Ekonomi Malaysia Diunjur Berkembang 5.5 Peratus Pada Tahun 2025

Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025 disokong faktor domestik yang positif meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata persekitaran luaran dijangka semakin mencabar pada tahun ini berikutan kebangkitan semula tindakan perlindungan, di samping konflik geopolitik yang berlarutan, sekali gus menimbulkan cabaran terhadap Malaysia sebagai ekonomi yang kecil dan terbuka, menurut laporan Berita harian Online.

Ekonomi Malaysia Berkembang 5.5 Peratus 2025

Katanya, pengukuhan permintaan global khususnya akan bergantung pada perkembangan dalam sekatan perdagangan dan langkah tindakan balas yang dikenakan oleh negara ekonomi utama.

Menurutnya, risiko terhadap pertumbuhan mungkin timbul daripada hubungan perdagangan tegang yang menjejaskan momentum perdagangan global dan perkembangan geopolitik yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan serta meningkatkan volatiliti pasaran kewangan.

"Sebagai ekonomi yang kecil dan terbuka, kita tidak akan terkecuali daripada terkesan. Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor bagi kita untuk agak optimistik mengenai prospek dalam negeri.

"Sumber pertumbuhan dalam negeri, digabungkan dengan struktur eksport yang pelbagai, akan membantu ekonomi menghadapi cabaran pada 2025," katanya dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 yang dikeluarkan BNM.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, aktiviti pelaburan yang didorong oleh projek berbilang tahun kekal sebagai aspek positif.

Beliau berkata, keadaan pasaran pekerja yang positif dan dasar yang merangsang pendapatan memberikan sokongan yang berterusan terhadap perbelanjaan isi rumah.

Mengenai inflasi, Abdul Rasheed berkata, usaha pembaharuan fiskal yang berterusan, dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dan pengembangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 2025, dijangka menyebabkan kenaikan harga pada jangka pendek.

Namun, beliau berkata, pihaknya menilai kesan keseluruhan terhadap inflasi asas adalah terhad dan sementara.

"BNM telah menjalankan simulasi pada pelbagai senario dasar dan mendapati bahawa inflasi keseluruhan akan kekal antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus pada 2025, sekalipun berdasarkan andaian konservatif, sebelum kembali lebih rendah apabila kesan dasar semakin reda," katanya.

Mengenai dasar monetari, Abdul Rasheed berkata, berikutan ketidaktentuan yang ketara, risiko terhadap pertumbuhan diberikan tumpuan yang besar dalam pertimbangannya.

Beliau berkata, pada masa yang sama, bank pusat mengakui bahawa pembaharuan dasar dalam negeri yang berterusan akan memberikan tekanan harga pada jangka masa pendek.

Katanya, pendekatan BNM terhadap dasar monetari kekal berpandukan data dan berpandangan ke hadapan, dilengkapi dengan penilaian yang menyeluruh tentang risiko yang terus berkembang terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

"Bagi tujuan ini, kami akan memantau dengan teliti perkembangan global dan potensi kesan limpahan pembaharuan dasar dalam negeri yang sedang dilaksanakan.

"Hal ini memerlukan penilaian berterusan terhadap inflasi yang berlarutan dan berleluasa, di samping mengambil kira kejutan luaran dan trajektori ekonomi Malaysia secara keseluruhan," katanya.

Sementara itu, Abdul Rasheed berkata, prestasi ringgit, seperti mata wang serantau lain, akan terus dipengaruhi oleh perkembangan luaran, terutamanya daripada kemungkinan perubahan dasar ekonomi utama.

Namun, beliau berkata, sekiranya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) terus melonggarkan dasar monetari, perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil antara AS dengan ekonomi lain akan memberikan sokongan kepada ringgit.

Dalam jangka panjang, prospek ekonomi Malaysia yang kukuh dan pembaharuan yang berterusan akan memberikan sokongan yang berpanjangan kepada ringgit, katanya.

-DOSM Keningau

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »