Industri ICT Dan e-Dagang Sumbang 23.4 Peratus KDNK Malaysia

Industri ICT dan e-dagang menyumbang 23.4 peratus kepada ekonomi Malaysia, bernilai RM451.3 bilion pada tahun 2024. Oleh itu, prestasi ICT dan e-dagang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus berbanding 3.5 peratus yang direkodkan pada tahun 2023.

e-dagang 2024

Prestasi ICT dipacu oleh industri pembuatan ICT yang meningkat kepada 7.4 peratus berbanding 2.4 peratus pada tahun sebelumnya. Ini diikuti oleh industri perkhidmatan ICT dan industri perdagangan ICT yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus dan 4.6 peratus.

Prestasi e-dagang berjumlah RM258.2 bilion mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.7 peratus pada tahun 2024 berbanding 3.0 peratus pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ini disokong oleh sektor Pembuatan yang mencatatkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus berbanding 0.1 peratus pada tahun 2023. Selain itu, sektor Perkhidmatan turut berkembang sebanyak 4.9 peratus (2023: 7.8%) manakala sektor Pertanian melonjak 7.5 peratus (2023: -2.4%) pada tahun 2024.

Eksport produk ICT meningkat sebanyak 4.4 peratus dengan nilai RM449.7 bilion pada tahun 2024 berbanding penyusutan 5.2 peratus pada tahun 2023.

Walau bagaimanapun, import produk ICT merekodkan peningkatan ketara sebanyak 22.2 peratus berbanding penyusutan 14.0 peratus pada tahun sebelumnya.

Oleh itu, eksport bersih produk ICT mencatatkan lebihan dengan nilai RM119.8 bilion pada tahun 2024 berbanding RM160.7 bilion pada tahun 2023.

Guna tenaga dalam industri ICT menyumbang 7.6 peratus daripada jumlah keseluruhan guna tenaga di Malaysia, bersamaan dengan 1.25 juta orang pada tahun 2024.

Dari segi pertumbuhan, guna tenaga ICT meningkat sebanyak 1.2 peratus berbanding 1.6 peratus pada tahun 2023.

Sebahagian besar guna tenaga ICT tertumpu dalam industri pembuatan ICT, perkhidmatan ICT dan perdagangan ICT yang secara keseluruhannya mewakili 87.4 peratus daripada guna tenaga dalam industri ICT.

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
15 Oktober 2025

Semoga memberi manfaat.

-DOSMKeningau

Laporan Khas Demografi Orang Asli Berdasarkan Penemuan Banci Penduduk 2020

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan Laporan Khas Demografi Orang Asli berdasarkan penemuan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020. Laporan ini membentangkan statistik berkaitan Orang Asli yang merangkumi aspek penduduk, isi rumah dan tempat kediaman, kemudahan asas serta penunjuk sosial seperti penggunaan media sosial dan akses digital mengikut negeri dan daerah pentadbiran.

Laporan Khas Demografi Orang Asli

Penduduk Orang Asli di Malaysia dianggarkan meningkat kepada 227,900 orang pada tahun 2025 berbanding 213,461 orang pada tahun 2020 dengan kadar purata pertumbuhan tahunan penduduk 1.2 peratus.

Pahang mencatatkan penduduk Orang Asli tertinggi dengan 82,824 orang pada 2020, diikuti oleh Perak (58,942) dan Selangor (21,312). Batang Padang, Perak merekodkan jumlah penduduk tertinggi dengan 17,092 orang, diikuti oleh Lipis (14,999) dan Rompin (14,985) di Pahang.

Penduduk Orang Asli terdiri daripada 108,354 atau 50.8 peratus lelaki, berbanding perempuan seramai 105,107 (49.2%). Nisbah jantina kekal iaitu 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan pada tahun 2020 dan 2010.

Negeri yang mencatatkan nisbah tertinggi ialah W.P. Labuan (150), Sabah (116) dan Kedah (115).

KUMPULAN ETNIK UTAMA

Masyarakat Orang Asli terdiri daripada tiga kumpulan etnik utama iaitu Senoi, Melayu Proto dan Negrito yang merangkumi sejumlah 18 sub-etnik.

Etnik Senoi terdiri daripada sub-etnik Temiar, Semai, Mah Meri, Jahut, Che Wong dan Semoq Beri.

Etnik Melayu Proto pula terdiri daripada Jakun, Temuan, Semelai, Orang Kuala, Orang Kanaq dan Orang Seletar.

Manakala, etnik Negrito merangkumi Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Bateq dan Lanoh.

Peratusan penduduk Melayu Proto meningkat kepada 44.4 peratus (2020) berbanding 40.9 peratus (2010), manakala Senoi dan Negrito masing-masing menurun kepada 53.5 peratus dan 2.1 peratus (2020) daripada 56.0 peratus dan 3.1 peratus (2010).

KOMPOSISI UMUR

Komposisi penduduk umur muda (0–14 tahun) menurun kepada 33.3 peratus (2020) daripada 39.9 peratus (2010) dan penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) kekal pada 2.9 peratus.

Peningkatan penduduk umur bekerja (15–64 tahun) kepada 63.8 peratus (2020) daripada 57.2 peratus (2010) menyebabkan nisbah tanggungan jumlah menurun kepada 56.7(2020) daripada 74.3 (2010).

Nisbah tanggungan umur muda dan nisbah tanggungan umur tua masing-masing turut menurun kepada 52.2 dan 4.5 pada 2020 berbanding 69.2 dan 5.1 pada 2010.

STATUS PERKAHWINAN

Peratusan penduduk berumur 15 tahun dan lebih yang tidak pernah berkahwin meningkat kepada 34.4 peratus pada tahun 2020 daripada 32.5 peratus pada tahun 2010.

Peratusan penduduk yang berkahwin menurun kepada 59.4 peratus (2020) daripada 61.8 peratus (2010).

Penduduk yang berstatus balu/duda menurun kepada 4.7 peratus pada tahun 2020 berbanding 4.8 peratus pada tahun 2010, manakala penduduk berstatus bercerai atau berpisah meningkat kepada 1.6 peratus pada tahun 2020 daripada 1.0 peratus (2010).

PEKERJAAN

Majoriti penduduk Orang Asli bekerja sendiri, merangkumi 59.7 peratus pada tahun 2020 berbanding 50.2 peratus pada tahun 2010.

Pekerja sektor swasta merupakan kumpulan kedua tertinggi dengan 28.7 peratus, diikuti oleh pekerja kerajaan (6.6%), pekerja keluarga tanpa gaji (4.3%) dan majikan (0.7%).

SAIZ ISI RUMAH

Jumlah isi rumah Orang Asli pada tahun 2020 ialah 54,275 berbanding 30,403 pada tahun 2010, dengan kadar pertumbuhan purata tahunan 5.8 peratus.

Purata saiz isi rumah menurun kepada 3.9 orang (2020) berbanding 5.3 orang (2010) dalam tempoh sedekad.

Kelantan mencatatkan purata saiz isi rumah terbesar iaitu 4.3 orang, diikuti oleh Pahang (4.2 orang) dan Negeri Sembilan (4.1 orang).

BILANGAN TEMPAT KEDIAMAN

Laporan Khas Demografi Orang Asli 2

Bilangan tempat kediaman pada tahun 2020 ialah 45,189 berbanding 32,281 pada tahun 2010. Pahang mencatatkan bilangan tempat kediaman tertinggi iaitu 16,975, diikuti oleh Perak (12,629) dan Selangor (4,651).

KELAHIRAN & KEMATIAN

Kelahiran hidup Orang Asli pada 2024 ialah 4,198 menurun sebanyak 9.1 peratus daripada 4,620 kelahiran (2020).

Pahang merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 1,779 kelahiran (2024). Kematian Orang Asli meningkat 23.4 peratus (1,278) pada 2024 daripada 1,036 pada tahun 2020. Pahang merekodkan kematian tertinggi dengan 526 kematian pada tahun 2024.

Ischaemic heart disease merupakan sebab kematian utama penduduk Orang Asli pada tahun 2020 (12.5%) berbanding Pneumonia (12.0%) pada 2010.

Bagi lelaki Orang Asli, sebab kematian utama pada tahun 2020 ialah Ischaemic heart disease (13.6%) berbanding Transport accidents (13.0%) pada tahun 2010.

Manakala, bagi wanita Orang Asli, Pneumonia kekal sebagai sebab kematian utama dengan sedikit penurunan kepada 14.6 peratus pada tahun 2020 berbanding 15.2 peratus pada tahun 2010.

Bayi Orang Asli yang lahir pada tahun 2010 dan 2020 dijangka hidup secara purata sehingga 62.7 tahun dan 67.8 tahun.

Bagi tempoh 2010 hingga 2020, jangkaan hayat semasa lahir meningkat sebanyak 5.1 tahun.

Jangkaan hayat lelaki meningkat sebanyak 6.1 tahun dan perempuan, 3.5 tahun.

Jurang jangkaan hayat antara lelaki dan perempuan Orang Asli pada tahun 2010 adalah 6.2 tahun berbanding 3.6 tahun pada tahun 2020.

Dalam tempoh 10 tahun, jurang jangka hayat antara jantina berkurang sebanyak 2.6 tahun.

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
14 Oktober 2025

Semoga memberi manfaat.

-DOSMKeningau

Program Literasi Statistik 2025 Bersama Komuniti Kg. Tudan Baru

Program Literasi Statistik bersama Komuniti Kg. Tudan Baru merupakan inisiatif kerjasama antara Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM Keningau) dan komuniti setempat yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan statistik dalam kehidupan seharian.

STATS TALK TP
Timbalan Pengarah DOSM Sabah.

Program ini memberi penekanan kepada aspek literasi data, penggunaan statistik dalam membuat keputusan, serta meningkatkan keupayaan komuniti untuk mentafsir dan menggunakan maklumat statistik dengan lebih berkesan.

Melalui Stats Talk dan aktiviti komuniti, peserta didedahkan kepada konsep asas statistik, kaedah pengumpulan data, serta aplikasi statistik dalam konteks sosioekonomi setempat.

Sambutan Hari Statistik 2025 DOSM Keningau.

Program ini juga bertindak sebagai platform bagi memperkukuh hubungan antara DOSM dan masyarakat akar umbi, khususnya dalam menjayakan agenda pembangunan berasaskan data.

GAMBAR SEPANJANG PROGRAM


























Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja meningkatkan celik statistik dalam kalangan komuniti Kg. Tudan Baru, malah turut menyemai budaya penggunaan data yang lebih bertanggungjawab dan berinformasi ke arah komuniti yang lebih progresif dan berdaya saing.

Semoga memberi manfaat.

-DOSMKeningau

Siaran Khas 2 (Untuk Kerja-kerja Pembinaan Bangunan dan Struktur), September 2025

Siaran Khas 2 — Kerja‑kerja Pembinaan Bangunan & Struktur, adalah terbitan khas yang dikeluarkan oleh DOSM yang merangkumi indeks kos bahan binaan dan harga seunit bahan binaan khusus bagi kerja‑kerja pembinaan bangunan dan struktur.

Terbitan ini disediakan bagi Semenanjung Malaysia serta versi untuk Sabah & Sarawak.

Indeks Kos Bahan Binaan

Siaran Khas 2 ini biasanya mengandungi:

1. Jadual Indeks Kos Bahan Binaan

Menunjukkan kadar perubahan kos bahan pembinaan utama dari tahun ke tahun untuk komponen seperti simen, besi, batu, pasir, keluli struktur, dsb.

2. Harga Seunit Bahan Binaan

Menyediakan maklumat harga pasaran semasa bagi unit seperti per kilogram, per meter padu, dsb.

3. Nota Teknikal/Penjelasan Metodologi

Terbitan ini selalunya disertakan dengan nota ringkas tentang metodologi pengiraan indeks dan sumber data bagi memastikan ketelusan dan kefahaman pengguna.

4. Pembahagian Mengikut Kategori Bangunan/Kawasan

Bahan kos menurut kategori bangunan (kediaman, komersial, industri) dan kawasan geografi (bandar, luar bandar).

Tujuan utama adalah untuk membantu:
  • Kontraktor dan pemaju merancang bajet projek dengan lebih tepat berdasarkan kos semasa bahan binaan.
  • Pihak kerajaan dan agensi awam mengawal kos pembinaan dan merancang subsidi atau penyesuaian dasar.
  • Penyelidikan ekonomi dan analisis inflasi dalam sektor pembinaan.

INDEKS HARGA SEUNIT BAHAN BINAAN
  • Indeks harga besi menunjukkan peningkatan pada September 2025, iaitu antara 0.4 peratus sehingga 1.9 peratus berbanding bulan lepas. Peningkatan tertinggi indeks harga bahan ini telah direkodkan di Miri (1.9%) diikuti dengan Perak (1.8%) dan Sibu (1.7%).
  • Indeks harga keratan keluli & logam turut meningkat pada September 2025, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.2 peratus hingga 0.5 peratus di semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
  • Selain itu, indeks harga seunit simen pula kekal tidak berubah bagi semua kawasan kecuali peningkatan dalam indeks di Terengganu & Kelantan (0.4%) dan Sandakan (0.3%).
  • Perbandingan tahunan untuk tempoh September 2024 dan September 2025 menunjukkan indeks harga seunit besi merekodkan penurunan antara negatif 2.8 peratus hingga negatif 8.6 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan ini telah dicatatkan di Pulau Pinang, Kedah & Perlis (-8.6%).
  • Selain daripada itu, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit simen pula telah mencatatkan peningkatan antara 0.5 peratus hingga 3.9 peratus pada September 2025 berbanding bulan yang sama tahun lalu, bagi seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Peningkatan tertinggi bagi indeks ini dicatatkan di Tawau (3.9%), diikuti dengan Sandakan (2.8%) dan Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (2.5%).

PURATA HARGA SEUNIT BAHAN BINAAN TERPILIH
  • Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan peningkatan 0.7 peratus, dengan purata harga RM3,516.11 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Ogos 2025: RM3,491.35 per tan metrik).
  • Purata harga bagi simen Ordinary Portland juga telah mencatatkan peningkatan kecil (0.2%) dengan purata harga RM23.90 per 50 kg sekarung berbanding Ogos 2025 (RM23.85 per 50 kg sekarung).

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
10 OKTOBER 2025

Semoga memberi manfaat.

-DOSMKeningau

Cara Guna MyKAD Subsidi Petrol BUDI95

BUDI95 ialah program yang diperkenalkan kerajaan Malaysia untuk memastikan rakyat mendapat manfaat sepenuhnya daripada subsidi diesel yang disasarkan. Program ini diuruskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dengan kerjasama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Cara Guna MyKAD Subsidi Petrol BUDI95

Berikut ialah mekanisme pelaksanaan BUDI95 Menggunakan MyKad:

1. Di mana boleh beli Petrol Bersubsidi?

BUDI95 boleh dibeli di semua stesen minyak di Malaysia.

2. Adakah pembelian lebih sukar dengan MyKad?

Tidak. MyKad hanya diperlukan sekali di awal proses untuk sahkan kelayakan. Bayaran boleh dibuat seperti biasa (tunai, kad kredit/debit, e-dompet).

3. Jenis MyKad yang diterima

Semua warganegara Malaysia dengan MyKad dan lesen memandu aktif layak. MyKad lama dengan cip sejak 2001 masih boleh digunakan. Untuk MyKad rosak atau belum ada cip, perlu tukar di JPN.

4. Situasi perlu tukar MyKad
  • Kad gagal dibaca di mesin/kios
  • Bank/agensi kerajaan menolak transaksi
  • Kad perlu diimbas berkali-kali atau rosak fizikal
  • Kad terlalu lama (>10 tahun)

Tukar di JPN, UTC, atau perkhidmatan bergerak MEKAR.

5. Cara beli BUDI95

Hanya tambah satu langkah pengesahan MyKad sebelum beli. Untuk e-wallet atau aplikasi minyak, buat e-KYC sekali sahaja. Semua stesen berdaftar menyokong tunai; kaedah lain ikut kesediaan stesen.

6. Boleh guna BUDI95 untuk kegunaan selain kenderaan (Contoh: Bot memancing, Dram komuniti)?

Ya, dengan permit khas KPDNHEP, tetapi setiap pembelian akan mengurangkan baki subsidi untuk kegunaan peribadi.

7. Perlukan lesen semasa pembelian?

Tidak. Hanya MyKad digunakan untuk pengesahan.

8. Jika tidak layak di portal

Sistem akan beri kod tidak layak dan sebab.

Rakyat boleh kemas kini maklumat di JPJ atau JPN, kemudian semak semula di portal www.budi95.gov.my.

9. Jika MyKad tidak dibaca di stesen

Staf akan cuba 3 kali imbasan. Jika masih gagal, nombor MyKad boleh dimasukkan secara manual.

Rakyat disarankan kemas kini MyKad jika rosak atau lama.

10. Jika sistem stesen minyak terganggu

Stesen minyak mempunyai perancangan kesinambungan perniagaan (BCP) supaya rakyat tetap boleh membeli RON95 bersubsidi RM1.99 seliter walaupun internet terganggu.

11. Adakah had pembelian sekali sehari?

Tidak. Tiada had sekali sehari. Tujuan BUDI95 adalah memenuhi keperluan harian rakyat Malaysia dan elak penyalahgunaan.

12. Kenapa subsidi tidak diberi terus seperti STR?

BUDI95 guna kaedah subsidi bersasar untuk pastikan pengurusan kewangan negara lebih cekap dan mampan.

Petrol RON95 bersubsidi disasarkan khusus kepada rakyat Malaysia yang layak, supaya digunakan untuk pengangkutan seharian dan elak ketirisan.

13. Bagaimana MyKad dilindungi daripada penyalahgunaan?

Maklumat peribadi dalam MyKad dilindungi melalui sistem terkawal dan teknologi pengesahan terkini.

Semua padanan data dikendalikan oleh pangkalan data berpusat (CDB) Kerajaan, mengikut piawaian keselamatan dan prinsip perlindungan data.

14. Adakah syarikat minyak atau aplikasi pembayaran boleh akses maklumat peribadi saya?

Tidak. Berdasarkan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), data hanya boleh diakses dengan kebenaran anda semasa pembayaran melalui e-KYC.

Aplikasi pembayaran tidak boleh mengakses maklumat peribadi tanpa kebenaran.

Semoga memberi manfaat.

-DOSMKeningau

Cara Semak Kelayakan Subsidi Petrol BUDI95

BUDI95 adalah inisiatif subsidi bahan api RON95, yang mana di bawah skim ini, rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas adalah layak membeli petrol RON95 pada harga subsidi RM 1.99 per liter.

