Siaran Khas 2 (Untuk Kerja-kerja Pembinaan Bangunan dan Struktur), September 2025

Siaran Khas 2 — Kerja‑kerja Pembinaan Bangunan & Struktur, adalah terbitan khas yang dikeluarkan oleh DOSM yang merangkumi indeks kos bahan binaan dan harga seunit bahan binaan khusus bagi kerja‑kerja pembinaan bangunan dan struktur.

Terbitan ini disediakan bagi Semenanjung Malaysia serta versi untuk Sabah & Sarawak.

Indeks Kos Bahan Binaan

Siaran Khas 2 ini biasanya mengandungi:

1. Jadual Indeks Kos Bahan Binaan

Menunjukkan kadar perubahan kos bahan pembinaan utama dari tahun ke tahun untuk komponen seperti simen, besi, batu, pasir, keluli struktur, dsb.

2. Harga Seunit Bahan Binaan

Menyediakan maklumat harga pasaran semasa bagi unit seperti per kilogram, per meter padu, dsb.

3. Nota Teknikal/Penjelasan Metodologi

Terbitan ini selalunya disertakan dengan nota ringkas tentang metodologi pengiraan indeks dan sumber data bagi memastikan ketelusan dan kefahaman pengguna.

4. Pembahagian Mengikut Kategori Bangunan/Kawasan

Bahan kos menurut kategori bangunan (kediaman, komersial, industri) dan kawasan geografi (bandar, luar bandar).

Tujuan utama adalah untuk membantu:
  • Kontraktor dan pemaju merancang bajet projek dengan lebih tepat berdasarkan kos semasa bahan binaan.
  • Pihak kerajaan dan agensi awam mengawal kos pembinaan dan merancang subsidi atau penyesuaian dasar.
  • Penyelidikan ekonomi dan analisis inflasi dalam sektor pembinaan.

INDEKS HARGA SEUNIT BAHAN BINAAN
  • Indeks harga besi menunjukkan peningkatan pada September 2025, iaitu antara 0.4 peratus sehingga 1.9 peratus berbanding bulan lepas. Peningkatan tertinggi indeks harga bahan ini telah direkodkan di Miri (1.9%) diikuti dengan Perak (1.8%) dan Sibu (1.7%).
  • Indeks harga keratan keluli & logam turut meningkat pada September 2025, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.2 peratus hingga 0.5 peratus di semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
  • Selain itu, indeks harga seunit simen pula kekal tidak berubah bagi semua kawasan kecuali peningkatan dalam indeks di Terengganu & Kelantan (0.4%) dan Sandakan (0.3%).
  • Perbandingan tahunan untuk tempoh September 2024 dan September 2025 menunjukkan indeks harga seunit besi merekodkan penurunan antara negatif 2.8 peratus hingga negatif 8.6 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan ini telah dicatatkan di Pulau Pinang, Kedah & Perlis (-8.6%).
  • Selain daripada itu, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit simen pula telah mencatatkan peningkatan antara 0.5 peratus hingga 3.9 peratus pada September 2025 berbanding bulan yang sama tahun lalu, bagi seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Peningkatan tertinggi bagi indeks ini dicatatkan di Tawau (3.9%), diikuti dengan Sandakan (2.8%) dan Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (2.5%).

PURATA HARGA SEUNIT BAHAN BINAAN TERPILIH
  • Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan peningkatan 0.7 peratus, dengan purata harga RM3,516.11 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Ogos 2025: RM3,491.35 per tan metrik).
  • Purata harga bagi simen Ordinary Portland juga telah mencatatkan peningkatan kecil (0.2%) dengan purata harga RM23.90 per 50 kg sekarung berbanding Ogos 2025 (RM23.85 per 50 kg sekarung).

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
10 OKTOBER 2025

Semoga memberi manfaat.

-DOSMKeningau

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »