Keterjaminan Makanan

Menurut Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pada tahun 2022, antara 691 dan 783 juta orang di seluruh dunia mengalami kelaparan dan majoritinya merupakan penduduk Asia.

Manakala 425 juta orang di Asia dianggarkan mengalami kekurangan zat makanan, Keterjaminan Makanan menjadi kebimbangan di peringkat nasional dan global.

Keterjaminan Makanan

Meskipun Malaysia merupakan antara negara pengeluar minyak sawit dan beras tertinggi di Asia, negara kita masih menunjukkan arah aliran yang tidak stabil dalam keterjaminan makanan.

Berdasarkan Indeks Makanan Keterjaminan Global (GSFI), pada tahun 2022 Malaysia menduduki tempat ke-41 daripada 113 negara iaitu penurunan sebanyak tujuh tangga berbanding kedudukan tahun 2021.

Dasar komprehensif

Oleh itu, demi mengatasi masalah di atas, kerajaan telah menjenamakan semula Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Untuk menangani isu keterjaminan makanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memperkenalkan dua dasar iaitu Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agro-Makanan Negara 2021-2030.

Kedua-dua dasar di atas menekankan tiga aspek penting yang boleh meningkatkan keterjaminan makanan Malaysia yakni mengurangkan tahap import dan eksport makanan, meningkatkan pertanian domestik dan meningkatkan pengeluaran komoditi.

Walaupun pihak kerajaan telah melaksanakan dua dasar yang komprehensif untuk menangani masalah keterjaminan makanan, Malaysia masih mengalami penurunan tujuh anak tangga daripada tahun sebelumnya dalam penarafan GSFI.

Justeru, terdapat tiga aspek penting untuk menambah baik GSFI Malaysia dan mengurangkan isu keterjaminan makanan.

Strategi Pertama

Mengurangkan import makanan pada produk terpilih. Sebagai contoh, produk ayam.

Nisbah sara diri (SSR) telur ayam Malaysia adalah lebih daripada 100 peratus dan hampir 100 peratus untuk daging ayam.

Meskipun mempunyai SSR yang tinggi, jumlah ayam yang diimport meningkat sebanyak 30 peratus daripada 7,800 tan pada Mei kepada 10,200 tan pada Jun 2022 selepas permit kebenaran import dimansuhkan.

Dalam erti kata lain, rakyat Malaysia makan ayam lebih dari yang sepatutnya.

Urusniaga import akan melibatkan mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) dan mata wang asing, kadar pertukaran mata wang bakal meningkat.

Apabila Malaysia aktif melakukan urusniaga import, pertukaran mata wang yang tinggi juga berlaku dan aliran mata wang Ringgit Malaysia keluar adalah lebih tinggi.

Perkara ini akan mengakibatkan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia secara berperingkat berbanding semua mata wang lain.

Strategi Kedua

Mengurangkan eksport makanan. Padi penting untuk keterjaminan makanan Malaysia kerana nasi merupakan makanan ruji bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Menurut Institut Penyelidikan Khazanah, rakyat Malaysia mengambil purata 2.5 pinggan nasi setiap hari. Akibatnya, dari tahun 2000 hingga 2016, pengeluaran beras meningkat sebanyak 1.6 peratus.

Bagaimanapun, penggunaan beras Malaysia sentiasa mengatasi pengeluaran beras.

Untuk rekod, nisbah SSR bagi beras di Malaysia juga menunjukkan penurunan, iaitu 62.90 peratus pada tahun 2022 berbanding 71.60 peratus pada tahun 2014.

Meskipun begitu, Malaysia masih mempunyai jumlah eksport padi yang tinggi, USD41.6 juta.

Ketika Malaysia memperkenalkan Rancangan Malaysia Ke-8 yang memberi tumpuan kepada sektor perindustrian dan perkhidmatan, arah aliran pengurangan pengeluaran padi menjadi lebih ketara.

Ini mengakibatkan keterjaminan makanan berada pada paras yang kurang memuaskan dan Malaysia terpaksa mengurangkan eksport untuk meningkatkan pengeluaran padi bagi memenuhi penggunaan tempatan.

Strategi Ketiga

Tertumpu kepada sistem bandar dan teknologi tinggi untuk meningkatkan produktiviti makanan.

Berdasarkan GSFI, Singapura berada pada kedudukan ke-28 walaupun keluasan tanahnya yang jauh kecil berbanding Malaysia.

Sebagai perbandingan, keluasan Singapura hanyalah 719 kilometer persegi iaitu lebih kecil daripada keluasan negeri Perlis yang mempunyai keluasan 819 kilometer persegi.

Pada 2019, mereka melancarkan kempen 30 hingga 30. Ini adalah satu usaha untuk meningkatkan kapasiti sektor makanan pertanian bagi memenuhi 30 peratus permintaan pemakanan global secara mampan menjelang 2030.

Matlamatnya adalah untuk menubuhkan pusat teknologi pertanian bandar.

Antara strategi dalam inisiatif 30 hingga 30 adalah pencahayaan LED berbilang tingkat dalaman dan sistem akuakultur peredaran semula, Ladang Ikan Terapung Pintar Teknologi Akuakultur Singapura yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan pertumbuhan dan kesihatan ikan dan Sky Greens yang menggunakan sistem berasaskan peringkat berputar yang mengoptimumkan penyerapan cahaya dan air untuk menghasilkan sayur-sayuran berdaun.

Dengan adanya sistem bandar berteknologi tinggi ini, ia boleh meningkatkan pengeluaran agromakanan.

Malaysia turut meluncurkan inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran agromakanan mengunakan teknologi tinggi.

Di majlis peluncuran Ekonomi Madani, PMX telah menyatakan komitmen kerajaan untuk menyediakan geran sebanyak RM200 juta melalui Agrobank bagi membantu menyediakan kemudahan pembiayaan khususnya bagi aplikasi teknologi moden pertanian.

Selain itu, Khazanah Nasional Bhd juga telah menganjurkan Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KIIC) 2023 yang bertemakan, "Menangani Cabaran Iklim demi Keterjaminan Makanan di Malaysia".

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd berkata melalui KIIC 2023 ini, Khazanah Nasional dapat menawarkan sokongan yang diperlukan dan ini merupakan salah satu platform bagi menarik modal untuk menjana penyelesaian yang inovatif dan mampan.

Kesimpulannya, untuk menangani isu keterjaminan makanan di Malaysia, kerajaan harus mengkaji semula dasar keterjaminan makanan semasa dan mempertimbangkan bagaimana import, eksport dan sistem teknologi tinggi bandar boleh membantu.

Sebagai tambahan kepada tiga aspek utama, adalah penting untuk menarik pakar yang juga komited mengenai sektor pertanian. Tanpa pakar, pelaburan untuk setiap sektor akan gagal, sama seperti pelaburan yang lain.

Oleh itu, kerajaan perlu memberi inspirasi dan menarik minat generasi muda supaya mereka bekerja bersama dan mengenali potensi sektor pertanian.

Apabila lebih ramai petani mendapat keuntungan daripada operasi pertanian mereka, mereka akan meningkatkan produktiviti pertanian dan seterusnya menangani masalah keterjaminan makanan.

ISU KETERJAMINAN MAKANAN DAN KESANNYA KEPADA DUNIA

Peningkatan populasi manusia di seluruh dunia yang dijangka akan mencecah 8.4 bilion menjelang tahun 2025, akan berkadaran dengan peningkatan keperluan makanan.

Seterusnya terdapat juga isu dari segi pencemaran air dan tanah, perubahan iklim dan keluasan tanah pertanian yang semakin terhad akibat kepesatan proses pembangunan dan perbandaran.

Faktor-faktor di atas seterusnya membawa kepada perkara pokok yang ingin kita bincangkan di sini iaitu Keterjaminan Makanan.

Apakah itu Keterjaminan Makanan? Secara amnya, Keterjaminan makanan ditakrifkan sebagai satu situasi apabila individu atau isi rumah, pada bila-bila masa, memiliki akses ekonomi dan fizikal ke atas makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat.

Yang mana ia memenuhi keperluan dan citarasa pemakanan untuk hidup yang aktif dan sihat sepanjang masa.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), terdapat empat komponen yang menjadi tunjang kepada Keterjaminan Makanan iaitu:
  1. Ketersediaan makanan (Availability) – Keperluan untuk adanya sumber yang boleh harap dan konsisten untuk mendapatkan makanan yang berkualiti.
  2. Capaian makanan (Accessibility) – Kemampuan setiap individu atau isi rumah untuk menghasilkan dan/atau membeli makanan dengan sumber yang mencukupi.
  3. Penggunaan makanan (Utilization) – Orang ramai mempunyai pengetahuan dan persekitaran asas yang bersih untuk memilih, menyedia dan mengedarkan makanan sehingga mampu menghasilkan nutrisi yang baik.
  4. Kestabilan makanan (Stability) – Keupayaan orang ramai untuk mengakses dan menggunakan makanan secara stabil dan berterusan dari semasa ke semasa.

Apakah keterkaitan antara setiap komponen di atas dalam aspek keterjaminan makanan ini? Secara mudahnya boleh kita perhatikan dari fakta berikut.

Pada ketika ini, pengeluaran makanan melalui pertanian di seluruh dunia mampu untuk menampung keperluan makanan bagi hampir 1.5 kali dari populasi semasa masyarakat sedunia (bersamaan kira-kira 10 bilion manusia).

Namun, data pada tahun 2018 dari UNICEF menyatakan, lebih daripada 820 juta manusia di seluruh dunia masih mengalami kebuluran, yang mana menunjukkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kedua berkenaan Sifar Kebuluran masih jauh dari sasaran.

Bagaimanakah kebuluran dan malnutrisi masih berlaku walaupun dengan adanya pengeluaran makanan yang lebih dari mencukupi?

Perkara ini terjadi akibat dari ketidakseimbangan pada empat komponen Keterjaminan Makanan yang dinyatakan.

Menurut laman sesawang worldhunger.org, masalah kebuluran yang kebanyakannya berlaku di bahagian sub-Sahara Afrika dan di selatan Asia disebabkan oleh beberapa faktor antaranya;

Kemiskinan

Kemiskinan adalah punca utama kepada kebuluran di Afrika dan serata dunia. Individu yang hidup dalam kemiskinan tidak mampu mendapatkan makanan, baik dari segi kuantiti atau kualiti bagi menjalani kehidupan yang sihat.

Menurut Bank Dunia, pada tahun 2013, 42.3% penduduk sub-Sahara Afrika hidup pada atau kurang dari $1.90.

Kanak-kanak yang terdedah kepada malnutrisi akan menyebabkan pertumbuhan mereka terbantut, yang membawa kepada kesan jangka panjang seperti menurunkan kadar produktiviti dan potensi pendapatan.

Konflik

Pada tahun 2017, konflik menjadi penyebab utama masalah makanan dan kebuluran di 18 buah negara, yang menjejaskan kira-kira 74 juta individu.

Sebelas dari negara-negara ini berada di Afrika seperti Nigeria, Congo, Somalia dan selatan Sudan.

Konflik dan keganasan antara etnik ini memberi kesan langsung dan tidak langsung ke atas semua peringkat dalam sistem makanan (Pengeluaran – Pemprosesan – Pengedaran – Penggunaan).

Cabaran Iklim dan Alam Sekitar

Cabaran alam sekitar seperti hakisan tanah, desertifikasi, penebangan hutan, kemarau dan kekurangan air – boleh memberi kesan buruk terhadap keselamatan makanan.

Perubahan iklim pula dijangka akan membentuk semula landskap pertanian dunia. Iklim yang lebih sejuk adalah lebih baik untuk pertanian, tetapi akan melihatkan penurunan hasil yang ketara bagi beberapa kawasan pertanian utama dunia, misalnya di Brazil, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Masalah Pengurusan Sistem Makanan

Ketidakupayaan kita untuk memberi makan kepada keseluruhan penduduk dunia kebanyakannya disebabkan oleh pembaziran makanan.

Di negara-negara mundur, makanan terbazir disebabkan kurangnya infrastruktur dan pengetahuan untuk memastikan makanan sentiasa segar.

Misalnya di India, kira-kira 30-40% stok makanan terbuang kerana peruncit dan pemborong tidak mempunyai tempat penyimpanan sejuk.

Manakala di negara-negara maju dan sedang membangun, walaupun kos relatif penghasilan makanan adalah lebih rendah, namun pengambilan makanan yang melebihi keperluan menyebabkan lebih banyak makanan terbuang.

Sumber: BERNAMA/Mampankini

-DOSM Keningau

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »