setahun.
Malangnya, walaupun dikatakan bahawa tarif hanya dikenakan kepada pengimport, kos tarif sebenarnya ditanggung oleh pengguna dan perniagaan dalam bentuk harga barangan yang lebih tinggi.
Ada juga pengilang asing terpaksa mengubah pusat operasi dengan memindahkan pengeluaran ke AS untuk mengelak tarif. Tambahan pula, sesetengah syarikat cuba mengelak tarif dengan menghantar barangan melalui negara ketiga atau mengisytiharkan produk secara tidak tepat.
Donald Trump turut mencadangkan penubuhan agensi baru bernama External Revenue Service untuk mengutip tarif, kononnya sebagai cara menjana hasil luar negara.
Namun, pakar menyatakan bahawa tarif sebenarnya dibayar oleh entiti dalam AS dan beban kewangan tetap dirasai oleh rakyatnya sendiri.
Konsep ini menekankan cubaan Donald Trump untuk menggambarkan tarif sebagai sumber hasil negara yang tidak membebankan pembayar cukai walaupun realitinya tidak begitu.
KADAR TARIF
Berikut merupakan senarai tarif dan duti yang dikenakan oleh Trump ke atas negara-negara lain dan tarif yang dikenakan kepada Malaysia adalah sebanyak 47 peratus dengan diskaun sebanyak 24%.
KESAN BAIK DAN BURUK KEPADA EKONOMI
Berikut adalah kesan baik dan buruk tarif ini kepada ekonomi:
Kesan Baik Tarif
Peluang Pelaburan dan Pemindahan Rantaian Bekalan
- Negara-negara yang terlibat dalam perang perdagangan AS-China seperti Malaysia berpotensi mendapat manfaat kerana pindahan kilang dan rantaian bekalan dari China, terutamanya dalam pengeluaran produk elektronik dan komponen yang biasanya dieksport ke AS.
Pertumbuhan Sektor Perkilangan
- Malaysia mendapat manfaat daripada pembangunan sektor perkilangan kerana tarif yang dikenakan terhadap produk China membuka peluang untuk lebih banyak pengeluaran domestik di Malaysia.
Pasaran Eksport Meluas
- Malaysia dapat mencari pasaran alternatif bagi produk-produk yang biasa dieksport ke AS, seperti komoditi, elektronik, dan produk pertanian. Ini memberi peluang untuk diversifikasi eksport ke pasaran-pasaran lain, terutamanya ASEAN dan Eropah.
Kesan Buruk Tarif
Kenaikan Kos Pengeluaran
- Kenaikan tarif import oleh AS menyebabkan kenaikan kos bahan mentah untuk negara-negara yang bergantung kepada bahan import, termasuk Malaysia.
Gangguan Rantaian Bekalan
- Tarif yang tinggi menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan global, mengakibatkan beberapa sektor di Malaysia terjejas kerana bahan mentah dan komponen yang diimport menjadi lebih mahal.
Ketidaktentuan Ekonomi dan Perdagangan
- Malaysia mengalami ketidaktentuan dalam pasaran eksport, terutamanya ke China dan AS. Walaupun terdapat peluang baharu, permintaan untuk produk eksport tertentu seperti kelapa sawit dan komponen elektronik menjadi lebih tidak menentu akibat kesan perang perdagangan.
Risiko tarif tambahan
- Malaysia, sebagai negara yang terlibat dalam perdagangan dengan China, menghadapi risiko peningkatan tarif oleh AS jika negara ini dianggap sebagai negara perantara atau transshipment untuk produk China, yang meningkatkan kos bagi eksport Malaysia.
-DOSM Keningau