Industri ICT Dan e-Dagang Sumbang 23.4 Peratus KDNK Malaysia

Industri ICT dan e-dagang menyumbang 23.4 peratus kepada ekonomi Malaysia, bernilai RM451.3 bilion pada tahun 2024. Oleh itu, prestasi ICT dan e-dagang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus berbanding 3.5 peratus yang direkodkan pada tahun 2023.

e-dagang 2024

Prestasi ICT dipacu oleh industri pembuatan ICT yang meningkat kepada 7.4 peratus berbanding 2.4 peratus pada tahun sebelumnya. Ini diikuti oleh industri perkhidmatan ICT dan industri perdagangan ICT yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus dan 4.6 peratus.

Prestasi e-dagang berjumlah RM258.2 bilion mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.7 peratus pada tahun 2024 berbanding 3.0 peratus pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ini disokong oleh sektor Pembuatan yang mencatatkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus berbanding 0.1 peratus pada tahun 2023. Selain itu, sektor Perkhidmatan turut berkembang sebanyak 4.9 peratus (2023: 7.8%) manakala sektor Pertanian melonjak 7.5 peratus (2023: -2.4%) pada tahun 2024.

Eksport produk ICT meningkat sebanyak 4.4 peratus dengan nilai RM449.7 bilion pada tahun 2024 berbanding penyusutan 5.2 peratus pada tahun 2023.

Walau bagaimanapun, import produk ICT merekodkan peningkatan ketara sebanyak 22.2 peratus berbanding penyusutan 14.0 peratus pada tahun sebelumnya.

Oleh itu, eksport bersih produk ICT mencatatkan lebihan dengan nilai RM119.8 bilion pada tahun 2024 berbanding RM160.7 bilion pada tahun 2023.

Guna tenaga dalam industri ICT menyumbang 7.6 peratus daripada jumlah keseluruhan guna tenaga di Malaysia, bersamaan dengan 1.25 juta orang pada tahun 2024.

Dari segi pertumbuhan, guna tenaga ICT meningkat sebanyak 1.2 peratus berbanding 1.6 peratus pada tahun 2023.

Sebahagian besar guna tenaga ICT tertumpu dalam industri pembuatan ICT, perkhidmatan ICT dan perdagangan ICT yang secara keseluruhannya mewakili 87.4 peratus daripada guna tenaga dalam industri ICT.

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
15 Oktober 2025

Semoga memberi manfaat.

-DOSMKeningau

Laporan Khas Demografi Orang Asli Berdasarkan Penemuan Banci Penduduk 2020

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan Laporan Khas Demografi Orang Asli berdasarkan penemuan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020. Laporan ini membentangkan statistik berkaitan Orang Asli yang merangkumi aspek penduduk, isi rumah dan tempat kediaman, kemudahan asas serta penunjuk sosial seperti penggunaan media sosial dan akses digital mengikut negeri dan daerah pentadbiran.

Laporan Khas Demografi Orang Asli

Penduduk Orang Asli di Malaysia dianggarkan meningkat kepada 227,900 orang pada tahun 2025 berbanding 213,461 orang pada tahun 2020 dengan kadar purata pertumbuhan tahunan penduduk 1.2 peratus.

Pahang mencatatkan penduduk Orang Asli tertinggi dengan 82,824 orang pada 2020, diikuti oleh Perak (58,942) dan Selangor (21,312). Batang Padang, Perak merekodkan jumlah penduduk tertinggi dengan 17,092 orang, diikuti oleh Lipis (14,999) dan Rompin (14,985) di Pahang.

Penduduk Orang Asli terdiri daripada 108,354 atau 50.8 peratus lelaki, berbanding perempuan seramai 105,107 (49.2%). Nisbah jantina kekal iaitu 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan pada tahun 2020 dan 2010.

Negeri yang mencatatkan nisbah tertinggi ialah W.P. Labuan (150), Sabah (116) dan Kedah (115).

KUMPULAN ETNIK UTAMA

Masyarakat Orang Asli terdiri daripada tiga kumpulan etnik utama iaitu Senoi, Melayu Proto dan Negrito yang merangkumi sejumlah 18 sub-etnik.

Etnik Senoi terdiri daripada sub-etnik Temiar, Semai, Mah Meri, Jahut, Che Wong dan Semoq Beri.

Etnik Melayu Proto pula terdiri daripada Jakun, Temuan, Semelai, Orang Kuala, Orang Kanaq dan Orang Seletar.

Manakala, etnik Negrito merangkumi Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Bateq dan Lanoh.

Peratusan penduduk Melayu Proto meningkat kepada 44.4 peratus (2020) berbanding 40.9 peratus (2010), manakala Senoi dan Negrito masing-masing menurun kepada 53.5 peratus dan 2.1 peratus (2020) daripada 56.0 peratus dan 3.1 peratus (2010).

KOMPOSISI UMUR

Komposisi penduduk umur muda (0–14 tahun) menurun kepada 33.3 peratus (2020) daripada 39.9 peratus (2010) dan penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) kekal pada 2.9 peratus.

Peningkatan penduduk umur bekerja (15–64 tahun) kepada 63.8 peratus (2020) daripada 57.2 peratus (2010) menyebabkan nisbah tanggungan jumlah menurun kepada 56.7(2020) daripada 74.3 (2010).

Nisbah tanggungan umur muda dan nisbah tanggungan umur tua masing-masing turut menurun kepada 52.2 dan 4.5 pada 2020 berbanding 69.2 dan 5.1 pada 2010.

STATUS PERKAHWINAN

Peratusan penduduk berumur 15 tahun dan lebih yang tidak pernah berkahwin meningkat kepada 34.4 peratus pada tahun 2020 daripada 32.5 peratus pada tahun 2010.

Peratusan penduduk yang berkahwin menurun kepada 59.4 peratus (2020) daripada 61.8 peratus (2010).

Penduduk yang berstatus balu/duda menurun kepada 4.7 peratus pada tahun 2020 berbanding 4.8 peratus pada tahun 2010, manakala penduduk berstatus bercerai atau berpisah meningkat kepada 1.6 peratus pada tahun 2020 daripada 1.0 peratus (2010).

PEKERJAAN

Majoriti penduduk Orang Asli bekerja sendiri, merangkumi 59.7 peratus pada tahun 2020 berbanding 50.2 peratus pada tahun 2010.

Pekerja sektor swasta merupakan kumpulan kedua tertinggi dengan 28.7 peratus, diikuti oleh pekerja kerajaan (6.6%), pekerja keluarga tanpa gaji (4.3%) dan majikan (0.7%).

SAIZ ISI RUMAH

Jumlah isi rumah Orang Asli pada tahun 2020 ialah 54,275 berbanding 30,403 pada tahun 2010, dengan kadar pertumbuhan purata tahunan 5.8 peratus.

Purata saiz isi rumah menurun kepada 3.9 orang (2020) berbanding 5.3 orang (2010) dalam tempoh sedekad.

Kelantan mencatatkan purata saiz isi rumah terbesar iaitu 4.3 orang, diikuti oleh Pahang (4.2 orang) dan Negeri Sembilan (4.1 orang).

BILANGAN TEMPAT KEDIAMAN

Laporan Khas Demografi Orang Asli 2

Bilangan tempat kediaman pada tahun 2020 ialah 45,189 berbanding 32,281 pada tahun 2010. Pahang mencatatkan bilangan tempat kediaman tertinggi iaitu 16,975, diikuti oleh Perak (12,629) dan Selangor (4,651).

KELAHIRAN & KEMATIAN

Kelahiran hidup Orang Asli pada 2024 ialah 4,198 menurun sebanyak 9.1 peratus daripada 4,620 kelahiran (2020).

Pahang merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 1,779 kelahiran (2024). Kematian Orang Asli meningkat 23.4 peratus (1,278) pada 2024 daripada 1,036 pada tahun 2020. Pahang merekodkan kematian tertinggi dengan 526 kematian pada tahun 2024.

Ischaemic heart disease merupakan sebab kematian utama penduduk Orang Asli pada tahun 2020 (12.5%) berbanding Pneumonia (12.0%) pada 2010.

Bagi lelaki Orang Asli, sebab kematian utama pada tahun 2020 ialah Ischaemic heart disease (13.6%) berbanding Transport accidents (13.0%) pada tahun 2010.

Manakala, bagi wanita Orang Asli, Pneumonia kekal sebagai sebab kematian utama dengan sedikit penurunan kepada 14.6 peratus pada tahun 2020 berbanding 15.2 peratus pada tahun 2010.

Bayi Orang Asli yang lahir pada tahun 2010 dan 2020 dijangka hidup secara purata sehingga 62.7 tahun dan 67.8 tahun.

Bagi tempoh 2010 hingga 2020, jangkaan hayat semasa lahir meningkat sebanyak 5.1 tahun.

Jangkaan hayat lelaki meningkat sebanyak 6.1 tahun dan perempuan, 3.5 tahun.

Jurang jangkaan hayat antara lelaki dan perempuan Orang Asli pada tahun 2010 adalah 6.2 tahun berbanding 3.6 tahun pada tahun 2020.

Dalam tempoh 10 tahun, jurang jangka hayat antara jantina berkurang sebanyak 2.6 tahun.

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
14 Oktober 2025

Semoga memberi manfaat.

-DOSMKeningau

Program Literasi Statistik 2025 Bersama Komuniti Kg. Tudan Baru

Program Literasi Statistik bersama Komuniti Kg. Tudan Baru merupakan inisiatif kerjasama antara Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM Keningau) dan komuniti setempat yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan statistik dalam kehidupan seharian.

STATS TALK TP
Timbalan Pengarah DOSM Sabah.

Program ini memberi penekanan kepada aspek literasi data, penggunaan statistik dalam membuat keputusan, serta meningkatkan keupayaan komuniti untuk mentafsir dan menggunakan maklumat statistik dengan lebih berkesan.

Melalui Stats Talk dan aktiviti komuniti, peserta didedahkan kepada konsep asas statistik, kaedah pengumpulan data, serta aplikasi statistik dalam konteks sosioekonomi setempat.

Sambutan Hari Statistik 2025 DOSM Keningau.

Program ini juga bertindak sebagai platform bagi memperkukuh hubungan antara DOSM dan masyarakat akar umbi, khususnya dalam menjayakan agenda pembangunan berasaskan data.

GAMBAR SEPANJANG PROGRAM


























Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja meningkatkan celik statistik dalam kalangan komuniti Kg. Tudan Baru, malah turut menyemai budaya penggunaan data yang lebih bertanggungjawab dan berinformasi ke arah komuniti yang lebih progresif dan berdaya saing.

Semoga memberi manfaat.

-DOSMKeningau

Siaran Khas 2 (Untuk Kerja-kerja Pembinaan Bangunan dan Struktur), September 2025

Siaran Khas 2 — Kerja‑kerja Pembinaan Bangunan & Struktur, adalah terbitan khas yang dikeluarkan oleh DOSM yang merangkumi indeks kos bahan binaan dan harga seunit bahan binaan khusus bagi kerja‑kerja pembinaan bangunan dan struktur.

Terbitan ini disediakan bagi Semenanjung Malaysia serta versi untuk Sabah & Sarawak.

Indeks Kos Bahan Binaan

Siaran Khas 2 ini biasanya mengandungi:

1. Jadual Indeks Kos Bahan Binaan

Menunjukkan kadar perubahan kos bahan pembinaan utama dari tahun ke tahun untuk komponen seperti simen, besi, batu, pasir, keluli struktur, dsb.

2. Harga Seunit Bahan Binaan

Menyediakan maklumat harga pasaran semasa bagi unit seperti per kilogram, per meter padu, dsb.

3. Nota Teknikal/Penjelasan Metodologi

Terbitan ini selalunya disertakan dengan nota ringkas tentang metodologi pengiraan indeks dan sumber data bagi memastikan ketelusan dan kefahaman pengguna.

4. Pembahagian Mengikut Kategori Bangunan/Kawasan

Bahan kos menurut kategori bangunan (kediaman, komersial, industri) dan kawasan geografi (bandar, luar bandar).

Tujuan utama adalah untuk membantu:
  • Kontraktor dan pemaju merancang bajet projek dengan lebih tepat berdasarkan kos semasa bahan binaan.
  • Pihak kerajaan dan agensi awam mengawal kos pembinaan dan merancang subsidi atau penyesuaian dasar.
  • Penyelidikan ekonomi dan analisis inflasi dalam sektor pembinaan.

INDEKS HARGA SEUNIT BAHAN BINAAN
  • Indeks harga besi menunjukkan peningkatan pada September 2025, iaitu antara 0.4 peratus sehingga 1.9 peratus berbanding bulan lepas. Peningkatan tertinggi indeks harga bahan ini telah direkodkan di Miri (1.9%) diikuti dengan Perak (1.8%) dan Sibu (1.7%).
  • Indeks harga keratan keluli & logam turut meningkat pada September 2025, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.2 peratus hingga 0.5 peratus di semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
  • Selain itu, indeks harga seunit simen pula kekal tidak berubah bagi semua kawasan kecuali peningkatan dalam indeks di Terengganu & Kelantan (0.4%) dan Sandakan (0.3%).
  • Perbandingan tahunan untuk tempoh September 2024 dan September 2025 menunjukkan indeks harga seunit besi merekodkan penurunan antara negatif 2.8 peratus hingga negatif 8.6 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan ini telah dicatatkan di Pulau Pinang, Kedah & Perlis (-8.6%).
  • Selain daripada itu, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit simen pula telah mencatatkan peningkatan antara 0.5 peratus hingga 3.9 peratus pada September 2025 berbanding bulan yang sama tahun lalu, bagi seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Peningkatan tertinggi bagi indeks ini dicatatkan di Tawau (3.9%), diikuti dengan Sandakan (2.8%) dan Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (2.5%).

PURATA HARGA SEUNIT BAHAN BINAAN TERPILIH
  • Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan peningkatan 0.7 peratus, dengan purata harga RM3,516.11 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Ogos 2025: RM3,491.35 per tan metrik).
  • Purata harga bagi simen Ordinary Portland juga telah mencatatkan peningkatan kecil (0.2%) dengan purata harga RM23.90 per 50 kg sekarung berbanding Ogos 2025 (RM23.85 per 50 kg sekarung).

Dikeluarkan oleh:
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
Department of Statistics Malaysia (DOSM)
10 OKTOBER 2025

Semoga memberi manfaat.

-DOSMKeningau