Perangkaan Pembuatan Bulanan, Januari 2025

Nilai jualan sektor Pembuatan pada Januari 2025 meningkat 3.5 peratus (Disember 2024: 5.7%), berjumlah RM158.1 bilion. Peningkatan nilai jualan sektor Pembuatan disokong terutamanya oleh subsektor Makanan, minuman & tembakau yang merekodkan pertumbuhan kukuh 10.6 peratus pada Januari 2025 (Disember 2024: 14.6%).

PEMBUATAN JANUARI 2025

Ini diikuti dengan subsektor Peralatan elektrik & elektronik dan Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam, masing-masing pada 7.3 peratus (Disember 2024: 8.7%) dan 2.1 peratus (Disember 2024: 3.2%).

Perbandingan dengan bulan sebelumnya, nilai jualan menguncup sedikit sebanyak 0.2 peratus kepada RM158.1 bilion berbanding RM158.4 bilion yang direkodkan pada Disember 2024.

Nilai jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili 70.2 peratus daripada jumlah jualan, berkembang 5.1 peratus pada Januari 2025 (Disember 2024: 7.1%). Pengembangan tersebut berkait rapat dengan peningkatan dalam Pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan sebanyak 11.1 peratus (Disember 2024: 17.0%).

Selain itu, Pembuatan komputer, produk elektronik & optikal turut meningkat sebanyak 7.7 peratus (Disember 2024: 9.4%), sementara Pembuatan produk getah bertumbuh 8.9 peratus (Disember 2024: 10.7%).

Industri berorientasikan domestik meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus pada Januari 2025 setelah mencatatkan kenaikan 2.5 peratus pada Disember 2024. Prestasi ini disebabkan oleh penyusutan tahun ke tahun dalam Pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler (-17.6%).

Walau bagaimana pun, ini diimbangi dengan Pembuatan produk pemprosesan makanan yang mengekalkan pertumbuhan dua angka pada 10.4 peratus (Disember 2024: 11.2%); Pembuatan produk logam kecuali mesin & kelengkapan (3.1%); dan Pembuatan minuman (9.1%). Perbandingan bulan ke bulan, kedua-dua industri berorientasikan eksport dan domestik jatuh 0.2 peratus.

Seramai 2.39 juta orang pekerja dalam sektor ini pada Januari 2025, bertambah 0.9 peratus (Disember 2024: 1.0%). Pertambahan ini didorong terutamanya oleh subsektor Makanan, minuman & tembakau (2.0%); Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (1.6%); dan Peralatan elektrik & elektronik (0.6%). Perbandingan bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor ini berkurang 0.2 peratus.

Gaji & upah yang dibayar dalam sektor Pembuatan juga mencatatkan peningkatan 1.5 peratus (Disember 2024: 1.7%), berjumlah RM8.5 bilion pada Januari 2025. Perbandingan bulan ke bulan, gaji & upah yang dibayar susut 4.6 peratus.

Seterusnya, nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat kepada RM66,011 (2.6%), manakala purata gaji & upah bagi setiap pekerja adalah RM3,540, meningkat 0.6 peratus tahun ke tahun.

Maklumat lanjut: https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/monthly-manufacturing-statistics-malaysia-january-2025

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
12 MAC 2025

Sekian, terima kasih.

#StatsMalaysia
#DOSM_Sabah
#DOSM_Keningau
#StatistikNadiKehidupan
#StatistikSegalanyaPasti

-DOSM Keningau

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »