Penjawat Awam Balik 30 Minit Lebih Awal Sepanjang Ramadhan

Penjawat awam diberi pilihan untuk pulang setengah jam lebih awal daripada waktu bekerja sebenar sepanjang bulan Ramadhan 2025 ini, menurut laporan Kosmo Online.

Kakitangan awam Pahang
Sumber gambar: Berita Harian

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, arahan itu diputuskan menerusi peraturan waktu bekerja fleksi yang telah dimuktamadkan sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, penjawat awam boleh merujuk lanjut perkara itu dengan ketua bahagian masing-masing.

Maklumat lanjut mengenai waktu bekerja fleksi seperti yang termaktub dalam pekeliling perkhidmatan di https://docs.jpa.gov.my/docs/pp/2019/pp052019.pdf.

"Penjawat awam mereka boleh rujuk sama ada ketua bahagian mereka ataupun (ketua) jabatan, TKSU (Timbalan Ketua Setiausaha) ataupun KSU (Ketua Setiausaha) kementerian untuk penjelasan sekiranya mereka belum lagi mengisi borang tersebut ataupun memaklumkan pilihan mereka.

“Jadi, insya-Allah sepanjang bulan Ramadan bagi penjawat awam yang memilih waktu bekerja fleksi opsyen B mereka boleh balik 30 minit lebih awal. Tapi kerja mesti siap,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, penjawat awam boleh memilih untuk kekal dengan waktu bekerja sedia ada atau memendekkan waktu rehat selama 30 minit dan pulang ke rumah 30 minit lebih awal.

-DOSM Keningau

Pesawah Di Seluruh Negara Terima Bantuan RM15 Juta Sempena Ramadhan 2025

Pesawah di seluruh negara akan menerima bantuan RM15 juta sebagai persediaan menghadapi Ramadhan dan Aidilfitri 2025 yang akan disambut tidak lama lagi, menurut Berita Harian online.

Pesawah Terima Bantuan RM15 Juta
Gambar: Berita Harian

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bantuan itu adalah sebahagian peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta daripada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.

"Saya minta Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bantu pesawah dan bukannya parti politik memandangkan BERNAS jana keuntungan daripada pesawah. Jadi beliau setuju untuk menyumbang RM30 juta sebelum ini.

"Daripada peruntukan itu, kita akan salurkan persediaan awal Ramadhan dan Syawal kepada pesawah sebanyak RM15 juta dengan segera. Kita harap ia dapat dilaksanakan sebelum permulaan Ramadhan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meluncurkan Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di Kampung Pida 4, Ayer Hitam.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminam Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Anwar berkata penyaluran bantuan itu akan diselaraskan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan BERNAS.

Pada 13 Februari 2025 lalu, Perdana Menteri mengumumkan Syed Mokhtar melalu BERNAS akan menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.

Katanya, persetujuan itu dibuat Syed Mokhtar selepas beliau menghubungi tokoh korporat berkenaan pada hari sama.

-DOSM Keningau

Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Secara MyKad

Bermula 15 Januari 2025 (Rabu), Kerajaan akan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar.

Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Sumber gambar: RTM

Bagi tahun 2025, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, berbanding hanya di Semenanjung Malaysia pada tahun 2024.

Kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025, berbanding RM1,200 pada tahun 2024.

Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025. Mulai April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.

Mekanisme yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun sebelumnya, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dato Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berkata, SARA merupakan pendekatan bantuan bersasar di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana mekanisme tersebut memastikan golongan miskin menerima manfaatnya dalam bentuk barang asas termasuk makanan asas.

Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi MADANI, penyusunan semula kewangan Kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak.

Kerajaan MADANI komited menggunakan teknologi digital mutakhir bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan dengan kaedah yang mudah difahami dan digunakan oleh rakyat.

Penambahbaikan kepada SARA ini merangkumi sebahagian daripada peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah, iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun lalu.

Selain daripada itu, 5.4 juta penerima STR turut akan menerima bantuan tambahan SARA mulai April 2025. Ini terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih.

Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan. Golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan.

Berikut merupakan butiran penyaluran SARA pada tahun 2025:

Tarikh Bayaran SARA 2025

Di bawah program SARA, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 1,200 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun 2024.

Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barang makanan asas.

Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR, pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk di https://www.mykasih.com.my mulai 15 Januari 2025.

Kementerian Kewangan ingin menasihati penerima SARA agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk maklumat mengenai program SARA.

Kementerian Kewangan
Putrajaya
14 Januari 2025

-DOSM Keningau

Bantuan Madani 2025: STR & MyKasih

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah bantuan tunai bulanan yang akan disalurkan terus kepada penerima berdasarkan kategori pendapatan dan tanggungan keluarga, manakala Bantuan MyKad Madani (Mykasih) menggunakan teknologi MyKad sebagai 'dompet digital' atau eWallet, untuk membeli barangan keperluan asas di kedai terpilih.

Bantuan Madani 2025

Gabungan kedua-dua inisiatif ini menjadikan Bantuan Madani 2025 lebih praktikal dan telus bagi memastikan bantuan sampai kepada yang benar-benar memerlukan.

Berbanding tahun sebelumnya, Bantuan Madani 2025 menawarkan:
  • Kadar Bantuan Lebih Tinggi: Isi rumah berpendapatan dibawah RM2,500 sebulan, akan menerima sehingga RM4,600 setahun apabila digabungkan dengan STR dan SARA.
  • Pembayaran Tanpa Tunai: MyKad Madani membolehkan penerima membeli barangan keperluan dilebih 1,200 kedai rakan strategik seperti Mydin dan Giant tanpa perlu mengeluarkan wang fizikal.
  • Pelaksanaan Lebih Luas: Bantuan ini kini merangkumi Sabah dan Sarawak, dengan lebih 4.1 juta penerima STR layak menerima SARA.

KATEGORI DAN SYARAT KELAYAKAN PENERIMA BANTUAN

Kelayakan Bantuan Madani 2025 dibahagikan mengikut kategori dan pendapatan:

Bantuan Madani 2025

Nota: Pemohon STR perlu mengemas kini maklumat setiap 3 tahun untuk terus layak.

CARA MEMOHON & SEMAK STATUS

1. STR 2025:

Permohonan Baharu:
  • Isi borang dalam talian di laman rasmi LHDNM, MySTR atau muat turun borang luar talian.
  • Lampirkan dokumen diperlukan seperti slip gaji dan salinan MyKad.

Semakan Status:

Layari portal MySTR, masukkan nombor MyKad, dan ikuti arahan pengesahan.

2. MyKad Madani (MyKasih):
  • Semakan Automatik: Jika anda penerima STR 2025, anda layak secara automatik!
  • Layari Portal Mykasih: Semak di https://app.mykasih.net/sara2/checkstatus
  • Semak Baki: Gunakan MyKad di kedai rakan runcit dan imbas kod barangan berlabel MyKasih. Resit akan menunjukkan baki terkini.

JADUAL BAYARAN

Jadual Pengkreditan MADANI 2025


CARA PEMBELIAN BARANGAN DENGAN MENGGUNAKAN MyKAD:
  • Pilih produk berlabel MyKasih (contoh: beras, minyak masak).
  • Tunjukkan MyKad kepada juruwang untuk pengesahan.
  • Imbas kod barangan dan masukkan PIN 6-digit.
  • Simpan resit untuk rujukan.

Tips: Baki tidak digunakan akan dibawa ke bulan berikutnya, jadi tak perlu beli secara tergesa-gesa!

Baki SARA MADANI

SENARAI BARANG MyKasih

Anda boleh membeli barangan keperluan asas daripada 13 kategori produk yang diluluskan:
  • Beras;
  • Roti;
  • Telur;
  • Minyak masak;
  • Tepung;
  • Biskut;
  • Mi segera;
  • Minuman (contoh: susu, milo, teh, nescafe);
  • Makanan dalam tin (contoh: sardin, tuna, kacang panggang);
  • Bahan perasa (contoh: sos, kicap, gula, garam);
  • Produk kebersihan diri (contoh: ubat gigi, sabun cecair mandian, tuala wanita);
  • Ubat-ubatan (contoh: panadol, ubat batuk, dan lain-lain yang diluluskan oleh KKM); dan
  • Barangan persekolahan (contoh: pakaian seragam sekolah, kasut, beg sekolah, alat tulis).

DIKEDAI MANA SAHAJA ANDA BOLEH MENGGUNAKAN MyKad MADANI?

Berikut adalah senarai kedai diseluruh Malaysia yang terlibat dalam program bantuan MADANI, Senarai Kedai MyKasih

PENAFIAN

Berdasarkan maklumat di atas, pihak kami hanya menyiarkan maklumat berkaitan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Malaysia bertujuan untuk berkongsi, memberi manfaat dan memudahkan carian pengguna.

#StatsMalaysia
#DOSM_Sabah
#DOSM_Keningau
#StatistikNadiKehidupan
#StatistikSegalanyaPasti

-DOSM Keningau

Statistik Kapasiti Penggunaan Industri Pembuatan, Suku Keempat 2024

Kapasiti penggunaan industri Pembuatan beroperasi dengan kadar 81.8 peratus pada tahun 2024, meningkat 2.4 mata peratus berbanding negatif 1.0 mata peratus pada tahun lepas.

Kapasiti penggunaan merujuk kepada nisbah output sebenar yang dihasilkan berbanding pengeluaran output pada kapasiti penuh melalui gabungan optimum mesin, bahan mentah dan buruh.

Kapasiti Penggunaan Industri Pembuatan Q42024

Kapasiti penggunaan industri Pembuatan adalah 81.9 peratus pada suku keempat 2024, meningkat 2.0 mata peratus berbanding suku tahun yang sama pada tahun sebelumnya (ST4 2023: 79.9%).

Pada suku tahun ini, semua subsektor mencatatkan kapasiti penggunaan melebihi 80 peratus dengan kadar tertinggi direkodkan oleh subsektor Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka pada 84.7 peratus; diikuti dengan Produk tekstil, pakaian, kulit & kasut (83.4%); dan Kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (82.0%).

Walau bagaimanapun, berbanding suku tahun sebelumnya kapasiti penggunaan industri Pembuatan mencatatkan penurunan yang kecil iaitu 0.5 mata peratus (ST3 2024: 82.4%).

Peningkatan tahun ke tahun dalam prestasi kapasiti penggunaan bulanan direkodkan sepanjang suku keempat 2024 yang mana Oktober 2024 (81.9%; +1.5 mata peratus), November 2024 (82.2%; +2.1 mata peratus) dan Disember 2024 (81.4%; +2.2 mata peratus).

Selain itu, faktor-faktor seperti permintaan yang rendah; bekalan bahan yang tidak mencukupi; dan pembaikan & penyelenggaraan mesin & kelengkapan kekal sebagai punca utama kepada kapasiti penggunaan tidak penuh dalam industri Pembuatan.

Kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport meningkat 2.4 mata peratus kepada 80.9 peratus (ST4 2023: 78.5%).

Pembuatan perabot mencatatkan kadar tertinggi iaitu pada 87.8 peratus, diikuti dengan Pembuatan jentera & peralatan t.t.t.l. (86.9%).

Namun begitu, dua industri merekodkan kapasiti penggunaan di bawah 80 peratus iaitu Pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (77.6%); dan Pembuatan kayu & produk kayu & gabus, kecuali perabot, pembuatan bagi artikel jerami & bahan-bahan anyaman (76.9%).

Berbanding suku ketiga 2024, kadar kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport menurun secara marginal sebanyak 0.9 mata peratus daripada 81.8 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, kapasiti penggunaan industri berorientasikan domestik kekal positif walaupun pada kadar yang lebih perlahan iaitu 1.0 mata peratus kepada 83.9 peratus pada suku keempat 2024.

Dua industri dalam segmen ini mencatatkan kadar kapasiti penggunaan tertinggi iaitu Pembuatan produk tembakau (92.0%); dan Pembuatan produk galian bukan logam lain (86.6%).

Sementara itu, kadar penggunaan kapasiti terendah dicatatkan oleh Pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi treler pada 79.9 peratus; dan diikuti oleh industri Pembuatan kertas & produk kertas dengan 79.0 peratus.

Berbanding suku tahun sebelumnya, kapasiti penggunaan industri berorientasikan domestik bertumbuh 0.1 mata peratus daripada 83.8 peratus pada suku ketiga 2024.

Kadar kapasiti penggunaan industri Pembuatan bagi tujuh buah negeri telah melepasi kadar nasional pada suku keempat tahun 2024, iaitu WP Labuan (97.9%); Johor (84.8%); Pahang (84.6%); Selangor (84.1%); Melaka (84.0%); Negeri Sembilan (83.2%), dan Terengganu (82.8%).

Manakala, kadar kapasiti penggunaan terendah dicatatkan oleh negeri Perlis sebanyak 67.4 peratus dengan penurunan 5.3 mata peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Penerbitan Statistik Kapasiti Penggunaan Industri Pembuatan, Suku Keempat 2024 boleh dimuat turun melalui portal eStatistik.

Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/manufacturing-industry-capacity-utilisation-statistics-fourth-quarter-2024

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
25 FEBRUARI 2025

-DOSM Keningau

Penunjuk Ekonomi Malaysia - Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan, Disember 2024

Assalaamualaikum WBT dan Selamat Sejahtera.

Indeks pelopor meningkat 3.1 peratus pada Disember 2024, memberi isyarat prospek ekonomi yang optimis dalam tempoh terdekat.

Prestasi ekonomi Malaysia terus menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dengan Indeks Pelopor (IP) mencatatkan 3.1 peratus pada Disember 2024, mencapai 113.6 mata berbanding 110.2 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan, Disember 2024

Prestasi ini disokong oleh pengukuhan berterusan dalam Indeks Perusahaan Bursa Malaysia yang melonjak 27.1 peratus dan Import Benar Semi Konduktor yang meningkat 21.6 peratus.

Selari dengan itu, prestasi bulanan IP meningkat 0.8 peratus dipacu terutamanya oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.4%) dan Bilangan Unit Kediaman Yang Diluluskan Pembinaan (0.3%).

Melihat kepada arah aliran jangka panjang terlicin pada Disember 2024, IP terus berada di bawah 100.0 mata.

Namun begitu, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh berikutan pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam, pelarasan gaji minimum dan pengukuhan pasaran buruh.

Berhubung prestasi ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) turut mencatatkan peningkatan tahunan sebanyak 1.8 peratus, mencecah 126.1 mata berbanding 123.9 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Indeks Pengeluaran Perindustrian mempamerkan prestasi kukuh dengan 4.6 peratus, meletakkannya sebagai penyumbang utama kepada peningkatan ini.

Walau bagaimanapun, prestasi bulanan IS mencatatkan penurunan marginal 0.3 peratus pada Disember 2024 dipengaruhi oleh penyusutan hampir kesemua komponen IS kecuali Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan (0.03%) dan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.01%).

Indeks Difusi bagi IP menunjukkan peningkatan pada Disember 2024 dengan mencatatkan 42.9 peratus berbanding 28.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Manakala Indeks Difusi bagi IS kekal tidak berubah pada 50.0 peratus.

Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/malaysian-economic-indicators-leading-coincident--lagging-indexes-december-2024

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
25 FEBRUARI 2025

Sekian, terima kasih.

#StatsMalaysia
#DOSM_Sabah
#DOSM_Keningau
#StatistikNadiKehidupan
#StatistikSegalanyaPasti

-DOSM Keningau

Bantuan Agropreneur Muda

Program Bantuan Agropreneur Muda diwujudkan di dalam perlaksananaan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) untuk golongan muda yang berumur di antara 18 hingga 40 tahun, bertujuan untuk membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan agro berasaskan semua aktiviti di dalam rantaian nilai sektor pertanian seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani termasuk pemasaran, khidmat sokongan dan agropelancongan.

Bantuan Agropreneur Muda FAMA

OBJEKTIF
  • Menarik golongan muda berumur di antara 18 hingga 40 tahun untuk menceburi bidang pertanian.
  • Mengubah persepsi golongan muda terhadap sektor pertanian
  • Sebagai industri yang berdaya maju.
  • Meningkatkan pendapatan agropreneur muda melalui peningkatan produktiviti pengeluaran, kualiti, teknologi dan inovasi serta pasaran yang kompetitif.
  • Menjadikan industri agromakanan sebagai bidang kerjaya masa depan yang menjana pendapatan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (2011 - 2020).

SKOP

Program Agropreneur Muda dilaksanakan untuk golongan muda yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi aktiviti projek mengikut 4 sektor utama iaitu Tanaman, Ternakan, Perikanan dan Industri Asas Tani merangkumi skop seperti berikut:
  • Tanaman
  • Perikanan
  • Ternakan
  • Industri Asas Tani
  • Pemasaran
  • Perkhidmatan dan input sokongan pertanian
  • Agropelancongan

JENIS BANTUAN

Tiga (3) jenis bantuan yang ditawarkan bagi program ini meliputi:

Geran Agropreneur Muda (GAM)
  • Geran Agropreneur Muda (GAM) adalah bantuan daripada kerajaan kepada Agropreneur Muda bagi membantu mereka meminimakan impak kewangan dalam menjalankan perniagaan.
  • Geran ini diberi dalam bentuk barangan (nilai maksima RM20,000.00 per individu) dan ianya tidak perlu dibayar balik.
  • Hasil dan impak pemberian geran diharap dapat memberi kesan jangkamasa panjang pada perniagaan dan faedah ekonomi kepada penerima geran.

Pembiayaan

Pakej Pembiayaan dengan kadar keuntungan sebanyak dua peratus (2%) setahun bagi pembesaran projek pertanian yang telah beroperasi sekurang-kurangnya satu (1) tahun dengan had maksimum pembiayaan daripada agensi pembiaya seperti berikut:
  • TEKUN Nasional – Sehingga RM 50,000 bagi setiap projek
  • Agrobank – RM 50,000 hingga RM 200,000 bagi setiap projek

Khidmat nasihat teknikal dan latihan

Khidmat secara intensif yang bersesuaian melalui program-program yang akan dilaksanakan oleh Jabatan/Agensi atau Syarikat yang dilantik oleh MAFI berkaitan dengan projek yang dijalankan.

Kumpulan Sasar

Individu yang berkelayakan berpendapatan kurang RM5,000.00 sebulan dan berumur antara 18 - 40 tahun.

SYARAT-SYARAT PERMOHONAN
  • Warganegara Malaysia;
  • Individu berumur di antara 18 hingga 40 tahun;
  • Boleh membaca, mengira dan menulis;
  • Individu yang baru memulakan projek WAJIB mengikuti program latihan teknikal yang dianjurkan oleh Jabatan/Agensi di bawah MAFI atau yang diiktiraf oleh MAFI.
  • Individu yang memiliki Sijil/Diploma/Ijazah dari institusi pendidikan yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia atau Institut Latihan di bawah MAFI berkaitan projek pertanian yang dicadangkan boleh dipertimbangkan untuk dikecualikan daripada mengikuti program latihan teknikal; dan
  • Keutamaan kepada individu yang mempunyai kemudahan tanah atau premis sedia ada.

a. Syarat Permohonan Geran
  • Dokumen yang telah dilengkapkan hendaklah dihantar ke Jabatan/Agensi MAFI sebelum tarikh tutup permohonan mengikut fasa. (Permohonan tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan).
  • Tawaran permohonan adalah terhad. Hanya pemohon yang layak selepas tapisan sahaja akan dimaklumkan. Permohonan dianggap gagal sekiranya tiada maklumbalas diterima dalam tempoh tiga (3) bulan daripada tarikh tutup permohonan mengikut fasa. Walaubagaimanapun, pemohon boleh membuat permohonan baru pada fasa berikutnya.

b. Syarat Permohonan Pembiayaan
  • Projek sedia ada melebihi tempoh setahun beroperasi.
  • Projek berdaya maju dan sesuai untuk penambahan kapasiti bagi pembesaran.
  • Mendapat sokongan teknikal daripada Jabatan/Agensi pembimbing dan Agensi pembiayaan.

*Setiap pemohon layak menerima geran sekali seumur hidup sahaja.

PERLAKSANAAN

Permohonan

Individu yang layak perlu membuat permohonan di Pejabat Jabatan/Agensi Daerah di bawah MAFI atau Negeri (bagi agensi yang tidak mempunyai pejabat di daerah), MAFI (Negeri Sabah) atau MANRED (Negeri Sarawak) yang terdekat dengan melengkapkan dokumen-dokumen berikut:
  • Borang UAM 01/14 (pin.02/18) berserta salinan kad pengenalan yang disahkan pegawai Jabatan / Agensi dan gambar berukuran pasport;
  • Kertas Rancangan Perniagaan yang lengkap (rujuk Lampiran 1);
  • Senarai cadangan barangan yang dinyatakan pada Borang UAM 01/14 (pin.02/18) perlu disertakan anggaran Sebut Harga;
  • Menyertakan salinan Sijil/Diploma/Ijazah yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia atau Institut Latihan dibawah MAFI; atau
  • Borang permohonan pembiayaan Agrobank atau TEKUN Nasional (bagi permohonan kategori Pembiayaan).

Kelulusan atau Penolakan
  • Permohonan Geran berserta dokumen-dokumen yang lengkap dari Jabatan/Agensi Ibu Pejabat akan dikemukakan kepada pihak UAM, MAFI untuk kelulusan atau penolakan sesuatu permohonan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Geran & Pembiayaan Program Agropreneur Muda dan Mesyuarat Jawatankuasa Kelulusan Program Agropreneur Muda;
  • Dokumen Tawaran Kelulusan berserta Surat Aku Janji serta Borang Penilaian Sebutharga Pembekalan akan dikemukakan kepada pemohon yang berjaya melalui Jabatan/Agensi;
  • Bagi permohonan pembiayaan, dokumen-dokumen yang lengkap daripada TEKUN/Agrobank Peringkat Cawangan akan dikemukakan kepada pihak TEKUN/Agrobank Peringkat Ibu Pejabat untuk kelulusan atau penolakan sesuatu permohonan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan Agensi Pembiaya;
  • Hanya peserta yang lulus sahaja akan dihubungi dan diberi Surat Kelulusan melalui Jabatan/Agensi pembimbing yang berkaitan.

Pelaksanaan Geran & Pembiayaan
  • Bagi Pakej Geran, Surat Aku Janji – Borang UAM 2/18 dan Borang Penilaian Sebutharga Pembekalan – Borang UAM 06/17 (pin. 1/18) hendaklah dikembalikan dalam tempoh sah laku berserta tiga (3) sebutharga yang lengkap (SSM/MOF) yang disahkan oleh Jabatan/Agensi Daerah/Negeri. Bagi syarikat yang mengenakan cukai, Surat Pendaftaran SST perlu dilampirkan bersama dan disahkan oleh jabatan/agensi.
  • Setelah permohonan diluluskan, Jabatan/Agensi peringkat daerah bertanggungjawab menguruskan bantuan kepada pemohon Geran yang akan diselaraskan oleh Jabatan/Agensi Ibu Pejabat masing-masing.
  • Manakala untuk perolehan Geran, peruntukan akan disalurkan kepada pembekal secara terus berkaitan projek yang diluluskan melalui agensi pembayar iaitu Agrobank.
  • Program khidmat nasihat dan latihan akan diselaraskan di peringkat Negeri mengikut jadual berkala sedia ada yang telah diatur oleh Jabatan/Agensi di sepanjang tahun.

Bagi Pakej Pembiayaan untuk pengembangan projek pertanian yang telah beroperasi sekurang-kurangnya satu (1) tahun dengan jumlah pembiayaan yang telah diluluskan daripada TEKUN/Agrobank mengikut prosedur yang ditetapkan seperti berikut:
  • Pengeluaran wang adalah secara berperingkat mengikut kemajuan projek dan perlulah disokong berdasarkan dokumen yang sah;
  • Jumlah pembiayaan yang diluluskan akan disalurkan ke akaun pelanggan bagi pembiayaan di bawah TEKUN. Manakala bagi pembiayaan di bawah Agrobank, bayaran bagi pembekalan akan disalurkan ke akaun pembekal;
  • Pembiayaan Semula (TEKUN) atau Pembiayaan Tambahan (AGROBANK) adalah dibenarkan untuk kali kedua hanya kepada satu projek yang sama dengan syarat bayaran pembiayaan terdahulu mempunyai rekod bayaran yang baik bagi tempoh dua belas (12) bulan;
  • Tempoh penangguhan bayaran (Grace Period) bagi projek sehingga dua belas (12) bulan dari tarikh pertama pengeluaran berjaya dilakukan; dan
  • Pelaksanaan pembiayaan adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang ditetapkan oleh Agrobank dan TEKUN Nasional.

*Setiap pemohon layak menerima geran sekali seumur hidup sahaja.

#StatsMalaysia
#DOSM_Sabah
#DOSM_Keningau
#StatistikNadiKehidupan
#StatistikSegalanyaPasti
#FitDOSM

-DOSM Keningau

Indeks Harga Pengguna Januari 2025, Inflasi Kekal 1.7 Peratus

Assalaamualaikum WBT dan Selamat Sejahtera.

Kadar Inflasi Malaysia pada Januari 2025 kekal stabil pada 1.7 peratus dengan mata indeks mencatatkan 133.6 berbanding 131.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

IHP Januari 2025

Peningkatan harga tertumpu pada sektor perkhidmatan, dengan kumpulan Restoran & Perkhidmatan Penginapan mencatatkan kenaikan tertinggi sebanyak 3.5 peratus, diikuti oleh Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (3.3%), serta Rekreasi, Sukan & Kebudayaan (1.8%).

Selain itu, sektor Pendidikan (1.6%), Kesihatan (1.2%), dan Pengangkutan (0.9%) turut mencatatkan peningkatan berbanding Disember 2024.

Kategori Maklumat & Komunikasi mengalami penurunan inflasi kepada -5.3 peratus, sementara kategori Pakaian & Kasut kekal dalam julat negatif pada -0.3 peratus.

Inflasi keseluruhan kekal terkawal, namun kenaikan harga bagi perkhidmatan seperti restoran dan penginapan menunjukkan peralihan perbelanjaan pengguna ke arah sektor tersebut.

Harga Makanan di Rumah & Luar Rumah

Sektor Makanan & Minuman, yang merangkumi hampir 30 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP, meningkat 2.5 peratus, lebih perlahan berbanding 2.7 peratus pada Disember 2024.

Bagaimanapun, harga makanan di luar rumah meningkat 5.0 peratus, didorong oleh kenaikan harga item seperti piza (39.9%), masakan sayur (6.3%), sate (5.7%), dan masakan ayam (3.9%).

Sebaliknya, harga makanan di rumah menunjukkan kenaikan lebih perlahan.

Harga Pengangkutan & Komoditi

Indeks Pengangkutan meningkat kepada 0.9 peratus pada Januari 2025 berbanding 0.4% pada Disember 2024, sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan harga diesel di Semenanjung Malaysia kepada RM3.06 seliter (Disember 2024: RM2.95).

Walau bagaimanapun, harga petrol tanpa plumbum RON97 menurun sebanyak -4.0%.

Perbandingan Serantau

Dari segi perbandingan serantau, kadar inflasi Malaysia (1.7%) lebih rendah berbanding Vietnam (3.6%), Filipina (2.9%), dan Korea Selatan (2.2%), tetapi lebih tinggi daripada Thailand (1.3%),

Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/consumer-price-index-january-2025

-DOSM Keningau

Keterjaminan Makanan

Menurut Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pada tahun 2022, antara 691 dan 783 juta orang di seluruh dunia mengalami kelaparan dan majoritinya merupakan penduduk Asia.

Manakala 425 juta orang di Asia dianggarkan mengalami kekurangan zat makanan, Keterjaminan Makanan menjadi kebimbangan di peringkat nasional dan global.

Keterjaminan Makanan

Meskipun Malaysia merupakan antara negara pengeluar minyak sawit dan beras tertinggi di Asia, negara kita masih menunjukkan arah aliran yang tidak stabil dalam keterjaminan makanan.

Berdasarkan Indeks Makanan Keterjaminan Global (GSFI), pada tahun 2022 Malaysia menduduki tempat ke-41 daripada 113 negara iaitu penurunan sebanyak tujuh tangga berbanding kedudukan tahun 2021.

Dasar komprehensif

Oleh itu, demi mengatasi masalah di atas, kerajaan telah menjenamakan semula Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Untuk menangani isu keterjaminan makanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memperkenalkan dua dasar iaitu Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agro-Makanan Negara 2021-2030.

Kedua-dua dasar di atas menekankan tiga aspek penting yang boleh meningkatkan keterjaminan makanan Malaysia yakni mengurangkan tahap import dan eksport makanan, meningkatkan pertanian domestik dan meningkatkan pengeluaran komoditi.

Walaupun pihak kerajaan telah melaksanakan dua dasar yang komprehensif untuk menangani masalah keterjaminan makanan, Malaysia masih mengalami penurunan tujuh anak tangga daripada tahun sebelumnya dalam penarafan GSFI.

Justeru, terdapat tiga aspek penting untuk menambah baik GSFI Malaysia dan mengurangkan isu keterjaminan makanan.

Strategi Pertama

Mengurangkan import makanan pada produk terpilih. Sebagai contoh, produk ayam.

Nisbah sara diri (SSR) telur ayam Malaysia adalah lebih daripada 100 peratus dan hampir 100 peratus untuk daging ayam.

Meskipun mempunyai SSR yang tinggi, jumlah ayam yang diimport meningkat sebanyak 30 peratus daripada 7,800 tan pada Mei kepada 10,200 tan pada Jun 2022 selepas permit kebenaran import dimansuhkan.

Dalam erti kata lain, rakyat Malaysia makan ayam lebih dari yang sepatutnya.

Urusniaga import akan melibatkan mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) dan mata wang asing, kadar pertukaran mata wang bakal meningkat.

Apabila Malaysia aktif melakukan urusniaga import, pertukaran mata wang yang tinggi juga berlaku dan aliran mata wang Ringgit Malaysia keluar adalah lebih tinggi.

Perkara ini akan mengakibatkan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia secara berperingkat berbanding semua mata wang lain.

Strategi Kedua

Mengurangkan eksport makanan. Padi penting untuk keterjaminan makanan Malaysia kerana nasi merupakan makanan ruji bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Menurut Institut Penyelidikan Khazanah, rakyat Malaysia mengambil purata 2.5 pinggan nasi setiap hari. Akibatnya, dari tahun 2000 hingga 2016, pengeluaran beras meningkat sebanyak 1.6 peratus.

Bagaimanapun, penggunaan beras Malaysia sentiasa mengatasi pengeluaran beras.

Untuk rekod, nisbah SSR bagi beras di Malaysia juga menunjukkan penurunan, iaitu 62.90 peratus pada tahun 2022 berbanding 71.60 peratus pada tahun 2014.

Meskipun begitu, Malaysia masih mempunyai jumlah eksport padi yang tinggi, USD41.6 juta.

Ketika Malaysia memperkenalkan Rancangan Malaysia Ke-8 yang memberi tumpuan kepada sektor perindustrian dan perkhidmatan, arah aliran pengurangan pengeluaran padi menjadi lebih ketara.

Ini mengakibatkan keterjaminan makanan berada pada paras yang kurang memuaskan dan Malaysia terpaksa mengurangkan eksport untuk meningkatkan pengeluaran padi bagi memenuhi penggunaan tempatan.

Strategi Ketiga

Tertumpu kepada sistem bandar dan teknologi tinggi untuk meningkatkan produktiviti makanan.

Berdasarkan GSFI, Singapura berada pada kedudukan ke-28 walaupun keluasan tanahnya yang jauh kecil berbanding Malaysia.

Sebagai perbandingan, keluasan Singapura hanyalah 719 kilometer persegi iaitu lebih kecil daripada keluasan negeri Perlis yang mempunyai keluasan 819 kilometer persegi.

Pada 2019, mereka melancarkan kempen 30 hingga 30. Ini adalah satu usaha untuk meningkatkan kapasiti sektor makanan pertanian bagi memenuhi 30 peratus permintaan pemakanan global secara mampan menjelang 2030.

Matlamatnya adalah untuk menubuhkan pusat teknologi pertanian bandar.

Antara strategi dalam inisiatif 30 hingga 30 adalah pencahayaan LED berbilang tingkat dalaman dan sistem akuakultur peredaran semula, Ladang Ikan Terapung Pintar Teknologi Akuakultur Singapura yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan pertumbuhan dan kesihatan ikan dan Sky Greens yang menggunakan sistem berasaskan peringkat berputar yang mengoptimumkan penyerapan cahaya dan air untuk menghasilkan sayur-sayuran berdaun.

Dengan adanya sistem bandar berteknologi tinggi ini, ia boleh meningkatkan pengeluaran agromakanan.

Malaysia turut meluncurkan inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran agromakanan mengunakan teknologi tinggi.

Di majlis peluncuran Ekonomi Madani, PMX telah menyatakan komitmen kerajaan untuk menyediakan geran sebanyak RM200 juta melalui Agrobank bagi membantu menyediakan kemudahan pembiayaan khususnya bagi aplikasi teknologi moden pertanian.

Selain itu, Khazanah Nasional Bhd juga telah menganjurkan Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KIIC) 2023 yang bertemakan, "Menangani Cabaran Iklim demi Keterjaminan Makanan di Malaysia".

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd berkata melalui KIIC 2023 ini, Khazanah Nasional dapat menawarkan sokongan yang diperlukan dan ini merupakan salah satu platform bagi menarik modal untuk menjana penyelesaian yang inovatif dan mampan.

Kesimpulannya, untuk menangani isu keterjaminan makanan di Malaysia, kerajaan harus mengkaji semula dasar keterjaminan makanan semasa dan mempertimbangkan bagaimana import, eksport dan sistem teknologi tinggi bandar boleh membantu.

Sebagai tambahan kepada tiga aspek utama, adalah penting untuk menarik pakar yang juga komited mengenai sektor pertanian. Tanpa pakar, pelaburan untuk setiap sektor akan gagal, sama seperti pelaburan yang lain.

Oleh itu, kerajaan perlu memberi inspirasi dan menarik minat generasi muda supaya mereka bekerja bersama dan mengenali potensi sektor pertanian.

Apabila lebih ramai petani mendapat keuntungan daripada operasi pertanian mereka, mereka akan meningkatkan produktiviti pertanian dan seterusnya menangani masalah keterjaminan makanan.

ISU KETERJAMINAN MAKANAN DAN KESANNYA KEPADA DUNIA

Peningkatan populasi manusia di seluruh dunia yang dijangka akan mencecah 8.4 bilion menjelang tahun 2025, akan berkadaran dengan peningkatan keperluan makanan.

Seterusnya terdapat juga isu dari segi pencemaran air dan tanah, perubahan iklim dan keluasan tanah pertanian yang semakin terhad akibat kepesatan proses pembangunan dan perbandaran.

Faktor-faktor di atas seterusnya membawa kepada perkara pokok yang ingin kita bincangkan di sini iaitu Keterjaminan Makanan.

Apakah itu Keterjaminan Makanan? Secara amnya, Keterjaminan makanan ditakrifkan sebagai satu situasi apabila individu atau isi rumah, pada bila-bila masa, memiliki akses ekonomi dan fizikal ke atas makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat.

Yang mana ia memenuhi keperluan dan citarasa pemakanan untuk hidup yang aktif dan sihat sepanjang masa.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), terdapat empat komponen yang menjadi tunjang kepada Keterjaminan Makanan iaitu:
  1. Ketersediaan makanan (Availability) – Keperluan untuk adanya sumber yang boleh harap dan konsisten untuk mendapatkan makanan yang berkualiti.
  2. Capaian makanan (Accessibility) – Kemampuan setiap individu atau isi rumah untuk menghasilkan dan/atau membeli makanan dengan sumber yang mencukupi.
  3. Penggunaan makanan (Utilization) – Orang ramai mempunyai pengetahuan dan persekitaran asas yang bersih untuk memilih, menyedia dan mengedarkan makanan sehingga mampu menghasilkan nutrisi yang baik.
  4. Kestabilan makanan (Stability) – Keupayaan orang ramai untuk mengakses dan menggunakan makanan secara stabil dan berterusan dari semasa ke semasa.

Apakah keterkaitan antara setiap komponen di atas dalam aspek keterjaminan makanan ini? Secara mudahnya boleh kita perhatikan dari fakta berikut.

Pada ketika ini, pengeluaran makanan melalui pertanian di seluruh dunia mampu untuk menampung keperluan makanan bagi hampir 1.5 kali dari populasi semasa masyarakat sedunia (bersamaan kira-kira 10 bilion manusia).

Namun, data pada tahun 2018 dari UNICEF menyatakan, lebih daripada 820 juta manusia di seluruh dunia masih mengalami kebuluran, yang mana menunjukkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kedua berkenaan Sifar Kebuluran masih jauh dari sasaran.

Bagaimanakah kebuluran dan malnutrisi masih berlaku walaupun dengan adanya pengeluaran makanan yang lebih dari mencukupi?

Perkara ini terjadi akibat dari ketidakseimbangan pada empat komponen Keterjaminan Makanan yang dinyatakan.

Menurut laman sesawang worldhunger.org, masalah kebuluran yang kebanyakannya berlaku di bahagian sub-Sahara Afrika dan di selatan Asia disebabkan oleh beberapa faktor antaranya;

Kemiskinan

Kemiskinan adalah punca utama kepada kebuluran di Afrika dan serata dunia. Individu yang hidup dalam kemiskinan tidak mampu mendapatkan makanan, baik dari segi kuantiti atau kualiti bagi menjalani kehidupan yang sihat.

Menurut Bank Dunia, pada tahun 2013, 42.3% penduduk sub-Sahara Afrika hidup pada atau kurang dari $1.90.

Kanak-kanak yang terdedah kepada malnutrisi akan menyebabkan pertumbuhan mereka terbantut, yang membawa kepada kesan jangka panjang seperti menurunkan kadar produktiviti dan potensi pendapatan.

Konflik

Pada tahun 2017, konflik menjadi penyebab utama masalah makanan dan kebuluran di 18 buah negara, yang menjejaskan kira-kira 74 juta individu.

Sebelas dari negara-negara ini berada di Afrika seperti Nigeria, Congo, Somalia dan selatan Sudan.

Konflik dan keganasan antara etnik ini memberi kesan langsung dan tidak langsung ke atas semua peringkat dalam sistem makanan (Pengeluaran – Pemprosesan – Pengedaran – Penggunaan).

Cabaran Iklim dan Alam Sekitar

Cabaran alam sekitar seperti hakisan tanah, desertifikasi, penebangan hutan, kemarau dan kekurangan air – boleh memberi kesan buruk terhadap keselamatan makanan.

Perubahan iklim pula dijangka akan membentuk semula landskap pertanian dunia. Iklim yang lebih sejuk adalah lebih baik untuk pertanian, tetapi akan melihatkan penurunan hasil yang ketara bagi beberapa kawasan pertanian utama dunia, misalnya di Brazil, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Masalah Pengurusan Sistem Makanan

Ketidakupayaan kita untuk memberi makan kepada keseluruhan penduduk dunia kebanyakannya disebabkan oleh pembaziran makanan.

Di negara-negara mundur, makanan terbazir disebabkan kurangnya infrastruktur dan pengetahuan untuk memastikan makanan sentiasa segar.

Misalnya di India, kira-kira 30-40% stok makanan terbuang kerana peruncit dan pemborong tidak mempunyai tempat penyimpanan sejuk.

Manakala di negara-negara maju dan sedang membangun, walaupun kos relatif penghasilan makanan adalah lebih rendah, namun pengambilan makanan yang melebihi keperluan menyebabkan lebih banyak makanan terbuang.

Sumber: BERNAMA/Mampankini

-DOSM Keningau

Video Banjir Kilat Melanda Keningau

Banjir kilat sekali lagi melanda Pekan Keningau selepas kejadian sama melanda pada 6 Februari 2025 yang lalu, setelah hujan turun selama 2 jam menyebabkan laluan disekitar pekan hampir tidak boleh dilalui kenderaan kecil.

Banjir di Keningau 2025
Sumber gambar: Berita harian.

Dalam kejadian sebelum ini, hujan lebat yang berterusan telah mengakibatkan banjir lumpur di Pekan Keningau yang telah menjejaskan premis perniagaan, stesen minyak dan rumah ibadat.



Sementara itu, video tular diatas menunjukkan keadaan banjir di kawasan pekan Keningau yang berlaku pada 19 Februari 2025.

-Dosm Keningau

Keluaran Dalam Negeri Kasar, Suku Tahun Keempat 2024

Assalaamualaikum WBT dan Selamat Sejahtera.

Ekonomi Malaysia berkembang 5.0 peratus pada suku tahun keempat, mencapai 5.1 peratus bagi keseluruhan tahun 2024, didorong oleh pertumbuhan dua digit dalam pelaburan yang membawa kepada prestasi terbaik dalam 12 tahun.

Keluaran Dalam Negeri Kasar, Suku Tahun Keempat 2024

Sektor Perkhidmatan

Sektor Perkhidmatan terus berkembang 5.5 peratus pada suku tahun keempat 2024 berbanding 5.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Bagi terma pelarasan musim, sektor ini mencatatkan penurunan sebanyak 0.8 peratus (ST3 2024: 1.7%).

Pertumbuhan sektor ini disokong oleh subsektor Perdagangan borong dan runcit yang meningkat sebanyak 4.4 peratus (ST3 2024: 4.2%).

Selain itu, subsektor Pengangkutan dan penyimpanan mengekalkan pertumbuhan kukuh sebanyak 10.7 peratus (ST3 2024: 10.6%), manakala subsektor Kewangan dan insurans mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi iaitu 5.3 peratus (ST3 2024: 3.5%).

Bagi prestasi tahunan, sektor Perkhidmatan berkembang 5.4 peratus pada tahun 2024 daripada 5.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Sektor Pembuatan

Sektor Pembuatan bertumbuh sederhana 4.4 peratus berbanding 5.6 peratus pada suku tahun ketiga 2024.

Bagi terma pelarasan musim, sektor ini menyusut sebanyak 2.8 peratus (ST3 2024: 2.0%). Pertumbuhan ini disokong oleh prestasi yang lebih baik dalam Produk elektrik, elektronik dan optikal pada 7.3 peratus (ST3 2024: 5.6%).

Selain itu, Produk petroleum, kimia, getah dan plastik meningkat sebanyak 3.2 peratus (ST3 2024: 4.4%), diikuti oleh Minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan yang meningkat sebanyak 6.6 peratus (ST3 2024: 7.6%).

Sebaliknya, Produk peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan menyusut sebanyak 3.2 peratus (ST3 2024: 1.0%), dipengaruhi oleh penurunan dalam pengeluaran kenderaan bermotor dan peralatan pengangkutan.

Secara keseluruhan, sektor Pembuatan meningkat sebanyak 4.2 peratus (2023: 0.7%) pada tahun 2024.

Sektor Perlombongan dan pengkuarian

Sektor Perlombongan dan pengkuarian menguncup sebanyak 0.9 peratus pada suku tahun keempat 2024 berbanding pertumbuhan negatif 3.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, sektor ini bertumbuh sebanyak 5.9 peratus (ST3 2024: -1.1%) bagi terma pelarasan musim.

Prestasi sektor ini dipengaruhi oleh kejatuhan berterusan dalam pengeluaran Minyak mentah dan kondensat pada 6.2 peratus (ST3 2024: -7.3%).

Sebaliknya, Gas asli mencatatkan pemulihan pada 2.4 peratus (ST3 2024: -2.8%), manakala Perlombongan lain & pengkuarian dan perkhidmatan sokongan mencatatkan pertumbuhan sederhana 0.4 peratus (ST3 2024: 2.6%).

Keseluruhan tahun 2024, sektor Perlombongan dan pengkuarian bertumbuh marginal 0.9 peratus berbanding 0.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Sektor Pertanian

Sektor Pertanian menurun sebanyak 0.5 peratus berbanding pertumbuhan 4.0 peratus pada suku tahun ketiga 2024.

Selain itu, sektor ini mengalami penurunan 1.8 peratus (ST3 2024: 0.5%) dari segi pelarasan musim.

Subsektor kelapa sawit yang menyumbang 38.5 peratus daripada keseluruhan sektor Pertanian, menurun sebanyak 5.3 peratus (ST3 2024: 7.3%) disebabkan oleh pengeluaran tandan buah segar yang lebih perlahan.

Pertumbuhan dalam sektor ini juga dipengaruhi oleh kemerosotan 0.9 peratus (ST3 2024: 2.9%) dalam subsektor Perhutanan dan pembalakan.

Walau bagaimanapun, subsektor Ternakan dan Getah masing-masing meningkat 3.0 peratus (ST3 2024: 2.7%) dan 23.3 peratus (ST3 2024: 13.9%).

Secara keseluruhan, sektor Pertanian bertumbuh 3.1 peratus (2023: 0.7%) pada tahun 2024.

Sektor Pembinaan

Sektor Pembinaan terus berkembang sebanyak 20.7 peratus pada suku tahun keempat 2024 berbanding 19.9 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

Bagi terma pelarasan musim, sektor ini menguncup 2.3 peratus (ST3 2024: 5.7%).

Pertumbuhan ini didorong oleh momentum kukuh dalam kesemua segmen pembinaan, terutamanya dalam Bangunan bukan kediaman dan Aktiviti pembinaan pertukangan khas, dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 23.9 peratus (ST3 2024: 28.1%) dan 23.6 peratus (ST3 2024: 21.7%).

Selain itu, Bangunan kediaman meningkat 30.3 peratus (ST3 2024: 22.7%), manakala Kejuruteraan awam meningkat 9.1 peratus berbanding 10.7 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Bagi tahun 2024, sektor Pembinaan melonjak 17.5 peratus berbanding 6.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Perbelanjaan penggunaan akhir

Perbelanjaan penggunaan akhir bertumbuh 4.6 peratus berbanding 4.8 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Perbelanjaan penggunaan akhir swasta mencatatkan pertumbuhan 4.9 peratus (ST3 2024: 4.8%) pada suku tahun keempat 2024.

Prestasi ini disokong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi bagi Pengangkutan, Restoran & hotel dan Makanan & minuman bukan alkohol.

Bagi terma pelarasan musim, Perbelanjaan pengunaan akhir swasta menyusut 0.8 peratus (ST3 2024: -0.5%).

Perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan meningkat 3.3 peratus daripada 4.9 peratus pada suku tahun ketiga 2024.

Prestasi ini didorong oleh peningkatan perbelanjaan kerajaan ke atas bekalan dan perkhidmatan.

Bagi terma pelarasan musim, Perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan menyusut kepada 1.1 peratus (ST3 2024: 5.1%).

Prestasi keseluruhan pada tahun 2024, Perbelanjaan penggunaan akhir swasta bertumbuh 5.1 peratus (2023: 4.7%) dan Perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan meningkat kepada 4.7 peratus (2023: 3.3%).

Pembentukan modal tetap kasar (PMTK)

Pembentukan modal tetap kasar (PMTK) berkembang 11.7 peratus berbanding 15.3 peratus. Bagi terma pelarasan musim, PMTK menyusut kepada 1.8 peratus (ST3 2024: 5.7%). Prestasi PMTK yang memberangsangkan adalah disebabkan oleh Struktur yang berkembang sebanyak 19.5 peratus (ST3 2024: 18.6%).

Selain itu, Jentera & peralatan dan Aset lain masing-masing menyederhana 4.1 peratus (ST3 2024: 12.3%) dan 5.6 peratus (ST3 2024: 10.7%).

Dari segi sektor, sektor Swasta (sumbangan: 66.1%) meningkat 12.7 peratus (ST3 2024: 15.5%), sementara PMTK bagi sektor Awam meningkat 10.0 peratus daripada 14.4 peratus pada suku tahun sebelumnya. Secara keseluruhan, PMTK bertumbuh 12.0 peratus pada tahun 2024 daripada 5.5 peratus yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Prestasi Eksport & Import

Eksport menunjukkan prestasi menyederhana dengan merekodkan peningkatan 8.5 peratus (ST3 2024: 11.8%). Prestasi ini dipengaruhi oleh peningkatan bagi eksport barangan. Bagi terma pelarasan musim, Eksport menyusut 3.8 peratus (ST3 2024: 3.4%) pada suku tahun keempat 2024.

Import terus berkembang dengan PApertumbuhan 5.7 peratus (ST3 2024: 13.5%) dipacu oleh prestasi dalam import barangan. Bagi terma pelarasan musim, Import mencatatkan penurunan sebanyak 4.2 peratus (ST3 2024: 4.1%). Bagi tahun 2024, kedua-dua Eksport dan Import masing-masing meningkat 8.5 peratus (2023: -8.1%) dan 8.9 peratus (2023: -7.4%).

Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/gross-domestic-product-fourth-quarter-2024

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
14 FEBRUARI 2025

Sekian, terima kasih.

Perangkaan Getah Bulanan, Disember 2024

Assalaamualaikum WBT dan Selamat Sejahtera.

Pengeluaran getah asli menurun 5.1 peratus pada Disember 2024 (38,299 tan metrik) berbanding pada November 2024 (40,341 tan metrik). Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 26.2 peratus (Disember 2023: 30,342 tan metrik).

Perangkaan Getah Bulanan Disember 2024

Pengeluaran getah asli Malaysia pada Disember 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (89.4%) berbanding sektor estet (10.6%).

Jumlah stok getah asli pada Disember 2024 meningkat 1.4 peratus kepada 167,745 tan metrik berbanding 165,384 tan metrik pada November 2024. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (11.2%) dan estet getah (0.1%).

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 44,338 tan metrik pada Disember 2024, meningkat 1.8 peratus berbanding November 2024 (43,562 tan metrik).

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 49.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2024 diikuti Jerman (12.9%), Emiriah Arab Bersatu (7.3%), Amerika Syarikat (3.7%) dan Portugal (3.3%).

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.5 billion pada Disember 2024, meningkat 6.2 peratus berbanding November 2024 (RM1.4 billion).

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 2.3 peratus (Disember 2024: 699.35 sen sekilogram; November 2024: 683.48 sen sekilogram) manakala Sekerap meningkat sebanyak 3.9 peratus (Disember 2024: 757.28 sen sekilogram; November 2024: 728.68 sen sekilogram).

Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 2.3 peratus dan 3.5 peratus.

Prestasi suku keempat 2024 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 10.7 peratus kepada 117,040 tan metrik berbanding 105,715 tan metrik pada suku ketiga 2024.

Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku keempat 2024 pula mencatatkan peningkatan 24.6 peratus berbanding suku keempat 2023 (93,956 tan metrik).

Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/monthly-rubber-statistics-december-2024

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
13 FEBRUARI 2025

Sekian, terima kasih.

Perangkaan Demografi, Suku Tahun Keempat 2024

Assalaamualaikum WBT dan Selamat Sejahtera.

Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan laporan berkaitan Perangkaan Demografi yang memaparkan data kelahiran hidup, kematian dan penduduk bagi suku tahun keempat 2024.

Perangkaan Demografi, Suku Tahun Keempat 2024

Mengulas laporan tersebut, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan, "Penduduk Malaysia pada suku tahun keempat 2024 dianggarkan 34.2 juta berbanding 33.7 juta pada suku tahun keempat 2023 dengan pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 1.3 peratus berbanding 2.0 peratus (ST4 2023).

Kadar pertumbuhan penduduk menurun seiring dengan penurunan bilangan kelahiran hidup. Jumlah penduduk terdiri daripada 30.8 juta (90.1%) Warganegara dan 3.4 juta (9.9%) Bukan Warganegara.

Penduduk lelaki meningkat kepada 18.0 juta daripada 17.7 juta pada suku tahun keempat 2023 dan penduduk wanita meningkat kepada 16.2 juta daripada 16.0 juta dalam tempoh yang sama.

Nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan manakala nisbah jantina bagi Warganegara ialah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Komposisi penduduk umur bekerja (15-64 tahun) dan penduduk tua (65 tahun dan lebih) masing-masing meningkat daripada 23.6 juta (70.0%) dan 2.5 juta (7.6%) kepada 24.0 juta (70.2%) dan 2.6 juta (7.7%) pada suku tahun keempat 2024.

Perangkaan Demografi, Suku Tahun Keempat 2024

Sementara itu, penduduk umur muda (0-14 tahun) merekodkan penurunan daripada 22.4 peratus kepada 22.2 peratus.

Melayu menyumbang 58.1 peratus daripada jumlah penduduk pada suku tahun keempat 2024 (ST4 2023: 58.0%). Penduduk etnik India menurun kepada 6.5 peratus berbanding 6.6 peratus, sementara Bumiputera Lain dan etnik Cina kekal tidak berubah iaitu masing-masing dengan 12.3 peratus dan 22.4 peratus pada tempoh yang sama.

Bumiputera Lain terdiri daripada Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak dan Bumiputera Semenanjung Malaysia lain. Bumiputera Sabah menyumbang 56.6 peratus daripada Bumiputera Lain yang terdiri daripada Kadazan/ Dusun (31.7%), Bajau (26.5%), Murut (5.1%) dan Bumiputera Sabah lain (36.7%). Sementara itu, Bumiputera Sarawak (32.4%) terdiri daripada Iban (59.1%), Bidayuh (17.1%), Melanau (10.6%) dan Bumiputera Sarawak lain (13.2%).

Ketua Perangkawan turut menyatakan, "Jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 5.6 peratus kepada 105,044 kelahiran berbanding 111,265 kelahiran pada suku tahun keempat 2023.

Bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 54,126 kelahiran berbanding 50,918 kelahiran. Nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Selangor merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 20,006 kelahiran (19.0%) manakala kelahiran hidup terendah direkodkan di Wilayah Persekutuan Labuan dengan 321 kelahiran (0.3%).

Ibu berumur 30-39 tahun mencatatkan kelahiran hidup tertinggi dengan 51,849 kelahiran (49.4%), diikuti oleh ibu berumur 20-29 tahun (44.2%), 40 tahun dan lebih (4.3%) dan kurang daripada 20 tahun (2.1%).

Berdasarkan data suku tahun keempat 2024, terdapat lima kelahiran yang merekodkan umur ibu yang berumur 55 tahun dan lebih. Secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 48 bayi bagi setiap jam dan 1,142 bayi sehari pada suku tahun keempat 2024."

Melayu menyumbang 66.2 peratus (69,557 kelahiran hidup) daripada jumlah kelahiran hidup pada suku tahun keempat 2024 (ST4 2023: 66.5%).

Kelahiran hidup bagi etnik Cina dan Bumiputera Lain masing-masing meningkat kepada 11.1 peratus dan 12.6 peratus berbanding 10.0 peratus dan 12.5 peratus pada suku tahun keempat 2023.

Sementara itu, etnik India menurun kepada 3.9 peratus berbanding 4.6 peratus pada suku tahun keempat 2023. Bumiputera Sabah menyumbang 58.3 peratus daripada Bumiputera Lain yang terdiri daripada Kadazan, Dusun (35.8%), Bajau (28.8%), Murut (6.7%) dan Bumiputera Sabah lain (28.7%).

Sementara itu, Bumiputera Sarawak (34.0%) terdiri daripada Iban (57.5%), Bidayuh (18.1%), Melanau (12.6%) dan Bumiputera Sarawak lain (11.8%).

Perangkaan Demografi, Suku Tahun Keempat 2024

Mengulas lanjut, sebanyak 49,586 kematian telah direkodkan pada suku tahun keempat 2024, meningkat 0.5 peratus berbanding suku tahun keempat 2023 (49,333 kematian).

Bilangan kematian bagi lelaki adalah 28,596 manakala 20,990 kematian bagi perempuan. Nisbah jantina bagi kematian ialah 136 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi dengan 7,830 kematian (15.8%) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan bilangan kematian terendah dengan 85 kematian (0.2%).

Penduduk berumur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi dengan 34,527 kematian (69.6%), diikuti 41-59 tahun (20.9%), 15-40 tahun (7.3%) dan 0-14 tahun (2.1%).

Berdasarkan data suku tahun keempat 2024, terdapat 4.4 peratus kematian bagi penduduk berumur 90 tahun dan lebih.

Perangkaan Demografi, Suku Tahun Keempat 2024-4

Secara purata, satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, manakala 22 kematian direkodkan setiap jam dan 539 kematian sehari pada suku tahun keempat 2024.

Pada suku tahun keempat 2024, Melayu menyumbang 52.3 peratus (25,931 kematian) daripada jumlah kematian (ST4 2023: 51.0%).

Bumiputera Lain, Cina dan India pada suku keempat 2024 masing-masing merekodkan penurunan kepada 10.2 peratus, 26.4 peratus dan 8.4 peratus, berbanding 10.6 peratus, 26.9 peratus dan 8.5 peratus pada tempoh yang sama 2023.

Bumiputera Sabah menyumbang 51.8 peratus daripada Bumiputera Lain yang terdiri daripada Kadazan/ Dusun (40.4%), Bajau (27.5%), Murut (4.7%) dan Bumiputera Sabah lain (27.4%).

Sementara itu, Bumiputera Sarawak (41.8%) terdiri daripada Iban (61.3%), Bidayuh (16.8%), Melanau (12.8%) dan Bumiputera Sarawak lain (9.1%).

Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/demographic-statistics-fourth-quarter-2024

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
13 FEBRUARI 2025

Sekian, terima kasih.

Perangkaan Pembuatan Bulanan, Disember 2024

Assalaamualaikum WBT dan Selamat Sejahtera,

Jualan sektor Pembuatan mencapai RM158.4 bilion; meningkat sebanyak 5.7 peratus pada Disember 2024.

Nilai jualan sektor Pembuatan pada tahun 2024 mencapai RM1.9 trilion, melonjak 4.6 peratus (2023: 0.2%), sementara jualan pada Disember 2024 berjumlah RM158.4 bilion (5.7%).

Pertumbuhan nilai jualan sektor Pembuatan disokong terutamanya oleh subsektor Makanan, minuman & tembakau yang kekal merekodkan pertumbuhan dua angka pada 14.6 peratus pada Disember 2024 (November 2024: 12.3%).

Sementara itu, subsektor Peralatan elektrik & elektronik dan Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka turut menyumbang kepada pertumbuhan jualan sektor Pembuatan, masing-masing mencatatkan peningkatan 8.7 peratus (November 2024: 8.6%) dan 3.2 peratus (November 2024: 2.7%).

Perbandingan bulan sebelumnya, nilai jualan menguncup sebanyak 2.2 peratus berbanding RM162.0 bilion yang direkodkan pada November 2024.

Perangkaan Pembuatan Bulanan Disember 2024

Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/monthly-manufacturing-statistics-malaysia-december-2024

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
7 FEBRUARI 2025

Sekian, terima kasih.

Indeks Kos Bahan Binaan, Januari 2025

Assalaamualaikum WBT dan Selamat Sejahtera,

Today's Statistics by DOSM.

Indeks harga seunit bagi simen, besi, batu baur, pasir, batu bata & dinding, kayu, bahan bumbung, bahan siling, keratan keluli & logam, bahan kerja paip, jubin lantai & dinding, lengkapan kebersihan, kaca, cat, papan lapis dan konkrit sedia bancuh.

Indeks Kos Bahan Binaan Januari 2025


Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/special-release----for-building-and-structural-works-sabah-and-sarawak-january-2025

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
13 FEBRUARI 2025

Sekian, terima kasih.