SUBSIDI PETROL BUDI MADANI RON95

Berikut adalah 12 perkara yang rakyat perlu tahu mengenai kelayakan, berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan.

1. Siapa yang layak?

Semua warganegara Malaysia dengan lesen memandu aktif. Ini termasuk lesen percubaan (CDL/PDL) (Kelas kenderaan A1, D dan DA, A, B, B1, B2, C dan ke atas) dan lesen belajar memandu (LDL) bagi kelas A, B, B1, B2, C dan ke atas. Pemegang MyKad diperlukan untuk pengesahan.

2. Bagaimana cara semak kelayakan

Layari www.budi95.gov.my mulai 25 September 2025. Klik "Semak Kelayakan Individu" → masukkan nombor MyKad.

3. Adakah RON95 percuma?

Tidak. Kelayakan bermaksud anda membeli RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, lebih murah daripada harga tanpa subsidi (sekitar RM2.60). Pengalaman isi minyak tetap sama, cuma liter tambahan diterima.

4. Berapa jumlah subsidi setiap individu

Setiap rakyat Malaysia yang layak boleh membeli RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan. Baki akan diperbaharui setiap awal bulan.

5. Kenapa had 300 liter?

Purata penggunaan rakyat hanya 80 liter/bulan, tapi had 300 liter ditetapkan untuk menampung variasi penggunaan dan elak penyalahgunaan, termasuk penyeludupan atau penggunaan komersial besar-besaran.

6. Bagaimana jika ada lebih daripada satu kenderaan?

Kelayakan adalah per individu, bukan per kenderaan. Memiliki banyak kereta tidak menambah jumlah subsidi.

7. Boleh isi minyak melebihi had?

Selepas 300 liter, anda boleh membeli petrol pada harga pasaran tanpa subsidi. Baki kelayakan baharu akan diperbaharui bulan berikutnya.

8. Berapa harga RON95 tanpa subsidi?

Ditentukan oleh Mekanisme Harga Automatik (APM) mengikut pergerakan pasaran. Kerajaan memastikan turun naik harga tidak terlalu melampau.

9. Boleh guna MyKad isteri/ keluarga untuk satu kereta?

Ya, setiap pemilik MyKad boleh isi kenderaan sama, tetapi pemilik MyKad mesti hadir. Menggunakan MyKad orang lain adalah salah di sisi undang-undang.

10. Boleh pinjam MyKad orang lain?

Tidak. Hanya boleh guna MyKad sendiri atau e-KYC yang sah. Pelanggaran boleh didenda.

11. Baki subsidi boleh dibawa ke bulan depan?

Tidak. Siling kelayakan diperbaharui setiap awal bulan dan tidak boleh carry forward.

12. Bagaimana kelayakan BUDI95 pemandu e-hailing?

Kerajaan sedar e-hailing mungkin perlukan lebih subsidi. Perdana Menteri berkata, mereka dikecualikan daripada had terbabit serta boleh memohon untuk had lebih tinggi.

Semoga memberi manfaat.

-DOSMKeningau

Apa Itu Imposter Syndrome Dan Kesan Buruknya Apabila Tidak Yakin Pada Diri Sendiri

Imposter Syndrome atau lebih dikenali sebagai Fenomena Penyamar (Impostor Phenomenon, IP) yang diperkenalkan oleh Clance dan Imes (1978) telah menarik perhatian ramai penyelidik kerana hubungannya dengan pelbagai implikasi negatif terhadap kesihatan mental, termasuk kegelisahan, kemurungan, serta harga diri yang rendah.

Apa itu Imposter Syndrome

Imposter Syndrome ditakrifkan sebagai pengalaman subjektif yang menimbulkan perasaan bahawa kejayaan diperoleh melalui faktor luaran seperti nasib atau kebetulan dan bukan hasil daripada kebolehan sebenar.

Individu yang mengalami Imposter Syndrome lazimnya menunjukkan ciri keraguan berterusan terhadap kebolehan diri, ketakutan untuk dikenal pasti sebagai "penyamar", serta rasa tidak layak dari segi sosial yang boleh menjejaskan penglibatan sosial dan perkembangan kerjaya (Clance & Imes, 1978).

Selain itu, penyelidikan eksperimental menunjukkan bahawa Imposter Syndrome turut memengaruhi cara individu menafsir maklum balas selepas mencapai kejayaan (Jansen, 2024).

Walaupun konsep ini semakin meluas dibincangkan dalam literatur akademik dan popular, kebanyakan kajian masih menumpukan perhatian pada aspek psikologi dan ciri personaliti, sementara faktor sosial-demografi kurang diberi perhatian.

Di samping itu, banyak kajian terdahulu menggunakan sampel yang kecil, tertumpu kepada kumpulan tertentu seperti pelajar dan jarang melibatkan perbandingan silang budaya, sekali gus menghadkan generalisasi dapatan.

Berikut cara untuk mengatasinya:

1. Kenali & Akui Perasaan Itu

Faham bahawa perasaan ragu diri itu wujud, tetapi ia tidak menggambarkan realiti.

Menyedari bahawa Imposter Syndrome adalah biasa boleh membantu mengurangkan tekanan.

2. Catat Pencapaian Anda

Simpan jurnal kejayaan, projek yang selesai, atau pujian yang diterima.

Bila rasa ragu, semak kembali rekod tersebut sebagai bukti kemampuan anda.

3. Berhenti Bandingkan Diri dengan Orang Lain

Ingat bahawa setiap orang ada laluan dan kelebihan masing-masing.

Fokus pada proses pembelajaran anda, bukan pada "kesempurnaan" orang lain.

4. Belajar Terima Pujian

Jangan tolak atau rendahkan pujian dengan alasan "kebetulan" atau "nasib baik".

Ucap terima kasih dan terima bahawa usaha anda diiktiraf.

5. Bercakap Dengan Orang Dipercayai

Kongsikan perasaan anda dengan mentor, rakan, atau ahli keluarga.

Sering kali mereka akan mengingatkan anda tentang nilai sebenar anda.

6. Tukar Mindset: Dari Sempurna ke Progresif

Daripada mengejar kesempurnaan, fokus pada kemajuan dan pembelajaran berterusan.

Lihat kesilapan sebagai peluang berkembang, bukan bukti kegagalan.

7. Latih Self-Compassion (Belas Diri)

Jangan terlalu keras pada diri sendiri.

Gunakan bahasa dalaman yang menyokong: tanya diri sendiri, "Kalau kawan aku dalam situasi ni, apa aku akan katakan padanya?" 

8. Dapatkan Sokongan Profesional (Jika Perlu)

Jika perasaan ini terlalu kuat hingga menjejaskan kerja, tidur atau kesihatan mental, berjumpalah dengan kaunselor atau psikologis.

Semoga memberi manfaat.

-DOSMKeningau

Bantuan Tunai RM100 Dikredit Automatik Ke Dalam MyKad Bermula 31 Ogos 2025

Berdasarkan pengumuman rasmi oleh Perdana Menteri Malaysia pada 23 Julai 2025, bantuan tunai sebanyak RM100 akan dikreditkan secara automatik ke dalam MyKad semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas mulai 31 Ogos 2025, tanpa perlu membuat permohonan.

Bantuan Tunai RM100 MyKAD 2025

Antara barangan yang boleh dibeli menggunakan bantuan ini termasuk beras, telur, ubat-ubatan, barangan kebersihan diri dan keperluan sekolah, membabitkan lebih 90,000 produk bagi 14 kategori.

Kredit RM100 itu boleh digunakan di lebih 4,500 premis runcit berdaftar seperti Giant, Mydin, Bataras, C- MART, TF Value, serta kedai runcit tempatan lain. Premis yang berminat untuk menjadi rakan niaga boleh berdaftar dengan Yayasan MyKasih.

Ringkasan Utama

Siapa Layak
  • Semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas memiliki MyKad yang sah.
  • Tiada syarat pendapatan atau permohonan diperlukan.

Kaedah Pengkreditan
  • Kredit otomatik terus ke MyKad.
  • Tidak menggunakan Touch 'n Go (TNG); hanya cip MyKad diperlukan.

Tempoh Sahgunaan
  • Bantuan boleh digunakan mulai 31 Ogos 2025 hingga 31 Disember 2025.
  • Sebarang baki tidak digunakan akan dibawa ke bulan berikutnya, tetapi mula luput sepenuhnya pada 31 Disember 2025.
  • Baki yang tidak digunakan sebelum tamat tempoh akan diagihkan semula kepada program bantuan lain pada masa hadapan.

Jenis Barangan Yang Boleh Dibeli
  • Hanya boleh digunakan untuk barangan keperluan asas dalam 14 kategori seperti beras, telur, minyak masak, mi segera, biskut, ubat bebas, kebersihan diri dan alat tulis sekolah.
  • Sah digunakan di lebih 4,100 kedai dan pasar raya berdaftar seperti Mydin, Lotus's, Econsave, 99Speedmart dan kedai runcit tempatan.

Cara Tebus
  • Pilih barangan dalam kategori yang dibenarkan.
  • Pada kaunter, beri MyKad dan nyatakan anda ingin guna bantuan SARA.
  • Masukkan PIN 6-digit; PIN default pertama kali adalah 6 digit pertama nombor MyKad anda (akan ditukar segera jika ini kali pertama penggunaannya).
  • Selesai transaksi dan simpan resit untuk rujukan baki.

Semakan Status & Baki

Adakah Bantuan Akan Dikredit Otomatik Pada 31 Ogos 2025?
  • Ya. Bantuan RM100 akan dikredit ke MyKad anda secara automatik pada 31 Ogos 2025 jika anda memenuhi syarat umur dan kewarganegaraan — tiada permohonan atau tindakan diperlukan.

Perlu Diingat
  • Hanya satu kali RM100 untuk setiap MyKad (bukan per rumah).
  • Jika ada beberapa MyKad (misalnya suami, isteri, anak 18+), setiap individu layak terima RM100 masing‑masing.
  • Pastikan MyKad anda berfungsi baik (chip tiada kerosakan), jika ada masalah, boleh pergi ke JPN untuk tukar kad (~RM10).

Kesimpulan
  • Benar: Bantuan tunai RM100 akan dikredit secara automatik ke MyKad pada 31 Ogos 2025.
  • Layak: Individu berumur ≥18 tahun, warganegara Malaysia, tiada pendaftaran diperlukan.
  • Digunakan untuk: Pembelian barangan asas sahaja dari 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.
  • Penggunaan: TUNAILESS, melalui MyKad dan PIN 6-digit.

Semoga memberi manfaat.

-DOSMKeningau

Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW), Adakah Kos Sara Hidup Anda Tinggi?

Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) ialah satu konsep yang merujuk kepada jumlah pendapatan minimum diperlukan oleh individu atau isi rumah untuk menjalani kehidupan yang wajar, sihat dan sejahtera, mengikut keadaan semasa dan lokasi tempat tinggal.

Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW)

Pelaksana utama bagi Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) di Malaysia adalah:

Kementerian Sumber Manusia (KSM)

Melalui:
  • Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) — berperanan menyediakan data pendapatan dan perbelanjaan isi rumah yang menjadi asas pengiraan PAKW.
  • Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)

Namun, konsep PAKW juga melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan pihak berkepentingan seperti:
  • Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL)
  • Mengkoordinasi dasar berkaitan kos sara hidup dan keperluan asas rakyat.

Bank Negara Malaysia (BNM)
  • Menggunakan konsep ini dalam kajian dan laporan mengenai kemampuan kewangan isi rumah.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
  • Mengguna pakai konsep PAKW dalam menilai tahap jaringan keselamatan sosial pekerja.

Ciri-ciri PAKW:
  • Berteraskan realiti kehidupan sebenar – mengambil kira kos sebenar untuk kehidupan asas seperti makanan, perumahan, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan.
  • Bukan sekadar paras kemiskinan – lebih tinggi daripada garis kemiskinan kerana ia merangkumi keperluan untuk hidup secara bermaruah, bukan sekadar untuk terus hidup.
  • Mengambil kira keperluan asas dan sosial – termasuk akses kepada hiburan sederhana, simpanan kecemasan dan jaringan sosial.

Komponen Utama dalam Pengiraan PAKW:
  • Makanan sihat dan mencukupi.
  • Perumahan yang selamat dan selesa.
  • Pakaian asas dan penjagaan diri.
  • Kesihatan dan penjagaan diri.
  • Pengangkutan.
  • Pendidikan dan perkembangan anak-anak (termasuk buku & yuran).
  • Komunikasi dan utiliti (elektrik, air, internet).
  • Perbelanjaan sosial dan penyertaan masyarakat.
  • Simpanan kecemasan dan perlindungan insurans asas.

Tujuan Survei Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar PAKW:
  • Digunakan sebagai penanda aras oleh kerajaan, majikan dan pembuat dasar untuk menetapkan kadar gaji yang wajar.
  • Membantu kerajaan, majikan dan pembuat dasar dalam perancangan dasar upah, gaji minimum dan kebajikan sosial.
  • Membantu majikan dan pekerja dalam menentukan struktur gaji yang adil.

Contoh:

Bank Negara Malaysia pernah mengeluarkan laporan tentang "Living Wage" yang setara dengan konsep PAKW.

Menurut kajian mereka:
  • Seorang bujang yang tinggal di Kuala Lumpur memerlukan RM2,700 sebulan untuk hidup secara wajar.
  • Pasangan tanpa anak: RM4,500 sebulan.
  • Pasangan dengan dua anak: RM6,500 sebulan.

Data Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) Nasional (2023)
  • Purata bulanan PAKW bagi satu isi rumah (saiz 3.8 orang) ialah RM 4,729
  • PAKW di kawasan bandar: RM 5,040
  • PAKW di luar bandar: RM 3,631

Per Kapita (Setiap Individu)
  • Purata bulanan PAKW per individu: RM 1,314
  • Bandar: RM 1,423 vs Luar bandar: RM 927

Perbandingan Mengikut Negeri (2023)

Tertinggi:
  • Selangor: RM 5,854
  • W.P. Kuala Lumpur: RM 5,468
  • W.P. Labuan: RM 5,376
  • Melaka: RM 5,291
  • W.P. Putrajaya: RM 5,249

Terendah:
  • Perak: RM 3,723
  • Kedah: RM 3,787
  • Perlis: RM 3,818
  • Pahang: RM 3,949
  • Negeri Sembilan: RM 3,987

Daerah Paling Tinggi
  • Petaling, Selangor: RM 6,660
  • Klang (RM 6,244)
  • Hulu Langat (RM 5,810)
  • Kuala Terengganu (RM 5,750)
  • Lahad Datu (RM 5,608)

KALKULATOR PAKW

Kalkulator PAKW

Muat turun kalkulator PAKW di Dashboard MyPAKW: https://mypakw.dosm.gov.my/

Sejarah dan Konsep Asas PAKW
  • Diasaskan sejak 2018, berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah; digunakan Indeks Harga Pengguna & konsep golongan "kehidupan wajar" (needs, wants, social participation).
  • PAKW bukan sahaja merangkumi makanan dan keperluan harian, tetapi juga kos pengangkutan, kesihatan, pendidikan, aktiviti sosial dan makan di luar.
  • DOSM telah melancarkan MyPAKW – sebuah kalkulator interaktif untuk mengira nilai PAKW khusus mengikut lokasi dan demografi keluarga.

Kesimpulan

PAKW menyediakan gambaran menyeluruh tentang kadar minimum perbelanjaan bulanan untuk kehidupan yang bermakna dan wajar di Malaysia.

Untuk tahun 2023, nilai purata nasional ialah RM4,729 sebulan, dengan variasi yang besar mengikut lokasi, demografi dan saiz isi rumah.

-DOSM Keningau

Diskriminasi Dalam Pekerjaan Di Malaysia

DISKRIMINASI DALAM PEKERJAAN DI MALAYSIA BERLANDASKAN KONVENSYEN PERTUBUHAN BURUH ANTARABANGSA DISCRIMINATION (EMPLOYMENT AND OCCUPATION) CONVENTION, 1958 (NO. C111)

Diskriminasi Dalam Pekerjaan DiMalaysia

Diskriminasi dalam pekerjaan merupakan isu yang dihadapi oleh banyak negara, termasuk Malaysia. Meskipun Malaysia telah berusaha untuk mengatasi diskriminasi di tempat kerja melalui pelbagai dasar dan undang-undang, fenomena ini masih berlanjutan.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa atau International Labour Organisation (ILO) merupakan badan pemantau utama untuk 'check and balance' dalam memantau, menilai dan memberi panduan kepada negara-negara anggota berhubung pematuhan terhadap standard buruh antarabangsa, termasuk isu diskriminasi di tempat kerja.

Discrimination (Employment and Occupation) Convention, 1958 (No. 111) [Konvensyen ILO No.111], yang diterima pada tahun 1958, menekankan pentingnya kesaksamaan dalam peluang pekerjaan dan perlakuan yang tidak diskriminatif berdasarkan bangsa, warna kulit, jantina, agama, pendapat politik, asal usul negara atau asal usul sosial.

Artikel ini bertujuan untuk memberikan gambaran tentang diskriminasi dalam pekerjaan di Malaysia.

KONVENSYEN ILO NO. 111

Konvensyen ILO No. 111 berhubung diskriminasi dalam pekerjaan diperkenalkan oleh ILO merupakan konvensyen yang asas (fundamental).

Konvensyen ini telah diterima pakai pada tahun 1958. Ia merupakan instrumen perundangan antarabangsa yang komprehensif bertujuan mempromosikan kesamarataan peluang dalam dunia pekerjaan.

Malaysia telah menjadi negara anggota kepada ILO sejak tahun 1957 dan telah meratifikasi 19 Konvensyen ILO, dengan 15 daripadanya masih berkuat kuasa.

Walaupun Malaysia telah meratifikasi beberapa konvensyen ILO yang lain, data ILO menunjukkan bahawa Konvensyen No.111 masih belum diratifikasi.

Negara anggota yang meratifikasi Konvensyen No. 111 dikehendaki melaksanakan dasar negara yang menggalakkan kesaksamaan peluang dan layanan dalam pekerjaan, dengan matlamat untuk menghapuskan diskriminasi.

DISKRIMINASI DALAM PEKERJAAN DI MALAYSIA

Isu diskriminasi dalam pekerjaan merupakan isu yang serius dan meluas, memberi impak negatif terhadap pelbagai aspek sosial dan ekonomi.

Malaysia telah mengaplikasikan pelbagai langkah untuk menangani isu diskriminasi dalam pekerjaan.

Namun masih terdapat pelbagai isu diskriminasi yang mencabar dalam pekerjaan, seperti diskriminasi jantina, bangsa, agama dan lain- lain:

1. Diskriminasi Jantina

Laporan tinjauan “Suara Wanita di Malaysia mengenai Diskriminasi & Gangguan di Tempat Kerja” yang dijalankan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (Women’s Aid Organisation (WAO) (2020) bersama Vase.ai mendedahkan bahawa 56 peratus wanita di Malaysia pernah mengalami minimum satu bentuk diskriminasi di tempat kerja.

Diskriminasi ini merangkumi soalan mengenai status perkahwinan atau perancangan keluarga semasa temu duga, dinafikan kenaikan pangkat walaupun lebih layak dan diarahkan melakukan tugasan remeh yang tidak dikenakan pada pekerja lelaki.

Manakala, Laporan Women, Business and the Law 2022 oleh Bank Dunia mendedahkan bahawa hampir 2.4 bilion wanita usia bekerja di seluruh dunia tidak mempunyai hak ekonomi yang sama seperti lelaki.

Laporan ini juga menyatakan 178 negara mengekalkan halangan perundangan yang menghalang penyertaan penuh wanita dalam ekonomi.

Terdapat 86 negara melaporkan wanita menghadapi sekatan pekerjaan tertentu, manakala 95 negara tidak menjamin bayaran yang sama untuk kerja yang sama.

Dapatan daripada kajian ini menunjukkan bahawa diskriminasi terhadap wanita di tempat kerja bukan sahaja berlaku di peringkat nasional seperti di Malaysia, tetapi juga merupakan isu global yang serius, di mana wanita terus berdepan halangan institusi dan budaya yang menghalang akses saksama kepada peluang pekerjaan, kenaikan pangkat, dan hak ekonomi yang setara dengan lelaki.

2. Diskriminasi Bangsa

Diskriminasi berdasarkan bangsa ialah isu sensitif namun penting dalam hubungan majikan-pekerja di Malaysia yang berbilang kaum.

Isu ini boleh berlaku apabila pekerja diperlakukan tidak adil atau tidak diberi peluang sama rata atas dasar etnik.

Diskriminasi dalam pekerjaan melibatkan pengambilan pekerja, ganjaran, kenaikan pangkat, latihan, dan pelaksanaan polisi tempat kerja yang berat sebelah.

Laporan Persatuan Pendidikan Diversiti Malaysia atau Architects of Diveristy (AOD) (2022) yang merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan mendapati bahawa kaum India merupakan kumpulan etnik yang paling tinggi melaporkan mengalami diskriminasi ketika mencari pekerjaan iaitu 51 peratus.

Manakala, satu kajian oleh Lee dan Abdul Khalid (2016) bertajuk "Discrimination of High Degrees: Race and Graduate Hiring in Malaysia", mendapati bahawa diskriminasi etnik berlaku secara signifikan dalam proses pengambilan pekerja lepasan universiti di Malaysia.

Kajian ini menggunakan kaedah audit dengan menghantar lebih 300 permohonan kerja rekaan kepada pelbagai syarikat, yang mewakili tiga etnik utama Melayu, Cina, dan India dengan kelayakan akademik yang setara.

Hasilnya menunjukkan bahawa calon berbangsa Cina menerima kadar panggilan temuduga tertinggi, diikuti oleh calon Melayu dan India.

Lebih membimbangkan, calon India hanya menerima separuh kadar panggilan berbanding calon Cina, walaupun dengan latar belakang akademik dan pengalaman yang setara.

Kajian ini membuktikan bahawa diskriminasi kaum wujud dalam bentuk sistemik dan tersirat dalam proses pemilihan pekerja, dan ia mungkin dipengaruhi oleh sikap stereotaip dalam masyarakat.

3. Diskriminasi Berdasarkan Agama

Diskriminasi agama di tempat kerja berlaku apabila pekerja dihalang daripada melaksanakan kewajipan agama atau diperlakukan secara tidak adil berdasarkan kepercayaan mereka.

Kajian oleh Farhan etal. (2012) mendapati bahawa pekerja Muslim lelaki lebih cenderung mengalami diskriminasi berbanding wanita, terutama apabila bekerja di bawah majikan bukan Islam.

Menurut laporan AOD (2022), 36% responden melaporkan pernah mengalami diskriminasi agama ketika mencari pekerjaan atau di tempat kerja dan ini menunjukkan isu ini masih berleluasa.

Sementara itu, isu larangan pemakaian tudung oleh beberapa hotel antarabangsa di Malaysia pada 2017 turut mencetuskan kecaman awam apabila pekerja wanita Islam dihalang bertugas di kaunter hadapan.

Isu ini telah diselesaikan apabila 13 hotel menarik balik larangan tersebut dan menandatangani aku janji bersama Kementerian Sumber Manusia untuk tidak mengamalkan dasar diskriminasi bagi pemakaian agama.

LANGKAH-LANGKAH MALAYSIA DALAM MEMATUHI KONVENSYEN ILO NO. 111

Malaysia telah mengambil inisiatif untuk mematuhi Konvensyen ILO No. 111, antaranya:

1. Perlembagaan Persekutuan Malaysia

Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengandungi beberapa peruntukan penting bagi menangani isu diskriminasi, terutamanya dalam konteks kesamarataan dan hak asasi warganegara. Peruntukan utama berkaitan diskriminasi boleh dijumpai dalam Perkara 8. Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang- undang.

Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan "kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata- mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan."

Peruntukan ini membuktikan bahawa prinsip kesamarataan dan larangan terhadap diskriminasi menjadi asas penting dalam pelaksanaan keadilan sosial, termasuk dalam konteks pekerjaan di Malaysia.

2. Akta Kerja 1955 (Akta 265)

Akta Kerja 1955 terpakai kepada semua pekerja sektor swasta di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Akta ini telah dipinda pada tahun 2022 dengan tujuan untuk meningkatkan dan menambah baik perlindungan dan kebajikan pekerja di negara ini.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memastikan peruntukan undang-undang perburuhan negara sejajar dengan standard antarabangsa, selaras dengan komitmen Malaysia dalam memartabatkan hak dan kesejahteraan tenaga kerja.

Akta Kerja (Pindaan) 2022 telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2023.

Bagi mencegah dan membasmi sebarang bentuk diskriminasi dalam pekerjaan, peruntukan baharu di bawah Bahagian XV - Seksyen 69F Akta Kerja 1955 telah dimasukkan ke dalam akta ini.

Seksyen baharu 69F telah memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja untuk memutuskan sebarang pertikaian di antara pekerja dan majikannya berkaitan diskriminasi dalam pekerjaan dan seterusnya mengeluarkan perintah.

Majikan yang gagal mematuhi perintah tersebut, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 dan denda harian tidak melebihi RM1,000.00 bagi setiap hari kesalahan berterusan selepas sabitan.

Seksyen ini memberikan saluran undang-undang yang jelas kepada pekerja yang menjadi mangsa diskriminasi, selaras dengan prinsip perlindungan hak asasi buruh seperti yang digariskan dalam Konvensyen ILO No.111.

3. Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177)

Akta ini digubal bagi mengawal selia hubungan antara majikan, pekerja dan kesatuan sekerja, serta menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian perusahaan di Malaysia.

Akta ini bertujuan mengawal selia perhubungan serta mengekalkan keharmonian industri antara majikan, pekerja dan kesatuan sekerja.

Akta ini mengandungi beberapa peruntukan mengenai hak majikan, pekerja dan kesatuan sekerja dalam penyelesaian pertikaian perusahaan.

Akta ini tidak memperuntukkan peruntukan khusus berhubung diskriminasi dalam pekerjaan, namun isu diskriminasi boleh dibangkitkan sebagai pertikaian perusahaan dan aduan boleh dibuat di bawah Seksyen 18, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) oleh kesatuan sekerja.

Manakala bagi pekerja yang tidak mempunyai kesatuan sekerja dan sekiranya menjadi mangsa dalam diskriminasi pekerjaan sehingga membawa kepada pembuangan kerja secara tidak adil atau tanpa sebab yang munasabah oleh majikan boleh memfailkan kes di bawah Seksyen 20 akta ini untuk memohon remedi pemulihan kerja kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan.

Representasi ini hendaklah dikemukakan dalam tempoh enam puluh (60) hari daripada tarikh pembuangan kerja.

4. Ordinan Buruh Sabah (Bab 67)

Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) melibatkan pekerja sektor swasta di Sabah.

Ordinan ini dipinda faedah statutori kepada pekerja di Sabah sama dengan pekerja di Semenanjung Malaysia serta untuk menyesuaikan perundangan perburuhan di Semenanjung Malaysia bagi diguna pakai di Sabah.

Peruntukan berkaitan diskriminasi telah diwujudkan melalui pindaan pada tahun 2025 kepada Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) di bawah Seksyen 18A. Pindaan ini adalah selari dengan Konvensyen ILO No. 111.

Melalui peruntukan baharu ini, Pengarah Tenaga Kerja Sabah mempunyai kuasa untuk menyiasat dan memutuskan sebarang pertikaian di antara pekerja dan majikannya berhubung dengan sebarang perkara berkaitan diskriminasi dalam pekerjaan.

5. Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76)

Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) terpakai kepada pekerja sektor swasta di Sarawak.

Ordinan ini dipinda faedah statutori kepada pekerja di Sarawak sama dengan pekerja di Semenanjung Malaysia serta untuk menyeragamkan undang-undang berkaitan perburuhan di Semenanjung Malaysia bagi diguna pakai di Sarawak.

Peruntukan berkaitan diskriminasi telah diwujudkan melalui pindaan pada tahun 2025 kepada Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) di bawah Seksyen 19A berkaitan diskriminasi dalam pekerjaan merupakan peruntukan baharu yang telah dimasukkan ke dalam Ordinan Buruh Sarawak. Pindaan ini adalah selari dengan Konvensyen ILO No. 111.

Melalui pindaan Ordinan ini, satu peruntukan baharu telah diwujudkan bagi memberi kuasa kepada Pengarah Tenaga Kerja Sarawak untuk menyiasat dan memutuskan sebarang pertikaian di antara pekerja dan majikannya berhubung dengan sebarang perkara berkaitan diskriminasi dalam pekerjaan.

CABARAN DALAM MEMATUHI KONVENSYEN ILO NO. 111 DI MALAYSIA

Konvensyen ILO No. 111 merupakan salah satu tonggak penting dalam usaha global menghapuskan diskriminasi dalam pekerjaan.

Malaysia, sebagai anggota ILO telah mengambil beberapa langkah perundangan termasuk pindaan terhadap Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) dan Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) sebagai komitmen terhadap prinsip kesaksamaan dan keadilan di tempat kerja.

Namun, Malaysia masih menghadapi pelbagai cabaran bagi meratifikasikan Konvensyen ILO No. 111 serta perlaksanaanya dalam perundangan Malaysia.

Antara cabaran dalam mematuhi Konvensyen ILO No.111 ialah:

1. Ketiadaan Undang-undang Anti-Diskriminasi yang Komprehensif

Undang-undang sedia ada seperti Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) dan Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) baru digubal untuk memasukkan isu diskriminasi pekerjaan.

Namun begitu, akta-akta tersebut tidak memberikan takrifan khusus berhubung definisi diskriminasi dalam pekerjaan sebagaimana yang digariskan oleh Konvensyen No. 111.

Selain daripada itu, akta-akta ini hanya memberi perlindungan terhadap diskriminasi yang berlaku setelah wujudnya hubungan majikan-pekerja, manakala konvensyen ini mengkehendaki perlindungan diberikan bukan sahaja kepada orang-orang yang sedang bekerja, tetapi juga meliputi akses kepada latihan vokasional, akses kepada suatu pekerjaan atau bidang pekerjaan, terma dan syarat pekerjaan.

Malaysia juga tidak ada satu akta yang menyeluruh sebagaimana yang ada di negara-negara lain contohnya di United Kingdom terdapat Equality Act, 2010 yang melarang diskriminasi dalam pekerjaan dan perkhidmatan awam berdasarkan umur, ketidakupayaan, jantina, perkahwinan dan perkongsian sivil, kehamilan dan materniti, bangsa, agama atau kepercayaan dan orientasi seksual.

Negara Sweden pula telah mewujudkan Discrimination Act, 2008 yang melarang diskriminasi dalam pekerjaan dan pendidikan berdasarkan jantina, kaum, agama orientasi seksual dan ketidakupayaan.

2. Sistem Perundangan Dualistik

Di Malaysia, terdapat dua sistem perundangan yang berbeza, iaitu undang-undang sivil dan undang-undang syariah.

Undang-undang sivil adalah undang-undang yang tidak berasaskan agama, manakala undang-undang syariah adalah undang-undang berasaskan ajaran Islam.

Beberapa isu diskriminasi seperti jantina, pakaian, dan orientasi seksual menjadi sensitif dan boleh bertembung dengan nilai budaya dan agama.

3. Kurangnya Data dan Pelaporan

Peruntukan berhubung diskriminasi dalam undang-undang perburuhan Malaysia baru dimasukkan dan data berhubung kes-kes diskriminasi dalam pekerjaan masih rendah lagi memandangkan tiada pusat data untuk mengumpul dan menganalisis data berkaitan diskriminasi pekerjaan, menyebabkan kes-kes diskriminasi sukar dikesan dan ditangani.

Selain daripada itu, kebanyakkan kes-kes berhubung berhubung diskriminasi ini tidak dilaporkan kerana takut kehilangan pekerjaan atau kurangnya kesedaran di kalangan pekerja Malaysia.

Tanpa statistik yang kukuh adalah sukar untuk mengukur sejauh mana diskriminasi berlaku di tempat pekerjaan.

4. Sokongan daripada Majikan

Terdapat segelintir majikan menganggap pematuhan kepada Konvensyen No.111 adalah beban tambahan dari segi latihan, polisi sumber manusia dan risiko litigasi yang menyebabkan kurang sokongan terhadap reformasi berkaitan anti- diskriminasi.

Sekiranya majikan dapat memberi komitmen dan menyokong prinsip anti-diskriminasi, sedikit sebanyak dapat mengurangkan jurang berlakunya diskriminasi pekerjaan.

5. Ketiadaan Tanggungjawab

Undang-Undang Tanpa Ratifikasi Malaysia merupakan negara anggota ILO, namun begitu ia tidak meletakkan satu obligasi untuk Malaysia meratifikasi Konvensyen No.111 tanpa ratifikasi rasmi.

Malaysia tidak tertakluk secara sah kepada pemantauan ILO berhubung konvensyen ini.

Walaupun Malaysia belum meratifikasi Konvensyen ILO No.111, tetapi cadangan untuk membuat satu dasar nasional boleh diperkenalkan dalam menangani isu diskriminasi dalam pekerjaan.

6. Isu Sensitiviti Sosial dan Budaya

Diskriminasi terhadap identiti jantina, berorientasikan seksual dan status HIV/AIDS sukar ditangani secara terbuka disebabkan oleh sensitiviti dalam masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Isu diskriminasi ini boleh menjadi sangat sensitif dan mungkin bertembung dengan tafsiran agama atau budaya.

KESIMPULAN

Diskriminasi dalam pekerjaan di Malaysia, meskipun telah dicegah melalui pelbagai dasar dan undang-undang, masih menjadi isu yang kompleks dan berterusan.

Malaysia perlu memastikan undang-undang dikuatkuasakan secara menyeluruh, memberikan pendidikan kesedaran kepada majikan dan pekerja, serta memastikan bahawa dasar yang ada dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Konvensyen ILO No. 111 memberikan garis panduan yang jelas dalam usaha mencapai kesaksamaan peluang dan layanan dalam pekerjaan, dan untuk itu, gandingan tripartite yang melibatkan kerajaan, majikan, pekerja dan kesatuan sekerja perlu bekerjasama untuk mewujudkan persekitaran kerja yang bebas daripada diskriminasi dan ke arah kesejahteraan dalam pekerjaan yang sejajar dengan konvensyen tersebut.

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
7 JULAI 2025

Sekian, terima kasih.

-DOSM Keningau

Survei Indikator Isi Rumah Nasional (NHIS)

Survei Indikator Isi Rumah Nasional (NHIS) yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bertujuan untuk membekalkan maklumat bagi penyusunan indikator Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Civil Registration and Vital Statistics (CRVS) serta Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia.

Survei Indikator Isi Rumah Nasional (NHIS)

Survei Indikator Isi Rumah Nasional (NHIS) ini meliputi tempat kediaman terpilih di seluruh negara ini akan menjadi input dalam penggubalan dasar, pemantauan dan penilaian keberkesanan program pembangunan negara serta pemantauan kemajuan SDG di peringkat nasional.

DOSM menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada pegawai DOSM serta menjayakan survei ini.

1. MATLAMAT PEMBANGUNAN MAMPAN (SDG)

Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) merupakan agenda teras 2030 dalam pembangunan lestari yang dipersetujui oleh pemimpin dunia pada 25 September 2015 di Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

SDG adalah kesinambungan kepada agenda pembangunan selepas Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) berakhir pada tahun 2015.

MDG terdiri daripada 8 Matlamat dan 21 Sasaran, manakala SDG telah diperluaskan kepada 17 Matlamat dan 169 Sasaran yang meneruskan usaha untuk mencapai agenda 2030 dalam kestabilan tiga dimensi pembangunan lestari, iaitu sosial, ekonomi dan alam sekitar.

SDG adalah sekumpulan 17 Matlamat dan 169 Sasaran yang merangkumi:

1. Tiada Kemiskinan

Membasmi semua bentuk kemiskinan di seluruh dunia.

2. Tiada Kelaparan

Menghentikan masalah kelaparan, mencapai sasaran jaminan makanan dan pemakanan yang lebih baik serta menggalakkan pertanian lestari.

3. Kesihatan dan Kesejahteraan Baik

Memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan pada semua peringkat umur.

4. Pendidikan Berkualiti

Memastikan pendidikan secara menyeluruh dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

5. Kesetaraan Jantina

Mencapai kesaksamaan gender dan memperkasa semua golongan Wanita.

6. Air Bersih dan Sanitasi

Memastikan ketersediaan dan kelestarian pengurusan air dan sanitasi untuk semua.

7. Tenaga Bersih dan Berpatutan

Memastikan akses kepada tenaga mampu milik, boleh dipercayai, lestari dan moden untuk semua.

8. Kerja yang Decent dan Pertumbuhan Ekonomi

Menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan, menyeluruh dan lestari, guna tenaga penuh dan produktif serta pekerjaan yang baik untuk semua.

9. Industri, Inovasi dan Infrastruktur

Membangunkan infrastruktur berdaya tahan, menggalakkan perindustrian menyeluruh dan mampan serta merangsang inovasi.

10. Pengurangan Ketidaksamaan

Mengurangkan ketidaksamaan dalam negara dan antara negara.

11. Bandar dan Komuniti Lestari

Menjadikan bandar dan penempatan manusia sebagai menyeluruh, selamat, berdaya tahan dan mampan.

12. Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab

Memastikan corak penggunaan dan pengeluaran yang mampan.

13. Tindakan Iklim

Mengambil tindakan segera untuk menangani perubahan iklim dan kesannya.

14. Hidup di Bawah Air

Memulihara dan menggunakan sumber lautan, laut dan marin secara mampan untuk pembangunan mampan.

15. Hidup di Darat

Melindungi, memulihkan dan menggalakkan penggunaan lestari ekosistem daratan, menguruskan hutan secara lestari membanteras penggunaan, menghentikan dan memulihkan kemerosotan tanah dan menghentikan kehilangan biodiversiti.

16. Keamanan, Keadilan dan Institusi Yang Kuat

Mengelakkan pembentukan masyarakat yang aman dan menyeluruh untuk pembangunan mampan, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua dan membina institui yang berkesan, bertanggungjawab dan menyeluruh pada semua peringkat.

17. Perkongsian untuk Matlamat

Memperkukuhkan kaedah pelaksanaan dan menggiatkan semula Perkongsian Global untuk Pembangunan Mampan.

2. CIVIL REGISTRATION AND VITAL STATISTICS (CRVS)

Sistem Pendaftaran Awam dan Statistik Vital (CRVS) adalah asas untuk mengumpul data tentang peristiwa kehidupan seperti kelahiran, kematian, perkahwinan dan perceraian.

GENDER DOSM merujuk kepada usaha Jabatan Perangkaan Malaysia untuk memahami dan menangani isu khusus jantina dalam sistem CRVS, memastikan ia inklusif dan saksama.

Pendaftaran Awam dan Statistik Penting (CRVS)

Sistem CRVS adalah penting untuk menjejaki perubahan demografi dan memastikan semua orang dapat dilihat dalam rekod rasmi.

Mereka bertanggungjawab untuk mendaftarkan acara penting seperti kelahiran, kematian, perkahwinan dan perceraian.

Data ini penting untuk merancang perkhidmatan awam, memantau hasil kesihatan, dan membuat keputusan termaklum tentang pembangunan sosial dan ekonomi.

Data CRVS juga membantu memastikan hak undang-undang dan akses kepada perkhidmatan untuk individu.

GENDER DOSM

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengiktiraf kepentingan data CRVS dalam memahami ketidaksamaan jantina dan memastikan akses yang saksama kepada perkhidmatan.

Jantina DOSM menumpukan pada menangani jurang data yang berkaitan dengan wanita dan kanak-kanak perempuan, termasuk kurang pendaftaran dan diskriminasi dalam sistem CRVS.

Dengan menganalisis data CRVS melalui lensa jantina, DOSM boleh mengenal pasti dan menangani halangan untuk pendaftaran, meningkatkan kualiti data, dan memastikan semua individu boleh dilihat dan dikira.

Ini termasuk memastikan bahawa sistem CRVS boleh diakses oleh wanita, terutamanya dalam komuniti luar bandar dan terpinggir dan data itu diasingkan mengikut jantina dan ciri-ciri lain yang berkaitan.

3. INDEKS KEBAHAGIAAN RAKYAT MALAYSIA

Bermula tahun 2013, sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia telah diraikan setiap tahun pada 20 Mac di seluruh dunia sebagai mengiktiraf hubung kait antara keseimbangan pembangunan fizikal, sosial dan alam sekitar ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan penduduk sejagat.

Laporan kebahagiaan dikeluarkan secara tahunan bertujuan memberi gambaran kebahagiaan penduduk di setiap negara.

INDEKS KEBAHAGIAAN merupakan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi tahap kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal rakyat Malaysia.

Aspek utama yang dinilai dalam kajian Indeks Kebahagiaan adalah aspek kehidupan, kesihatan, hubungan kekeluargaan dan jiran tetangga, pengurusan kewangan, aktiviti komuniti, keselamatan, penyediaan kemudahan masyarakat, perkhidmatan PBT dan wakil rakyat serta kualiti alam sekitar.

Menurut Mental State of the World Report 2023 oleh Sapien Labs, Malaysia berada dalam kelompok 10 negara teratas daripada 71 negara, bagi kesejahteraan mental berbanding banyak negara maju.

Laporan ini menekankan bahawa negara dengan hubungan sosial kukuh seperti Malaysia lebih cenderung memiliki kesejahteraan mental lebih tinggi.

Dapatan Indeks Kebahagiaan 2025 menunjukkan bahawa faktor seperti keselamatan, kemudahan asas yang baik, suasana kejiranan yang harmoni, hubungan kekeluargaan yang stabil serta tekanan di tempat kerja memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap kebahagiaan penduduk bandar.

Keselamatan dan kemudahan asas yang mencukupi memberikan keselesaan hidup manakala hubungan kejiranan yang baik serta sokongan keluarga mengurangkan tekanan sosial dan emosi.

Selain itu, keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik turut menyumbang kepada kesejahteraan penduduk.

Secara keseluruhan, faktor ini mencerminkan persekitaran bandar yang lebih kondusif dan menyumbang kepada tahap kebahagiaan yang lebih tinggi.

World Happiness Report 2024 menyatakan bahawa negara yang mempunyai sistem kesihatan yang berkualiti tinggi seperti Switzerland dan Denmark menyumbang kepada tahap kebahagiaan negara tersebut.

Di Malaysia, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS 2023) melaporkan bahawa 85.2% penduduk Malaysia berusia 13 tahun ke atas berpuas hati terhadap kesihatan mereka.

Selari dengan dapatan tersebut, Indeks Kebahagiaan MURNInets 2025 menunjukkan peningkatan skor bagi komponen kesihatan sekarang di mana berlaku peningkatan skor tahap berpuas hati pada tahun 2025 berbanding tahun 2024.

Ini menunjukkan trend positif dalam aspek kesejahteraan kesihatan yang mungkin dipengaruhi oleh kesedaran kesihatan yang lebih baik, akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti serta amalan gaya hidup yang lebih sihat.

Hubungan kekeluargaan yang erat memainkan peranan penting dalam meningkatkan kebahagiaan serta kesejahteraan individu.

Menurut Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), komponen keluarga mencatat skor tertinggi dengan 7.23 daripada 10, khususnya bagi indikator hubungan kekeluargaan yang menunjukkan betapa pentingnya ikatan kekeluargaan dalam membentuk masyarakat yang harmoni.

Semoga memberi manfaat.

-DOSM Keningau

Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024

Banci Pertanian 2024 yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyediakan data asas mengenai profil pegangan pertanian seperti maklumat demografi, hasil pertanian, kos input, saiz ladang, penggunaan dan pemilikan tanah, mekanisasi serta penggunaan teknologi.

Laporan Banci Pertanian 2024

Data berkenaan digunakan dalam merangka dasar dan program jangka pendek dan panjang selain untuk meningkatkan keterjaminan makanan, produktiviti serta mempromosikan pertanian mampan.

Sementara itu, Banci pertanian akan dilaksanakan secara berkala setiap 10 tahun,bagi memastikan data asas sentiasa relevan dengan keperluan semasa dan cabaran masa hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

GOLONGAN TUA

Hampir separuh, atau 45.4 peratus daripada pengusaha pertanian individu di negara ini adalah daripada golongan tua yang berusia 60 tahun ke atas melibatkan 458,395 orang, berdasarkan Laporan Interim Banci Pertanian 2024 yang diluncurkan pada 29 Mei 2025.

Seramai 326,287 orang atau 32.3 peratus daripada pengusaha pertanian individu adalah kumpulan berumur 46 hingga 59 tahun, manakala pengusaha pertanian individu berusia 15 hingga 45 tahun hanya 224,147 orang (22.2 peratus).

Trend taburan umur dalam kalangan pengusaha pertanian individu berada dalam kumpulan umur tua memberi kesan langsung terhadap produktiviti dan keupayaan negara untuk meningkatkan pengeluaran domestik.

Bagi kelangsungan sektor pertanian negara, jelas terdapat keperluan untuk meremajakan sektor pertanian dengan menarik penyertaan generasi muda dalam sektor ini.

Tanpa tenaga kerja mahir dan berdaya saing dalam kalangan generasi muda, sasaran untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara serta mengurangkan kebergantungan kepada import sukar dicapai.

Justeru, langkah strategik seperti meningkatkan insentif, memperkenalkan teknologi moden dan memperbaiki persepsi terhadap kerjaya dalam sektor pertanian perlu digembleng secara menyeluruh bagi memastikan kelestarian dalam sektor ini.

Dashboard Harga Produk Pertanian (MyAgroPrice)

Antara dapatan lain Banci Pertanian 2024 ialah 90.1 peratus daripada pengusaha pertanian memiliki taraf pendidikan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah.

Walaupun masih tiada dapatan muktamad yang menghubungkaitkan secara langsung antara taraf pendidikan dengan produktiviti pertanian, pencapaian pendidikan tetap memainkan peranan penting dalam membantu petani membuat keputusan yang lebih tepat, mengakses maklumat baharu dan mengamalkan kaedah pertanian moden.

Majlis sama turut menyaksikan pelancaran Dashboard Harga Produk Pertanian (MyAgroPrice) di bawah TaniStats, yang memaparkan harga purata bagi 60 jenis produk pertanian terpilih meliputi tiga peringkat utama rantaian bekalan iaitu Ladang, Borong dan Runcit mengikut negeri dari tahun 2020 hingga 2024.

MyAgroPrice memberi nilai tambah kepada petani dengan menyediakan maklumat harga yang tepat dan boleh diakses, sekali gus membantu mereka merancang strategi pemasaran dengan lebih baik serta mengurangkan jurang maklumat harga antara pemain industri.

Pada masa sama, dashboard ini berperanan penting kepada pembuat dasar untuk memantau kestabilan harga, mengenal pasti trend pasaran dan merangka intervensi yang lebih bersasar demi kesejahteraan rakyat serta keterjaminan makanan negara.

Semoga memberi manfaat.

-DOSMkeningau

Kelapa Pandan Malaysia Tembus Pasaran China

Kelapa muda tempatan, khususnya varieti kelapa wangi seperti kelapa pandan yang beraroma unik dan manis, kini mendapat akses rasmi ke pasaran China menerusi satu protokol eksport baharu, lapor Bharian online.

kelapa pandan
Gambar hiasan.

Jabatan Pertanian dalam satu kenyataan menjelaskan, hanya kelapa muda bagi tujuan minuman segar sahaja dibenarkan dieksport ke China, dengan keutamaan kepada varieti kelapa wangi yang memiliki aroma pandan serta tahap kemanisan brix sekitar 6.7˚.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi, berkata protokol fitosanitari yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dan China, bakal melonjakkan pengeluaran kelapa muda berkualiti tinggi tempatan, khususnya untuk segmen pasaran premium luar negara.

"Sebelum ini, eksport hanya berasaskan keperluan sijil fitosanitari tanpa protokol khusus namun kini kawalan biosekuriti dipertingkat dan elemen kebolehkesanan diwujudkan, sekali gus memperkukuh reputasi kelapa muda Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Malaysia menghasilkan 624,000 tan metrik kelapa pada 2023, dengan 6,000 tan metrik daripadanya adalah kelapa muda yang dieksport, permintaan yang dilihat akan terus meningkat susulan pembukaan pasaran rasmi ini," katanya menerusi kenyataan.

Tiga negeri utama pengeluar kelapa di negara ini ialah Selangor, Johor dan Perak dengan 93 peratus kawasan kelapa diusahakan oleh pekebun kecil, manakala selebihnya dimiliki oleh estet (6.5 peratus) dan agensi kerajaan (0.5 peratus).

Mengikut rekod Jabatan Pertanian, dianggarkan seramai 60,000 pengusaha kelapa di seluruh negara dan dari segi pengeluaran, pekebun kecil menyumbang lebih 80 peratus kepada jumlah pengeluaran negara, membuktikan penyertaan mereka serta sokongan daripada semua pihak berkepentingan adalah teras kepada pertumbuhan industri kelapa negara.

Pada masa sama, lebih 278,000 tan metrik kelapa tua diimport untuk keperluan industri pemprosesan, seperti pengeluaran santan dan kerisik.

Protokol baharu itu turut menetapkan keperluan ladang berdaftar, pematuhan kepada pensijilan Amalan Pertanian Baik (myGAP) serta pelaksanaan sistem kawalan perosak bersepadu (IPM) sebagai prasyarat eksport.

"Jabatan Pertanian turut menggesa lebih ramai pengusaha kelapa wangi, terutamanya kelapa pandan, untuk mengambil peluang ini dengan mendaftarkan ladang dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

"Bantuan fizikal, insentif input, latihan serta pembangunan ladang turut disediakan di bawah pelbagai inisiatif termasuk RMKe-12 yang memperuntukkan RM16.25 juta bagi pembangunan industri kelapa dan benih berkualiti," katanya.

Khasiat Air Kelapa Muda

Mungkin ramai tidak mengetahui minum air buah kelapa muda terutama kelapa Pandan punyai keistimawaannya yang tersendiri.

Air buah kelapa muda jenis kelapa pandan, selain aroma pandannya boleh menghilangkan rasa dahaga ia juga punya khasiat menyembuhkan sakit perut, pening kepala dan banyak lagi.

Umumnya, air kelapa mempunyai sedikit rasa manis, masam dan rendah gula serta kalori. Ia hanyalah air bersama kandungan elektrolit seperti:
  • Kalium
  • Natrium
  • Magnesium

Air kelapa dikatakan lebih baik berbanding minuman sukan kerana kurang kandungan gula. Begitu juga jika dibandingkan dengan air soda mahupun beberapa jus buah-buahan lain.

Tetapi apakah manfaat minum air kelapa setiap hari? Dipetik dari hellodoktor.com, berikut adalah khasiatnya.

13 kebaikan minum air kelapa setiap hari

1. Mengurangkan berat badan

Secawan air kelapa 200ml hanya mempunyai 48 kalori dan 0 lemak. Ia adalah minuman yang membantu menurunkan berat terbaik.

Pengambilan segelas air yang kaya asid laurik ini sebelum makan turut dapat mengelakkan tabiat makan berlebihan.

2. Kulit lebih sihat

Kelebihan air ini juga berfungsi dalam melawan jerawat kerana sifat antimikrobnya.

Kajian juga menunjukkan pengambilan air kelapa membantu sistem antioksidan dengan meneutralkan kesan radikal bebas.

3. Sesuai untuk pesakit hipertensi

Kandungan kalium yang tinggi dalam air kelapa adalah kebaikan buat pesakit hipertensi untuk mengimbangi nisbah elektrolit dan mengawal tekanan darah tinggi.

Makan lebih banyak makanan kaya kalium akan mengeluarkan lebih banyak natrium daripada tubuh melalui air kencing tetapi jangan berlebihan atau anda berisiko mengalami tekanan darah rendah pula.

4. Elak penyakit jantung

Disebabkan kehadiran kalium dan kalsium dalam air kelapa, ia dipercayai dapat menurunkan kolesterol dan mengekalkan degupan jantung yang sihat.

5. Minum air kelapa bagus untuk diabetes

Kandungan indeks glisemik sangat rendah – 3, menjadikan ia minuman sihat untuk penghidap diabetes.

Namun sebaiknya, dapatkan kepastian doktor sebelum mengambilnya sebagai diet harian.

6. Sesuai untuk batu karang

Jika anda mempunyai batu karang dan telah disarankan untuk mengambil 12 gelas air setiap hari, jangan lupa masukkan air kelapa dalam senarai.

Bukan sahaja rasanya enak tetapi juga memberikan manfaat minum air kelapa setiap hari.

7. Detoks

Air kelapa membekalkan penghidratan dan elektrolit untuk menyahtoksik tubuh.

Toksik makanan terkumpul dalam badan disebabkan junk food, pencemaran dan hasil biologi tubuh.

Segelas air kelapa mempunyai fungsi detoks dan akan membantu membersihkan toksik serta menghidratkan semula badan sambil menjadikan diri berasa segar.

8. Diet rendah karbohidrat

Jika anda mengamalkan diet rendah karbohidrat, ini adalah yang sihat kerana 1 cawan air kelapa mengandungi hanya 8 gram karbo.

Paling penting, ini adalah karbohidrat yang sihat dan baik untuk semua individu.

9. Tanpa lemak & kolesterol

Minuman ini adalah 94% air serta bebas lemak dan kolesterol.

Untuk minuman rekreasi, anda pastinya ingin mendapatkan minuman tanpa gula dan tidak mengandungi natrium, justeru air kelapa adalah pilihan terbaik.

10. Merawat jangkitan air kencing dengan minum air kelapa

Air kelapa dianggap sebagai diuretik – membantu membuang toksin melalui air kencing.

Anda mungkin akan kerap membuang air kecil selepas minum air ini, tetapi ia adalah kaedah semula jadi membantu menyembuhkan jangkitan air kencing.

11. Melegakan keletihan & tekanan

Berasa sangat lemah, letih dan kelesuan serta tiada selera makan?

Duduk dan minumlah segelas air kelapa, ia akan membuatkan diri lebih santai.

Rasa minuman yang menyenangkan ini juga akan membantu menghilangkan tekanan dan menenangkan fikiran.

12. Ketahanan atlet

Mereka yang berlatih selama sejam mencapai pemulihan latihan intensiti tinggi lebih cepat dengan pengambilan air kelapa – kerana ia memberikan elektrolit diperlukan.

Air kelapa membawa nutrien serta oksigen ke sel dan secara semula jadi menambah cecair badan selepas bersenam.

Tetapi mengambil air kelapa sejurus selepas sesuatu acara mungkin tidak dapat menampung keperluan karbohidrat anda.

13. Menghidrat

Berada dalam keadaan terhidrat bukan sahaja dapat memastikan tubuh berfungsi dengan baik tetapi juga membantu meningkatkan kualiti tidur, kognisi dan emosi.

-DOSM Keningau