Bantuan Agropreneur Muda

Program Bantuan Agropreneur Muda diwujudkan di dalam perlaksananaan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) untuk golongan muda yang berumur di antara 18 hingga 40 tahun, bertujuan untuk membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan agro berasaskan semua aktiviti di dalam rantaian nilai sektor pertanian seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani termasuk pemasaran, khidmat sokongan dan agropelancongan.

Bantuan Agropreneur Muda FAMA

OBJEKTIF
  • Menarik golongan muda berumur di antara 18 hingga 40 tahun untuk menceburi bidang pertanian.
  • Mengubah persepsi golongan muda terhadap sektor pertanian
  • Sebagai industri yang berdaya maju.
  • Meningkatkan pendapatan agropreneur muda melalui peningkatan produktiviti pengeluaran, kualiti, teknologi dan inovasi serta pasaran yang kompetitif.
  • Menjadikan industri agromakanan sebagai bidang kerjaya masa depan yang menjana pendapatan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (2011 - 2020).

SKOP

Program Agropreneur Muda dilaksanakan untuk golongan muda yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi aktiviti projek mengikut 4 sektor utama iaitu Tanaman, Ternakan, Perikanan dan Industri Asas Tani merangkumi skop seperti berikut:
  • Tanaman
  • Perikanan
  • Ternakan
  • Industri Asas Tani
  • Pemasaran
  • Perkhidmatan dan input sokongan pertanian
  • Agropelancongan

JENIS BANTUAN

Tiga (3) jenis bantuan yang ditawarkan bagi program ini meliputi:

Geran Agropreneur Muda (GAM)
  • Geran Agropreneur Muda (GAM) adalah bantuan daripada kerajaan kepada Agropreneur Muda bagi membantu mereka meminimakan impak kewangan dalam menjalankan perniagaan.
  • Geran ini diberi dalam bentuk barangan (nilai maksima RM20,000.00 per individu) dan ianya tidak perlu dibayar balik.
  • Hasil dan impak pemberian geran diharap dapat memberi kesan jangkamasa panjang pada perniagaan dan faedah ekonomi kepada penerima geran.

Pembiayaan

Pakej Pembiayaan dengan kadar keuntungan sebanyak dua peratus (2%) setahun bagi pembesaran projek pertanian yang telah beroperasi sekurang-kurangnya satu (1) tahun dengan had maksimum pembiayaan daripada agensi pembiaya seperti berikut:
  • TEKUN Nasional – Sehingga RM 50,000 bagi setiap projek
  • Agrobank – RM 50,000 hingga RM 200,000 bagi setiap projek

Khidmat nasihat teknikal dan latihan

Khidmat secara intensif yang bersesuaian melalui program-program yang akan dilaksanakan oleh Jabatan/Agensi atau Syarikat yang dilantik oleh MAFI berkaitan dengan projek yang dijalankan.

Kumpulan Sasar

Individu yang berkelayakan berpendapatan kurang RM5,000.00 sebulan dan berumur antara 18 - 40 tahun.

SYARAT-SYARAT PERMOHONAN
  • Warganegara Malaysia;
  • Individu berumur di antara 18 hingga 40 tahun;
  • Boleh membaca, mengira dan menulis;
  • Individu yang baru memulakan projek WAJIB mengikuti program latihan teknikal yang dianjurkan oleh Jabatan/Agensi di bawah MAFI atau yang diiktiraf oleh MAFI.
  • Individu yang memiliki Sijil/Diploma/Ijazah dari institusi pendidikan yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia atau Institut Latihan di bawah MAFI berkaitan projek pertanian yang dicadangkan boleh dipertimbangkan untuk dikecualikan daripada mengikuti program latihan teknikal; dan
  • Keutamaan kepada individu yang mempunyai kemudahan tanah atau premis sedia ada.

a. Syarat Permohonan Geran
  • Dokumen yang telah dilengkapkan hendaklah dihantar ke Jabatan/Agensi MAFI sebelum tarikh tutup permohonan mengikut fasa. (Permohonan tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan).
  • Tawaran permohonan adalah terhad. Hanya pemohon yang layak selepas tapisan sahaja akan dimaklumkan. Permohonan dianggap gagal sekiranya tiada maklumbalas diterima dalam tempoh tiga (3) bulan daripada tarikh tutup permohonan mengikut fasa. Walaubagaimanapun, pemohon boleh membuat permohonan baru pada fasa berikutnya.

b. Syarat Permohonan Pembiayaan
  • Projek sedia ada melebihi tempoh setahun beroperasi.
  • Projek berdaya maju dan sesuai untuk penambahan kapasiti bagi pembesaran.
  • Mendapat sokongan teknikal daripada Jabatan/Agensi pembimbing dan Agensi pembiayaan.

*Setiap pemohon layak menerima geran sekali seumur hidup sahaja.

PERLAKSANAAN

Permohonan

Individu yang layak perlu membuat permohonan di Pejabat Jabatan/Agensi Daerah di bawah MAFI atau Negeri (bagi agensi yang tidak mempunyai pejabat di daerah), MAFI (Negeri Sabah) atau MANRED (Negeri Sarawak) yang terdekat dengan melengkapkan dokumen-dokumen berikut:
  • Borang UAM 01/14 (pin.02/18) berserta salinan kad pengenalan yang disahkan pegawai Jabatan / Agensi dan gambar berukuran pasport;
  • Kertas Rancangan Perniagaan yang lengkap (rujuk Lampiran 1);
  • Senarai cadangan barangan yang dinyatakan pada Borang UAM 01/14 (pin.02/18) perlu disertakan anggaran Sebut Harga;
  • Menyertakan salinan Sijil/Diploma/Ijazah yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia atau Institut Latihan dibawah MAFI; atau
  • Borang permohonan pembiayaan Agrobank atau TEKUN Nasional (bagi permohonan kategori Pembiayaan).

Kelulusan atau Penolakan
  • Permohonan Geran berserta dokumen-dokumen yang lengkap dari Jabatan/Agensi Ibu Pejabat akan dikemukakan kepada pihak UAM, MAFI untuk kelulusan atau penolakan sesuatu permohonan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Geran & Pembiayaan Program Agropreneur Muda dan Mesyuarat Jawatankuasa Kelulusan Program Agropreneur Muda;
  • Dokumen Tawaran Kelulusan berserta Surat Aku Janji serta Borang Penilaian Sebutharga Pembekalan akan dikemukakan kepada pemohon yang berjaya melalui Jabatan/Agensi;
  • Bagi permohonan pembiayaan, dokumen-dokumen yang lengkap daripada TEKUN/Agrobank Peringkat Cawangan akan dikemukakan kepada pihak TEKUN/Agrobank Peringkat Ibu Pejabat untuk kelulusan atau penolakan sesuatu permohonan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan Agensi Pembiaya;
  • Hanya peserta yang lulus sahaja akan dihubungi dan diberi Surat Kelulusan melalui Jabatan/Agensi pembimbing yang berkaitan.

Pelaksanaan Geran & Pembiayaan
  • Bagi Pakej Geran, Surat Aku Janji – Borang UAM 2/18 dan Borang Penilaian Sebutharga Pembekalan – Borang UAM 06/17 (pin. 1/18) hendaklah dikembalikan dalam tempoh sah laku berserta tiga (3) sebutharga yang lengkap (SSM/MOF) yang disahkan oleh Jabatan/Agensi Daerah/Negeri. Bagi syarikat yang mengenakan cukai, Surat Pendaftaran SST perlu dilampirkan bersama dan disahkan oleh jabatan/agensi.
  • Setelah permohonan diluluskan, Jabatan/Agensi peringkat daerah bertanggungjawab menguruskan bantuan kepada pemohon Geran yang akan diselaraskan oleh Jabatan/Agensi Ibu Pejabat masing-masing.
  • Manakala untuk perolehan Geran, peruntukan akan disalurkan kepada pembekal secara terus berkaitan projek yang diluluskan melalui agensi pembayar iaitu Agrobank.
  • Program khidmat nasihat dan latihan akan diselaraskan di peringkat Negeri mengikut jadual berkala sedia ada yang telah diatur oleh Jabatan/Agensi di sepanjang tahun.

Bagi Pakej Pembiayaan untuk pengembangan projek pertanian yang telah beroperasi sekurang-kurangnya satu (1) tahun dengan jumlah pembiayaan yang telah diluluskan daripada TEKUN/Agrobank mengikut prosedur yang ditetapkan seperti berikut:
  • Pengeluaran wang adalah secara berperingkat mengikut kemajuan projek dan perlulah disokong berdasarkan dokumen yang sah;
  • Jumlah pembiayaan yang diluluskan akan disalurkan ke akaun pelanggan bagi pembiayaan di bawah TEKUN. Manakala bagi pembiayaan di bawah Agrobank, bayaran bagi pembekalan akan disalurkan ke akaun pembekal;
  • Pembiayaan Semula (TEKUN) atau Pembiayaan Tambahan (AGROBANK) adalah dibenarkan untuk kali kedua hanya kepada satu projek yang sama dengan syarat bayaran pembiayaan terdahulu mempunyai rekod bayaran yang baik bagi tempoh dua belas (12) bulan;
  • Tempoh penangguhan bayaran (Grace Period) bagi projek sehingga dua belas (12) bulan dari tarikh pertama pengeluaran berjaya dilakukan; dan
  • Pelaksanaan pembiayaan adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang ditetapkan oleh Agrobank dan TEKUN Nasional.

*Setiap pemohon layak menerima geran sekali seumur hidup sahaja.

#StatsMalaysia
#DOSM_Sabah
#DOSM_Keningau
#StatistikNadiKehidupan
#StatistikSegalanyaPasti
#FitDOSM

-DOSM Keningau

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »