Laporan Khas Demografi Orang Asli Berdasarkan Penemuan Banci Penduduk 2020

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan Laporan Khas Demografi Orang Asli berdasarkan penemuan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020. Laporan ini membentangkan statistik berkaitan Orang Asli yang merangkumi aspek penduduk, isi rumah dan tempat kediaman, kemudahan asas serta penunjuk sosial seperti penggunaan media sosial dan akses digital mengikut negeri dan daerah pentadbiran.

Laporan Khas Demografi Orang Asli

Penduduk Orang Asli di Malaysia dianggarkan meningkat kepada 227,900 orang pada tahun 2025 berbanding 213,461 orang pada tahun 2020 dengan kadar purata pertumbuhan tahunan penduduk 1.2 peratus.

Pahang mencatatkan penduduk Orang Asli tertinggi dengan 82,824 orang pada 2020, diikuti oleh Perak (58,942) dan Selangor (21,312). Batang Padang, Perak merekodkan jumlah penduduk tertinggi dengan 17,092 orang, diikuti oleh Lipis (14,999) dan Rompin (14,985) di Pahang.

Penduduk Orang Asli terdiri daripada 108,354 atau 50.8 peratus lelaki, berbanding perempuan seramai 105,107 (49.2%). Nisbah jantina kekal iaitu 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan pada tahun 2020 dan 2010.

Negeri yang mencatatkan nisbah tertinggi ialah W.P. Labuan (150), Sabah (116) dan Kedah (115).

KUMPULAN ETNIK UTAMA

Masyarakat Orang Asli terdiri daripada tiga kumpulan etnik utama iaitu Senoi, Melayu Proto dan Negrito yang merangkumi sejumlah 18 sub-etnik.

Etnik Senoi terdiri daripada sub-etnik Temiar, Semai, Mah Meri, Jahut, Che Wong dan Semoq Beri.

Etnik Melayu Proto pula terdiri daripada Jakun, Temuan, Semelai, Orang Kuala, Orang Kanaq dan Orang Seletar.

Manakala, etnik Negrito merangkumi Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Bateq dan Lanoh.

Peratusan penduduk Melayu Proto meningkat kepada 44.4 peratus (2020) berbanding 40.9 peratus (2010), manakala Senoi dan Negrito masing-masing menurun kepada 53.5 peratus dan 2.1 peratus (2020) daripada 56.0 peratus dan 3.1 peratus (2010).

KOMPOSISI UMUR

Komposisi penduduk umur muda (0–14 tahun) menurun kepada 33.3 peratus (2020) daripada 39.9 peratus (2010) dan penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) kekal pada 2.9 peratus.

Peningkatan penduduk umur bekerja (15–64 tahun) kepada 63.8 peratus (2020) daripada 57.2 peratus (2010) menyebabkan nisbah tanggungan jumlah menurun kepada 56.7(2020) daripada 74.3 (2010).

Nisbah tanggungan umur muda dan nisbah tanggungan umur tua masing-masing turut menurun kepada 52.2 dan 4.5 pada 2020 berbanding 69.2 dan 5.1 pada 2010.

STATUS PERKAHWINAN

Peratusan penduduk berumur 15 tahun dan lebih yang tidak pernah berkahwin meningkat kepada 34.4 peratus pada tahun 2020 daripada 32.5 peratus pada tahun 2010.

Peratusan penduduk yang berkahwin menurun kepada 59.4 peratus (2020) daripada 61.8 peratus (2010).

Penduduk yang berstatus balu/duda menurun kepada 4.7 peratus pada tahun 2020 berbanding 4.8 peratus pada tahun 2010, manakala penduduk berstatus bercerai atau berpisah meningkat kepada 1.6 peratus pada tahun 2020 daripada 1.0 peratus (2010).

PEKERJAAN

Majoriti penduduk Orang Asli bekerja sendiri, merangkumi 59.7 peratus pada tahun 2020 berbanding 50.2 peratus pada tahun 2010.

Pekerja sektor swasta merupakan kumpulan kedua tertinggi dengan 28.7 peratus, diikuti oleh pekerja kerajaan (6.6%), pekerja keluarga tanpa gaji (4.3%) dan majikan (0.7%).

SAIZ ISI RUMAH

Jumlah isi rumah Orang Asli pada tahun 2020 ialah 54,275 berbanding 30,403 pada tahun 2010, dengan kadar pertumbuhan purata tahunan 5.8 peratus.

Purata saiz isi rumah menurun kepada 3.9 orang (2020) berbanding 5.3 orang (2010) dalam tempoh sedekad.

Kelantan mencatatkan purata saiz isi rumah terbesar iaitu 4.3 orang, diikuti oleh Pahang (4.2 orang) dan Negeri Sembilan (4.1 orang).

BILANGAN TEMPAT KEDIAMAN

Laporan Khas Demografi Orang Asli 2

Bilangan tempat kediaman pada tahun 2020 ialah 45,189 berbanding 32,281 pada tahun 2010. Pahang mencatatkan bilangan tempat kediaman tertinggi iaitu 16,975, diikuti oleh Perak (12,629) dan Selangor (4,651).

KELAHIRAN & KEMATIAN

Kelahiran hidup Orang Asli pada 2024 ialah 4,198 menurun sebanyak 9.1 peratus daripada 4,620 kelahiran (2020).

Pahang merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 1,779 kelahiran (2024). Kematian Orang Asli meningkat 23.4 peratus (1,278) pada 2024 daripada 1,036 pada tahun 2020. Pahang merekodkan kematian tertinggi dengan 526 kematian pada tahun 2024.

Ischaemic heart disease merupakan sebab kematian utama penduduk Orang Asli pada tahun 2020 (12.5%) berbanding Pneumonia (12.0%) pada 2010.

Bagi lelaki Orang Asli, sebab kematian utama pada tahun 2020 ialah Ischaemic heart disease (13.6%) berbanding Transport accidents (13.0%) pada tahun 2010.

Manakala, bagi wanita Orang Asli, Pneumonia kekal sebagai sebab kematian utama dengan sedikit penurunan kepada 14.6 peratus pada tahun 2020 berbanding 15.2 peratus pada tahun 2010.

Bayi Orang Asli yang lahir pada tahun 2010 dan 2020 dijangka hidup secara purata sehingga 62.7 tahun dan 67.8 tahun.

Bagi tempoh 2010 hingga 2020, jangkaan hayat semasa lahir meningkat sebanyak 5.1 tahun.

Jangkaan hayat lelaki meningkat sebanyak 6.1 tahun dan perempuan, 3.5 tahun.

Jurang jangkaan hayat antara lelaki dan perempuan Orang Asli pada tahun 2010 adalah 6.2 tahun berbanding 3.6 tahun pada tahun 2020.

Dalam tempoh 10 tahun, jurang jangka hayat antara jantina berkurang sebanyak 2.6 tahun.

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
14 Oktober 2025

Semoga memberi manfaat.

-DOSMKeningau

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »