Prestasi Perdagangan Borong & Runcit, Januari 2025

Perdagangan borong & runcit memulakan tahun 2025 dengan jumlah jualan sebanyak RM148.9 bilion pada Januari, merekodkan pertumbuhan 4.6 peratus tahun ke tahun. Peningkatan jualan bagi Januari didorong terutamanya oleh subsektor Perdagangan runcit dan Perdagangan borong.

Prestasi Perdagangan Borong & Runcit, Januari 2025

Perdagangan runcit mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM66.1 bilion, meningkat RM5.0 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 8.2 peratus. Perdagangan borong pula mencatatkan jumlah jualan RM66.8 bilion, meningkat RM3.1 bilion, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.9 peratus.

Walau bagaimanapun, subsektor Kenderaan bermotor mencatatkan jualan berjumlah RM16.0 bilion, menurun RM1.6 bilion atau -9.1 peratus tahun ke tahun berikutan prestasi luar biasa pada Disember 2024.

Perdagangan borong terus menunjukkan daya tahan pada Januari 2025, didorong oleh permintaan yang kukuh terhadap barangan keperluan pengguna. Jualan borong barangan isi rumah meningkat 5.3 peratus kepada RM13.9 bilion, terutamanya disokong oleh peningkatan jualan pakaian dan produk berkaitan farmasi.

Jualan borong makanan, minuman & tembakau turut mencatatkan peningkatan, iaitu 5.0 peratus kepada RM13.9 bilion, didorong oleh peningkatan penggunaan sempena musim perayaan. Pertumbuhan ini juga disokong oleh Lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat 2.6 peratus.

Subsektor Perdagangan runcit ini disokong oleh Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 9.7 peratus kepada RM25.5 bilion dan juga Jualan runcit di kedai pengkhususan yang berkembang 8.3 peratus kepada RM14.0 bilion pada Januari 2025.

Lonjakan dalam aktiviti jualan runcit ini sebahagian besarnya didorong oleh sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan musim cuti sekolah.

Pada Januari juga, Malaysia menjadi tuan rumah bagi sambutan Tahun Baru Cina yang pertama kali diadakan di luar China, sekaligus meningkatkan ketibaan pelancong dari negara tersebut dan memberi impak positif kepada aktiviti peruncitan.

Selain itu, Jualan runcit bahan api kenderaan mencatat pertumbuhan 7.8 peratus kepada RM6.0 bilion, mencerminkan peningkatan aktiviti perjalanan.

Sementara itu, Jualan runcit barangan isi rumah meningkat 4.7 peratus kepada RM7.5 bilion, didorong oleh permintaan lebih tinggi terhadap produk peralatan rumah bersempena musim perayaan.

Pada tempoh yang sama, Jualan runcit barangan kesenian & rekreasi meningkat 9.4 peratus kepada RM2.9 bilion, disokong oleh pembelian kelengkapan persekolahan menjelang sesi baharu pada Februari.

Walau bagaimanapun, dalam tempoh yang sama, subsektor Kenderaan bermotor mencatatkan penurunan dalam jualan berbanding Januari tahun lalu.

Trend yang sama turut dilaporkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang merekodkan jualan sebanyak 48,732 kenderaan berbanding 66,923 kenderaan pada tahun lepas.

Manakala, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencatatkan 53,930 pendaftaran kenderaan, lebih rendah berbanding 70,186 pendaftaran pada tahun lalu. Penurunan pembelian pada bulan ini sebahagiannya disebabkan oleh pembelian awal pada Disember yang lalu.

Kumpulan lain yang menyumbang kepada penurunan subsektor ini termasuk Jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal yang mencatatkan pertumbuhan negatif iaitu -1.2 peratus kepada RM1.1 bilion.

Namun, dua kumpulan lagi iaitu Jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor dan Penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor merekodkan pertumbuhan positif masing-masing 8.0 peratus dan 5.1 peratus.

Jualan runcit melalui internet pada Januari menunjukkan peningkatan yang ketara, dengan indeks jualan runcit meningkat 9.9 peratus tahun ke tahun, disumbangkan oleh pelbagai promosi sempena perayaan dan juga persediaan persekolahan.

Selepas pelarasan musim, indeks mencatatkan peningkatan 7.0 peratus bulan ke bulan.

Dari segi indeks volum, Perdagangan borong & runcit mencatatkan peningkatan 3.8 peratus tahun ke tahun. Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh subsektor Perdagangan runcit, yang meningkat 6.6 peratus, diikuti oleh Perdagangan borong yang mencatatkan peningkatan 4.5 peratus.

Sebaliknya, Kenderaan bermotor mencatatkan penurunan -11.1 peratus pada bulan ini. Selepas pelarasan musim, indeks volum mencatatkan peningkatan bulanan 0.4 peratus berbanding Disember 2024.

Sektor Perdagangan borong & runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih rendah pada Januari 2025, disebabkan kemerosotan dalam segmen Kenderaan bermotor, sementara subsektor Perdagangan runcit dan Perdagangan borong terus menunjukkan prestasi positif.

Sektor ini dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong oleh penggunaan domestik yang stabil dan aktiviti pelancongan yang berterusan.

Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/performance-of-wholesale--retail-trade-january-2025

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
12 MAC 2025

Sekian, terima kasih.

#StatsMalaysia
#DOSM_Sabah
#DOSM_Keningau
#StatistikNadiKehidupan
#StatistikSegalanyaPasti

-DOSM Keningau

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »